Kekok. Itu yang aku rasa sejak acara merisik hari tu. Hinggakan nak beli ikan pun aku suruh ayah yang tolong belikan. Tapi yang hantar tetap juga Lias.
"Kenapa pesan kat ayah pula? Biasa WhatsApp saja."
Lias letak guni ikan. Aku pesan tilapia dan ikan lampam. Aku nak 50 kilo, tapi aku minta 30 kilo dulu.
Aku tak tahu nak jawab apa. Tak tahu kenapa rasa malu dan kekok tiba-tiba. Walhal aku dengan Lias memang tak ada sebarang rahsia. Tak pernah terfikir bahawa aku akan bertemu jodoh dengan kawan aku yang kini jadi rakan sepermainan aku.
"Dah mula segan dengan aku? Relakslah, nak segan apa dengan bakal suami?"
Aku pandang muka Lias. Lias senyum. Cantik senyuman dia. Walau dia berkulit hitam tetap aku nampak manisnya. Ah! Dah kenapa, Yah? Lelaki yang bercakap dengan aku sekarang ni tetap lelaki yang sama. Tak berubah apa-apa pun.
"Lias, betul ke kau nak nikah dengan aku?" Aku akan tanya sekali saja. Lepas tu aku takkan tanya lagi. Dan aku aku akan ingat sampai mati.
"Ya. Memang aku nak kahwin dengan kau."
"Tapi kenapa? Kau kesian kat aku ke? Sebab aku tak ada orang nak? Atau mak kau yang paksa suruh kahwin dengan aku?"
Aku harus tahu kenapa tiba-tiba Lias hantar wakil melamar aku. Kalau betul dia suka, dah lama dia masuk melamar.
"Sebab aku suka kau."
"Kenapa baru sekarang kau nak suka aku?"
"Dah lama aku suka. Dari tingkatan satu lagi. Tapi aku takut kau tak terima aku. Sebab aku sedar siapalah aku."
Mengarut Lias ni. Takkan suka aku dari tingkatan satu?
"Masa tu tak cukup umur lagi kut, takkan dah pandai sukakan aku?" Aku buat-buat ketawa. Mahu mengembalikan keadaan seperti sebelum ini. Lias pun dah bercakap gaya-gaya Zul Ariffin dalam drama yang aku tak ingat tajuk.
"Mana kau tahu aku tak cukup umur?" Giliran Lias pula ketawa.
"Masalahnya kau tak pernah sebut walau sekali. Tu yang buat aku susah nak percaya."
"Cinta tu tak semesti diucapkan. Cinta tu tempatnya dalam hati." Dia buat balik gaya Zul Ariffin.
"Kalau tak diucapkan, manalah aku nak tahu."
Aku ambil guni berisi ikan dan aku longgokkan semuanya.
"Cinta yang ikhlas akan nampak juga nanti." Tak larat aku nak layan Zul Ariffin bercakap. Jadi, aku buat-buat sibuk.
"Wan ada telefon aku." Perlahan suara Lias.
"Wan telefon kau?" Aku sedikit terkejut. Tak sangka Lias pun dia kacau juga. Aku ingatkan Wan kacau aku seorang saja. Memang melampau. Berusaha bersungguh untuk mengubah keputusan kami.
"Ya."
"Dia nak apa?"
"Dia tak benarkan aku kahwin dengan kau. Dia cakap aku tak mampu sara kau, jauh sekali nak membahagiakan kau."
Aku hela nafas. Aku sudah dapat membayangkan kata-kata hinaan yang Wan lontarkan buat Lias. Kata-kata hinaan itu pasti saja menyakitkan hati Lias.
"Habis, kau cakap apa?"
"Aku cakap aku akan berusaha membahagiakan hidup gadis yang paling aku sayang. Aku takkan sama sekali biarkan dia menyesal kerana pilih aku."
Indahnya kata-kata Lias. Tak pernah dia tuturkan kata-kata macam tu.
"Kau jangan termakan hasutan dia, Lias. Kalau kau termakan, maknanya kau bukan lelaki. Kau kena buktikan pada dia pilihan aku tepat."
Aku hanya mampu memberi kata semangat buat Lias. Selebihnya biarlah Lias buat keputusan sendiri. Dia berhak memilih siapa yang bakal jadi teman hidupnya nanti.
YOU ARE READING
Cik Yah Dan Encik Lias
General FictionTajuk: Cik Yah dan Encik Lias Penulis: Airisz Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-129-5 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2019