How Are You 3? Malam Itu, Aku dan Kau Di Dalam Ruangan Perasaan

1 0 0
                                    

"Sakit, kau tahu tak? Sakit sangat," aku berkata sambil merenung siling rumah. Bagai tembus pandangan mata melihat langit malam berbintang.

Kau masih terdiam, membisu. Aku pandang kau setelah lama kau berdiam diri.

Syukur kau masih di sini, di dalam bilik yang gelap, masih belum pergi meninggalkan aku.

"Kenapa kau diam?" aku bertanya pada kau yang masih diam membisu.

Dalam kegelapan itu, aku terdengar kau mendecit sinis. Bikin aku lagi penasaran.

Kau kekal diam, membiarkan deru kipas meja berbicara.

Kau tiba-tiba bersuara, "Engkau... masih rindu pada dia?"

Entah mengapa, soalan itu berjaya membuatkan otak aku diam. Tiada sebarang legaran-legaran sekelumit katapun di minda.

Aku hanya mampu mengangguk kepala. Aku tahu kau mampu melihatnya walaupun dalam keadaan gelap itu. Aku tahu sangat-sangat.

"Engkau sayang dekat dia?" kau terus bertanya.

Kali ini, soalan itu tidak menyenyapkan otak aku malah membuatkannya tertumpu pada satu jawapan pasti. "Ya."

Kau ketawa, ada sesuatu yang kau rasakan lucu tentang jawapan yang aku beri.

"Mengapa?" kau menyoal sejurus selepas itu. Dan, engkau tahu yang kau telah bertanya soalan cepumas. Sebab, aku hanya mampu terdiam dan cuba mencari penerangan logikal bagi soalan engkau. Kerana, mengetahui pemikiran falsafah kau, aku tahu jawapan kerana aku rasa begitu serasi dengan dia tidak akan memuaskan kau.

"Cinta itu sifatnya illogikal. Bisa membahagiakan, bisa juga menyakiti. Kalau benar kau sayang, aku mahu kau lepaskan dia. Kerana, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Dan, aku yakin engkau mengetahui. Orang seperti kita, hanya menyakiti apabila dicintai."

Benar, aku terlupa dengan kepintaran kau. Di sebalik kegilaan dan kebodohan, engkau sembunyikan diri kau yang sebenar; seorang bijak yang sedih dan murung.

Cinta itu seperti juga kepercayaan, letaknya di hati. Dan, setiap hasil yang keluar dari hati itu semuanya tidak rasional jika dikaji begitu dalam-dalam. Maka, engkau isytiharkannya illogikal kerana engkau masih mahu mempercayai.

Ya, aku setuju dengan kau. Aku hanya akan menyakiti dia di kemudian hari. Aku tersenyum tawar, lebih baik jika kami sakit sekarang. Daripada, hanya dia yang sakit dan aku yang tidak merasa apa-apa apabila semuanya telah terlambat.

"Terlalu muda untuk menyedari. Cinta manusia itu hanya fitrah. Namun, akan menjadi hanya nafsu jika tidak disertakan dengan kecintaan pada agama. Mereka itu penghasut yang mahir bermain. Mereka bisa menyolek dia sehingga kau buta tidak melihat yang lain lagi. Lalu, kemudiannya mengotorkan dia sehingga kau jijik dan benci. Maka, engkau yakin yang kau hanya akan sayang dia selama-lamanya?"

Aku diam. Memberi petunjuk pada kau yang aku setuju dengan apa yang kau katakan.

"Sudah, tidurlah. Esok masih ada, engkau akan bangun dan hari baru akan tiba. Engkau sibuk dengan rutin engkau. Dan, dia... pastinya sibuk dengan rutinnya. Masa,  akan terus berjalan. Engkau akan hilang sebahagian memori indah engkau bersama dia. Dia pula akan berganjak dan menandakan engkau sebagai satu episod lama yang menyedihkan. Sehingga satu hari nanti, apabila kalian bertemu. Rasa itu sudah tawar dan kalian jadi seperti dulu-dulu, di saat sebelum persahabatan memutik rasa cinta." Engkau berhenti mengambil nafas.

"Sesetengah orang berkata, masa akan memulihkan luka namun parutnya akan kekal ada. Tapi, tidak kepada kau, masa akan memulihkan luka namun engkau lupa di mana parut itu berada."

Aku mengangguk mengerti apa yang kau cuba sampaikan. Perlahan-lahan, aku menutup mata yang mula memberat. Aku lelah dan perlu berehat.

"Selamat malam," gumam aku.

Engkau pun menghilang dengan senyuman di bibir. Tahu engkau akan kembali lagi jika aku mahu bercakap mengenai sesuatu.

How Are You?Where stories live. Discover now