LANGKAH kaki diatur dengan berhati-hati. Tidak mahu kepulangannya ke rumah ketika embun jantan mula menitis disedari penghuni rumah mewah itu. Dia teraba dalam kegelapan. Saat kakinya baru mencecah anak tangga pertama untuk mendaki ke tingkat atas di mana bilik tidurnya ditempatkan, lampu utama ruang tamu dinyalakan. Langkahnya mati. Dia kaku di kedudukannya.
"Baru jumpa jalan balik? Dah pukul berapa ni Mel?" teguran suara garau itu menyentap jantung Amelda.
Amelda bisu.
"Dah hilang suara dah?" sergah dato' Amir. Melotot matanya memandang wajah puteri tunggalnya itu.
"Abang tak perlu la marah Amel macam tu. Awak ni kenapa bang? Cuba tanya dia elok-elok," teguran Datin Safiah yang muncul di belakang papanya melegakan debaran Amelda. Dia tahu pasti mama akan membelanya.
"Awak jangan biarkan sangat budak ni boleh tak? Budak ni dah pijak-pijak kepala kita, awak masih boleh suruh saya berlembut," bentak Dato' Amir.
"Abang, dahlah tu. Amel, kenapa baru balik? Dari mana, sayang?" soal Datin Safiah lembut. Wajah putih bersih Amel dielus lembut.
"Amel dari rumah kawan, Nina. Ada study group. Lepas belajar, Amel tertidur. Nina tak sampai hati nak kejutkan Amel, jadi dia biarkan Amel tidur kat sana," balas Amelda tanpa memandang langsung wajah papa. Gerun melihat wajah papa yang menyinga, bersedia membahamnya bila-bila masa sahaja.
"Dah tu, tak reti-reti nak telefon? Buat apa guna telefon mahal-mahal kalau nak telefon kami pun tak boleh?" marah Dato' Amir masih belum reda.
"Tertinggal dalam bilik. Lagipun kan Amel tertidur, macamana nak telefon," jawab Amelda gugup.
"Papa belikan Amel telefon bukan untuk Amel buat perkara tak senonoh. Papa belikan telefon supaya senang Amel nak berhubung dengan kami. Denngan kawan-kawan."
"Apa papa ni? Pagi-pagi buta nak melalut-lalut ni? Amel letihlah," Amelda mengomel. Wajahnya jelas mempamerkan riak tidak senang. Kepalanya masih terasa berpusing-pusing. Meskipun semalam dia tidak meneguk sebarang minuman keras di parti liar Chan, namun suasana hiruk-pikuk di rumah besar itu benar-benar menyesakkan kepalanya.
"Menjawab! Amel jangan biadab dengan papa. Amel ingat papa tak tahu apa yang Amel buat, mana Amel pergi? Rumah Nina konon! Entah rumah jantan mana Amel pergi, pagi baru tahu nak balik. Papa dah telefon semua kawan Amel. Tak seorang pun tahu mana Amel pergi. Mujur Amel tertingal telefon. Entah jantan tak guna mana hantar mesej tak senonoh ajak pergi rumah dia, suruh Amel layan dia. Bila papa selongkar telefon, rupanya berlambak video entah apa-apa dalam tu. Mana Amel dapat?
Malu papa nak tengok semua tu. Papa dan mama tak pernah sangka Amel belajar benda-benda macam ni. Mana Amel belajar ni? Dari kawan-kawan Amel yang tak sekolah tu? Yang berpeleseran tak tentu hala tu? Ke sana sini, bawak motor macam orang tak berpendidikan. Kawan-kawan bohsia Amel tu? Amel ingat papa tak tahu Amel ponteng sekolah hari ni? Bukan setakat hari ni je tapi dah dua tiga bulan Amel buat macam ni. Mana Amel pergi? Merayap ke mana? Macam anak takde mak bapak je. Malu papa kalau ada kawan-kawan papa nampak Amel. Tahu tak?" marah Dato' Amir sudah memuncak. Telefon pintar berjenama milik Amelda dihempas ke lantai. Mengekspresikan rasa marah yang membuak-buak dalam hatinya.
Kecut perut Amelda melihat telefon kesayangannya sudah berkecai. Skrin kacanya sudah retak.
"Papa tak tahu kalau papa dah salah ajar Amel selama ni. Apa yang Amel nak, semua papa bagi. Apa lagi yang tak cukup?"
"Apa yang tak cukup? Papa tanya Amel apa yang tak cukup? Papa tak pernah sedar? Kasih sayang! Perhatian! Tu yang tak cukup. Papa dan mama tak sayangkan Amel. Amel tahu, Amel cuma anak pungut, anak haram. Amel hanya malukan papa je!" bentak Amelda, menyuarakan rasa hati yang bergelodak. Entah dari mana datangnya keberaniannya untuk bertentang mata dengan Dato' Amir. Tidak pernah dia membentak sebegitu. Dadanya sudah sarat dengan seribu satu perasaan. Mungkin sudah tiba waktunya untuk dia melepaskan.
YOU ARE READING
ANTOLOGI : Sekadar Karya Picisan
General FictionKerana aku bukanlah seorang penulis, tapi seorang yang ingin menulis seadanya. Maka lahirlah secebis karya sekadar picisan yang perlukan pembaca untuk menilai hasilnya. Maka aku mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim ..