22 Ogos 2014.
Aku tersengih pandang ruangan dalam planner harian yang aku bulatkan dengan pen penanda berwarna merah. Hari ini 22 Ogos. Kalau nak diikutkan, tak ada apa-apa yang istimewa. Hari lahir aku pun dah lama lepas. Hari lahir abah, mak dan adik-adik pun dah lama. Hari lahir kekasih? Maaflah, aku memang tak ada kekasih.
Esok bererti aku akan pulang ke Kuala Kangsar setelah mengharungi hidup sebagai budak praktikal di syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur ini. Oh tak, aku bukan pelajar kejuruteraan pun. Cuma budak bahasa yang punya minat untuk ceburi bidang di luar apa yang aku pernah belajar sebelum ini. Di sini aku belajar cara-cara menjadi jururunding klien dengan syarikat. Pendek kata, macam-macam benda aku dapat sepanjang jadi budak praktikal di syarikat terkenal ini. Dari cara berkomunikasi, cara bergaul dengan ahli korporat dan cara…
“Izzati. Oh Izzati?”
Tak sempat nak cerita apa-apa, Kak Zulfa dah tercegat di depan batang hidung aku.
“Kus semangat.” Aku urut dada. “Ada apa ni, kak?” soalku. Wanita anggun lengkap berkot tampak feminin itu tersengih.
“Bos nak jumpa tu. Dia nak bagi laporan internship katanya.”
“Okay, thanks Kak Fa!” kataku lalu bingkas bangun dari kerusi. Tudung dan baju kurung yang dipakai diperbetulkan. Walaupun budak hingusan, aku tak boleh nampak selekeh di dalam pejabat, terutamanya di hadapan bos. Lagi-lagi nak terima laporan latihan praktikal, lagilah senyum kena sentiasa manis. Kalau tak, boleh gagal aku nanti. Tak fasal-fasal tak boleh sambung belajar.
Kubikel di luar aku tinggalkan. Perlahan-lahan atur langkah ke kamar yang tak jauh dari tempat aku duduk bekerja sepanjang tiga bulan ini. Johan Ramzani bin Ariffin, CEO Berjaya National O&G. Bismillah. Mudah-mudahan lembut hati si bos bagi penilaian yang baik terhadap latihan aku selama ini.
Pintu aku ketuk.
“Masuk.”
Aku kuak pintu dari luar sambil jengah kepala ke dalam. Encik Johan Ramzani selaku bos penting syarikat tengah sibuk tulis sesuatu pada kertas. Borang latihan praktikal aku agaknya.
“Yes, Izzati. Please come in and have a seat.”
Hanya lepas dapat arahan baru aku masuk ke dalam kamar pejabat Encik Johan. Terus tarik kerusi dan duduk di hadapan lelaki tersebut.
“Encik Johan nak jumpa saya kan? Ada apa ya? Fasal laporan penilaian prestasi pelajar praktikal tu kan?” Beria-ria aku bertanya. Mungkin soalanku kedengaran agak kelakar sehingga buat Encik Johan tersengih.
“Ya, saya dah siap tandatangan semuanya. Ni laporannya. Awak boleh baca.”
Helaian kertas bertukar tangan. Debar tak usah cakaplah. Dah tiga bulan berpraktikal di sini, aku berdebar juga nak tahu apa penilaian bos terhadap kerja aku. Baikkah, atau biasa-biasa saja? Tak sampai setengah muka surat, hati dah berbunga riang. Biar betul bos aku ini?
“Tahniah, Izzati. Walaupun awak cuma buat latihan praktikal di sini tapi kerja awak bagus. Klien banyak yang suka cara awak kendalikan mesyuarat. Saya pasti akan kehilangan seorang pekerja yang bagus macam awak lepas ni. Tak sangka cepat betul tiga bulan berlalu.”
Aku apa lagi, sengihlah sampai ke telinga. Bos puji katakan!
“Ni semua pun tunjuk ajar bos dan staf lain juga. Saya ni memang tak tahu apa-apa fasal selok belok industri minyak dan gas ni. Terima kasih bos. Saya seronok kerja dekat sini. Persekitarannya bagus, kawan-kawan staf pun bagus. Dia orang layan saya sama saja macam pekerja biasa walaupun saya cuma budak praktikal.” Aku berbasa-basi. Dah kena puji tadi itu kenalah balas balik kan?
YOU ARE READING
120 Hari Mencintaimu
Short StoryIzzati Farha pernah mengagumi keperibadian Johan Ramzani selaku majikannya, namun kekaguman itu pergi dibawa angin lalu apabila dirinya dilamar lelaki itu dengan jarak usia mereka sebanyak enam belas tahun. Pemberontakan jadi isi dan kulit rumah tan...