Usai solat subuh, aku sudah keluar rumah. Hari ni aku kena buat 50 kilo kerisik. Esok kena hantar rumah Haji Lamin. Jumaat dia dah mula nak buat rendang tok. Ahad, majlis perkahwinan anak perempuan dia.
Untuk dapatkan sekilo kerisik memerlukan lebih kurang enam atau tujuh biji kelapa. Bermakna aku kena mesin kelapa sebanyak 300 biji. Lias dah carikan stok kelapa.
Selalunya sebiji kelapa dalam 90 sen yang tidak berkupas dan seringgit yang dah berkupas kulit. Tapi stok baru ni tak sempat peraih nak kupas sebab dia ada masalah dengan pekerja.
Semalam aku dengan ayah sudah siap kupas kelapa. Lias pun ada datang tolong dekat-dekat nak maghrib. Pagi ni aku akan mesin kelapa dan jemur terlebih dahulu sebelum proses menggoreng.
Aku cakap dengan mak, nanti aku balik sarapan. Kalau aku tak balik, maknanya aku makan nasi lemak warung Haji Karman.
La, Lias dah sampai rupa-rupanya. Aku lupa, hari Rabu memang tak ada pasar pagi. Rasanya balik dari surau dia terus datang bengkel. Ini kerana dia masih memakai jubah dan berkopiah.
Bunyi mesin kelapa bingitkan suasana. Jadi, tak perlulah aku sapa Lias. Dia tengah tekun buat kerja.
Mujur Lias datang tolong. Mak Lah datang lewat sikit sebab Mak Lah nak pergi klinik. Rutin pesakit darah tinggi yang kena pergi klinik setiap tiga bulan sekali.
Aku ambil nyiru bulat untuk jemur kelapa. Banyak juga kelapa yang sudah dia mesin. Nyiru yang penuh dengan kelapa parut aku bawa ke para jemuran di sebelah bengkel. Lias tolong buatkan para tersebut. Katanya senang aku nak jemur kelapa parut.
"Dahlah tu. Biar aku buat." Aku tepuk bahu Lias. Lias tidak peduli. Dia habiskan memarut kelapa di tangannya. Selepas itu barulah dia tekan suis mesin.
"Kau pun banyak kerja. Tak payahlah tolong aku."
Lias bangun dari kerusi plastik berwarna merah yang dia duduk.
"Suami isteri kena bekerjasama. Barulah produktiviti dapat ditingkatkan."
"Belum lagi suami isteri. Baru tunang." Aku betulkan ayat Lias.
Lias tersenyum dengan senyuman manis. Nampak sangat muka tak sabar nak kahwin.
"Kau dah sarapan ke belum?" Dia tanya. Mata kami saling bertentangan.
"Belum."
"Aku balik dulu."
"Terima kasih."
Tanpa menjawab ucapan terima kasihku, Lias ke motosikalnya dan sebentar kemudian keheningan suasana dibingitkan dengan bunyi motosikal Lias. Aku pandang sehingga Lias hilang dari pandangan.
Aku mula mesin kelapa. Separuh kerja aku dipermudahkan. Lias dah belah kesemua kelapa. Aku datang awal ke bengkel ni sebab nak belah kelapa tapi Lias dah tolong buat.
Pukul sembilan lebih barulah kerja mesin kelapa selesai. Habis semua nyiru aku guna. Sepuluh semuanya. Sakit pinggang, sakit tangan, semua aku tahan. Aku duduk ketika. Melepas lelah sementara menunggu kelapa parut kering.
Masa aku teguk air, Wani sampai. Pagi-pagi dah cari aku. Ada sajalah benda yang dia nak kutuk aku. Kali ni entah apa pula yang tak kena. Pelik dengan manusia seorang ni. Tak senang hidup kalau tak kacau aku. Naik meluat tengok muka dia.
"Apa hal pagi-pagi cari aku?" Aku pandang muka Wani yang kecil molek. Kulitnya semakin putih. Ada yang kata Wani makan ubat bagi putih kulit. Hurm, apa guna kulit putih kalau hati tetap hitam? Hati tu sepatutnya diubati dulu.
"Aku tahulah kenapa kau dengan Lias buat bengkel ni. Senanglah kau orang nak ehem-ehem. Dahlah hujung kampung. Mana orang tau, kan?
Astaghfirulahalazim. Tuhan, tabahkan hati aku. Aku tak mahu cari pasal dengan hamba-Mu seorang ini. Bukan lawan aku. Niat jahatnya terlalu banyak. Fitnahnya berleluasa.
YOU ARE READING
Cik Yah Dan Encik Lias
General FictionTajuk: Cik Yah dan Encik Lias Penulis: Airisz Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-129-5 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2019