Hujan #1.3

3.5K 23 2
                                    

Hujan masih luruh lewat jendela, bukan lagi berbentuk kristal tapi sudah menjadi seperti serpihan kaca, yang jika terkena kulit pasti menyakitkan tapi rasa di dalam hatinya lebih menyakitkan, sebab itu dia tidak peduli pada hujan. Dengan mudah ingatannya terpanggil mengenang detik-detik kapal ikan tempat suaminya bekerja pergi ke laut dalam, yang cuma malaikat maut berani ke sana. Semuanya demi bertan-tan hasil yang dipercayai oleh nakhoda kapal, akan dapat memberikan mereka rehat berbulan-bulan tanpa putus bekalan kewangan sepanjang musim tengkujuh nanti.

"Lebih jauh abang pergi, lebih besar ikan yang akan abang tangkap," kata suaminya, pada saat Azizah mohon penjelasan tentang logik pergi ke laut dalam. "Ini peluang kita, Jah. Abang tak mahu menoleh ke belakang lagi."

"Tidakkah bahaya, bang?"

"Nakhoda janjikan hasil 50-50, sebab hanya abang yang mahu pergi bersamanya, ada 4 awak-awak dari selatan Filipina, kami pergi berenam. Lebih sedikit lebih bagus, lebih besar hasilnya."

"Tetapi tempoh sebulan tu dah masuk musim tengkujuh, bang."

"Abang janji akan pulang sebelum tengkujuh."

"Tapi abang kata, abang akan pergi sebulan."

"Itu cuma anggaran, mungkin lebih cepat lagi."

Semenjak kapal ikan tempat suaminya bekerja menjadi pemilikan tunggal, tidak lagi dikongsi dengan nakhoda lain, yang selama ini mengamalkan sistem perkongsian telah mengurangkan hasil pendapatan, yang mendorong kepada jumlah pelaburan semula yang rendah, apatah lagi dengan tangkapan bermusim, serta harga diesel yang tinggi jika tanpa subsidi, namun jika harus menunggu subsidi maka kapal tidak dapat pergi jauh. Kini semuanya bukan lagi halangan, sebab itu peluang harus dimanfaatkan selagi boleh.

"Ini peluang kita mengubah nasib, Jah."

"Jah tahu, abang ada angan-angan mahu memiliki bot sendiri tetapi..."

"Jah, jika kali ini abang dapat tangkap banyak ikan, semua hutang kita dapat dilangsaikan dan abang akan beli sebuah bot, masa depan kita akan lebih baik selepas itu."

Janji-janji suaminya yang akan pulang sebelum musim tengkujuh telah tersasar seperti busur panah mengena ke batang pokok sedangkan yang hendak dipanah ialah helang di udara. Jika sekadar tersasar dia masih tidak berkira, tetapi bagaimana jika sesuatu yang buruk telah menimpa suaminya? Bagaimana jika suaminya yang kurus seperti sekeping papan itu diterbangkan angin dan dipukul hujan di tengah laut? Lebih dahsyat dari itu, bagaimana jika kapal ikan yang membawa suaminya terbalik ditelan ribut lalu tenggelam tanpa nisan di laut antah berantah?

Sungguh dia tidak dapat menahan diri lalu mencari payung di belakang pintu, sebelum pergi menyelimutkan Aziz yang nyenyak di penjuru kanan ruang rumah. Auratnya ditutup jilbab labuh hitam kegemarannya, dalam hujan dan pekat malam jam 9 dia melangkah menyerahkan dirinya ke tangan takdir, menuju ke rumah tetangga yang jaraknya 10 minit perjalananan untuk bertanya kalau-kalau mereka ada mendengar khabar tentang kapal karam, atau dihentam badai, atau apa-apa pun istilahnya kerana dia diterkam perasaan ingin tahu yang mendalam.

Jalan bertar yang tiada lampu menyukarkan penglihatan namun kakinya disuluh oleh hati yang memancar kebimbangan. Kakinya tersadung batu, atau barangkali akar tetapi dia gagal mengimbangi diri, payungnya terlepas dari genggaman, tubuhnya melayang dan kepalanya terhentak sesuatu, mungkin batu, sebelum sempat dia berasa sakit, pandangannya gelap, segelap malam.

Ketika dia membuka matanya, dia berada di lantai bilik tidurnya, dikelilingi wajah-wajah yang dikenalinya. Ada Salmah yang segera mengipas wajahnya dengan selendang dan ada Mariam yang kemudian meletakkan minyak angin di hidungnya, di ruang tamu kedengaran suara kanak-kanak, 2 3 orang tetapi dia mencari suara Aziz. Kepalanya perlahan diangkat, Mariam cepat-cepat membantu menegakkan tubuhnya.

"Kau pengsan, untung Haji Min yang balik dari masjid semalam jumpa kau terbaring di jalan raya," kata Salmah tanpa bertangguh ketika melihat wajah Azizah ada tanda tanya.

"Aziz mana?"

"Dia ke sekolah," jawab Mariam.

"Pagi tadi ada berita kapal dihentam badai dekat Pulau Sipadan, aku harap bukan kapal yang membawa suami kau."

"Apa?"

"Sekarang cuaca buruk dan suami kau belum kembali dari laut."

Penjelasan Mariam itu sama sekali tidak membantu, malahan menambah kelajuan degupan jantungnya hingga dia dapat merasakan kakinya yang cuba berpijak pada lantai rumah tidak lagi menapak tetapi terapung-apung di udara, jika dia boleh melayang terbang, dia ingin terbang menembusi hujan di luar yang garang memukul bumbung dan dinding rumah.

Tuhan, kembalikan suamiku yang kurus kering itu kepadaku, jika dia tidak membawa bertan-tan ikan, tidak mengapa, hidup kami memang susah, tetapi janganlah Kau tanam benih impian ke dalam kepalanya tentang mahu menjadi senang dan lari daripada kesusahan, yang sekarang benar-benar menyusahkan isteri dan anaknya. Azizah berdoa kuat-kuat, tetapi dalam hati bersama dua lingakaran air mata, di muka jendela. Harapannya seperti cahaya lilin yang semakin berada di penghujung, dia nyaris berputus asa tetapi ada bilah-bilah sinar matahari mulai muncul di satu belahan penjuru langit.

Cahaya matahari yang suam-suam menghangatkan wajahnya yang telanjang dan polos menatap langit. Dua orang tetangganya telah pulang tidak lama sebelum hujan merenyai, beberapa jam lalu. Dia terlepas waktu makan tengah hari yang disediakan Mariam, tetapi perutnya tidak lapar dan tekaknya tidak dahaga, walaupun kepalanya pening-pening sejak semalam barangkali dehidrasi kerana kurang minum air. Aziz pulang dari sekolah sejam yang lalu, riuh anaknya bertanya mengapa ayahnya belum pulang lagi, dia tetap dengan jawapan yang sama, tapi hari ini disertai rasa bersalah kerana berbohong dengan budak kecil yang belum punya dosa.

Apakah ini satu ujian dalam bentuk lain, selain nikmat kemajuan sistem ekonomi, sosial serta politik negara ini yang jarang berpihak kepada orang susah sepertinya? Apa sahaja yang diberikan kepadanya seperti subsidi, derma ikhlas, atau bantuan rakyat miskin, semuanya diterima dengan lapang dada. Sebab hidup cuma sementara, selagi mereka dapat hidup bahagia dengan orang disayangi, itu sudah mencukupi dan soal kenaikkan harga barang, kos hidup tinggi, masalah nelayan dan lain-lain, semuanya diatasi tanpa mereka memburuk-burukkan pemimpin. Tetapi seorang perempuan sepertinya tidak dapat diuji dengan kehilangan suami atau anak, dugaan itu terlalu besar, lebih besar daripada krisis ekonomi dunia.

"Semalam ibu kata hari ini ayah sepatutnya pulang," Aziz sudah bangun daripada tidur dan berdiri di belakangnya.

Hujan mulai reda, hingga bumbung rumah seperti dipijak burung dan dinding, begitu sepi.

"Apa lagi alasan ibu?"

"Jika ayahmu tidak pulang," bibirnya diketap-ketap, dia tidak sanggup lagi mengajar si anak berbohong, walaupun kebenaran sangat pahit.

"Barangkali...."

Sebuah van usang menjalar masuk ke halaman rumah, dia kenal kenderaan buruk itu, ia kepunyaan nakhoda kapal tempat suaminya bekerja. Cepat-cepat dia menarik jilbab di belakang pintu dan menutup aurat seraya melangkah ke pintu utama. Suara seorang pemuda diselangi tawa dan bunyi enjin kenderaan mengelirukan telinganya, sedangkan matanya mencari kelibat si suami, yang ternyata tiada di tempat duduk hadapan.

Tuhan, jangan hantar berita buruk di tangga rumah ini, ini rumah orang miskin yang selalu berjuang hanya demi kasih sayang, matanya berkaca dan jemarinya memintal hujung jilbab.

Pintu van terbuka dari dalam, tersembul kepala seorang lelaki, kemudian tubuhnya dan terakhir sekali kakinya yang memijak ke tanah, lalu segera memadamkan semua kebimbangan dalam tabung emosi Azizah. Bau laut dan bau tanah yang basah mengapung di sekeliling mereka ketika lelaki itu menoleh ke arah si anak, yang kemudian menyebabkan si Aziz berlari mendapatkan si lelaki sambil berteriak.

"Ayah balik!"

Pemuda yang turun dari tempat duduk pemandu segera membantu menurunkan tong-tong ikan dari dalam perut kenderaan.

"Untung bang," kata pemuda itu. "Kali ini kita dapat hasil 20 tan."

"Amin, rezeki orang rumah." Seraya mata suaminya menghala kepadanya. Mata itu letih tetapi basah dengan senyuman, juga rindu.

Dan hujan benar-benar sudah berhenti.

Tamat.

HujanWhere stories live. Discover now