"Haura..."
Nafasnya tercungap-cungap menahan ketakutan yang membedil. Bibirnya terketar-ketar ingin menuturkan sesuatu. Tangannya menggigil cuba memaut jemari isterinya ke dalam genggaman.
"A-aku t-tak salah. T-tak salahkan?" Seiring itu tawa hambarnya pecah. Kedengaran pedih dan ketakutan.
"Abang. Jangan macam ni..." Haura memejam matanya serapat mungkin seolah ingin menghapuskan rasa perit di dada. Titisan air jernih semakin menderas turun membasahi pipi mulus miliknya.
Kepala suaminya yang bersandar pada dadanya diusap sayang dan semakin dibenamkan ke dalam pelukan.
"Abang tak salah, sayang..." Bibir manisnya dilabuhkan pada ubun lelaki yang dicintainya itu.
"Abang jangan takut. Haura sentiasa ada dengan abang. Sentiasa di sisi abang..."
"Aku takut..." Haziq menarik nafas yang terasa payah. Kedengaran memberat dengan dada yang berombak deras.
Pinggang isterinya pula dirangkul kasar seperti anak kecil yang ketakutan. Sisi baju Haura diramas kuat seolah ingin menyalurkan rasa takutnya yang begitu menghantui.
"You don't have to be afraid, dear." Haura berbisik lemah pada ubun suaminya. Kedua telapak tangannya naik melekap pada kedua pipi kurus lelaki itu sebelum diangkat agar tepat menghadap wajah basahnya.
"Haura kan ada. Baby pun ada ni..."
Air mata yang menitis di pipi suaminya itu diseka lembut seraya ditarik tangan menggigil tersebut agar melekap pada perutnya yang mula menampakkan bentuk.
"Kami sentiasa percayakan abang. Kami tahu abang tak salah...jangan takut ye."
Haziq membalas renungan isterinya dengan pandangan yang berkaca-kaca. Terbit satu perasaan yang begitu memberat di dada. Perasaan bersalah pada wanita di hadapannya ini begitu menjerat tangkai hatinya. Namun rasa itu sekelip mata dihapuskan dengan rasa ego yang entah datang dari mana.
"Tapi kau bukan sesiapa untuk aku. Aku tak cintakan kau. Aku tak perlukan kau. Aku tak mahu kau!"
Haziq kembali berubah karakter. Jika sedari tadi kolam matanya kelihatan melembut dan menjernih, namun kini digelapkan dengan api kebencian yang mula marak membakar diri.
Haura hanya tersenyum hambar mendengarkannya. Senyuman tipis yang cuba merawat rasa pedih dan kecewa yang mula berbekas di dalam hati.
Tak apa. Aku tak kisah. Aku tahu dia tak maksudkannya. Aku tahu dia perlukan aku, di samping dia...
Wajah suaminya yang menegang itu disentuh lembut dan penuh kelembutan pipi itu diusap dengan ibu jarinya. Matanya turut bergerak sama merenung gerakan ibu jari sendiri yang mengusap.
"Saya tahu." Senyuman penuh kepedihan ditarik lagi.
Kelopak mata Haziq semakin terangkat merenung sepasang mata isterinya yang masih melekat pada pipinya tersebut.
"Saya tahu saya bukan sesiapa, dan abang..." Senyumannya semakin terasa payah untuk terukir. "Tak cintakan saya."
Air mata yang jatuh lagi, segera diseka kasar.
YOU ARE READING
Kalam Yang Dinanti [TERBIT]
RomanceCOMPLETE Amirul Haziq Haura Syafirah • Review pembaca • "SUMPAH! Bagi saya cerita ini langsung tak clishe malah tersangatlah susah nak jumpa cerita bagus macam ni." . Story yang mencabar emosi dan yang paling penting bukan clishe. Sesuatu yang berla...