DAHINYA yang dipenuhi peluh renik dikesat. Menghampiri jam sembilan malam, Harlina masih sibuk mengangkat beg berisi pakaiannya masuk ke dalam rumah. Masih ada dua kotak besar berisi perkakasan dapur yang masih terbengkalai di beranda rumah.
Tadi ada juga dua tiga orang jiran yang menawarkan bantuan, namun Harlina menolak bantuan mereka dengan sopan. Demi Allah, Harlina bukan menyombong, cuma barangnya tidak banyak. Segala kotak yang berat dan barang besar seperti katil, tilam dan peti sejuk, awal-awal lagi telah diangkut masuk oleh pemandu lori yang membawa barangan Harlina ke sini.
Ketika Harlina cuba mengangkat kotak terakhir, berubah air mukanya. Bukan main berat lagi kotak tersebut. Apabila dibuka, isinya adalah kesemua buku bacaan kesayangannya selama ini.
Nampaknya Harlina salah membuat perkiraan. Masih terdapat satu kotak berisi buku bacaan yang belum diangkat masuk. Pada masa itu jugalah pintu pagar Harlina berbunyi dan ada salam yang menyapa. Dia mengangkat muka dan seorang lelaki berdiri selang lima langkah daripadanya.
Sepi sejenak. Semilir malam bukan saja memukul kulit wajah Harlina, tapi turut memukul hatinya. Dia terpegun tanpa suara. Dia lupa bagaimana mahu menjawab salam yang disampaikan padanya.
"Assalamualaikum."
Salam kedua membangunkan seluruh saraf Harlina. Barulah bibirnya bergerak menjawab salam lelaki itu.
Perkara pertama yang melintas dalam kepala Harlina, pastilah memuji kesempurnaan ciptaan Allah untuk makhluk lelaki yang berada di depan matanya sekarang. Tapi sangat mengejutkan apabila ada suara halus yang memintanya mengabaikan lelaki tersebut. Suara halus itu datang dalam bentuk amaran.
Katanya, dia akan menyesal kalau dia tidak meminta lelaki itu beredar. Katanya lagi, lelaki ini takkan menjemput bahagia untuknya, sebaliknya memggamit derita. Lebih buruk, lelaki tersebut dipercayai boleh membuat hidupnya takkan sama seperti dulu.
Sukar untuk dijelaskan apa yang Harlina rasa sekarang. Apa yang jelas, lelaki ini memberikan aura yang mendebarkan, sekaligus membuat Harlina semakin teruk bermandi peluh.
Lelaki itu hanya memakai T-Shirt putih yang dipadankan dengan seluar bermuda paras lutut. Di belakangnya, terdapat sebuah MPV Nissan Grand Livina warna putih. Enjinya tidak dimatikan. Harlina meneka, MPV itu pasti milik lelaki tersebut.
"Saya Nias. Petang tadi masa saya keluar, saya nampak awak baru sampai. Sekarang saya balik, awak belum siap kemas lagi. Saya dapat rasa awak perlukan bantuan."
Namanya Nias. Dia menawarkan bantuan. Harlina patut menolak bantuan Nias seperti tawaran lain yang datang sebelum ini.
"Jangan risau, saya bukan orang jahat. Saya tinggal dekat sana, selang satu rumah dari rumah ni. Secara teknikalnya, saya jiran awak."
Harlina ikut memandang arah yang Nias tunjukkan. Dia sepatutnya meragui penjelasan lelaki itu, tapi sebaliknya pula berlaku. Dia menerima bulat-bulat penjelasan lelaki tersebut.
YOU ARE READING
e-Book YANG TERLUPAKAN | Best Seller
RomanceTerbitan: Rumah Pena Kayu Harga: RM21.00 Status: Sold Out Sinopsis/ Blurb Harlina dah kata... lelaki itu akan membuat hidupnya tak tentu arah. Harlina dah dapat agak ... tak ada kebaikan kalau Harlina rapat dengan lelaki tersebut. Dari kali pertama...