Si Tua dan Adat Lama #3.2

513 8 0
                                    

Lait... Cucu-cucu kita juga comel tapi sayang sekali, lidah mereka tebal untuk menuturkan bahasa lembut kita. Anak-anak kita sudah mengabaikan bahasa ibunda mereka. Aku sendiri telah melakukan kesilapan besar. Kesilapan kerana mengikut kata-kata Siah agar berpindah ke rumah modennya yang ternyata penjara bagi sisa hayatku. Aku telah meninggalkan rumah panjang kaum kita, jauh terpisah daripada keakraban serumah panjang, jauh daripada kemesraan hilai ketawa sanak saudara dan jiran tetangga kita. Sungguh. Itu adalah kesilapan yang semakin menghukum hari-hari terakhirku.

Ah, keluh kesal ini tidak berpenghujung seperti juga arus sungai yang terus mengalir ke kuala dan semakin melebar ke laut dan terus ke lautan yang tidak bertebing.

"Maafkan aku, Lait," bisiknya.

"Mak, janganlah disebut-sebut lagi tentang adat lama itu. Anak-anak aku tidak akan memakai royang, apatah lagi rasung itu. Itu semua adat lama yang pelik dan kolot. Jangan cuba mempengaruhi mereka. Mereka akan menjadi bahan ketawa orang ramai. Adakah itu yang mak mahu?" kata-kata Siah itu pedih, lebih pedih daripada mata terpercik cili padi.

Dia menuduh aku hendak mempengaruhi anak-anaknya, iaitu cucu-cucuku, darah dagingku sendiri. Hanya kerana Mela mengagumi perhiasan tembaga ini, maka Siah menuduh aku mahu meracun fikiran anaknya.

"Cantik gelang nenek. Mela suka."

Jemari mungil Mela mengelus perlahan lingkaran gelung rasung yang tidak pernah tanggal dari lengannya. Hanya setakat pujian kecil itu, Siah mengata dia. Ah! Liur pahit terpaksa ditelannya juga.

Pandangannya melurut turun pada royang yang berlingkar di kedua-dua belah lengan. Pandangan ini tidak lama, sebelum beralih ke arah betis kurus yang berhias rasung. Hatinya mengeluh; apa salahnya pada adat? Apa yang pelik dan memalukan apabila adat budaya itu dipertahankan? Dalam usia seawal 6 tahun, dia telah dipakaikan rasung dan royang oleh emaknya. Dia akur bukan kerana takut dimarahi oleh emak atau neneknya. Tetapi, naluri ini mengatakan akan kecintaan pada adat budaya peninggalan datuk moyang yang masih menebal. Mungkin benar, dia terlalu hijau untuk memahami semuanya itu tapi sungguh jauh berbeza sikap hormat Siah berbanding dengan dirinya.

Masih jelas petang itu, Siah balik dari sekolah tanpa rasung dan royang bersamanya. Deras tangisannya mengisi ruang awah hingga terasa lantai dan dinding yang dibuat daripada buluh itu bergegar dan atap anyaman daun rumbia bergetar. Batinnya jadi bercanggah dengan fikiran.

"Mak, rasung dan royang itu menyakitkan betis dan lenganku. Aku telah terjatuh semasa pulang tadi dan hampir terluka dibuatnya." Air mata berjuraian di pipi Siah yang baru berusia 11 tahun ketika itu.

"Lalu, mana rasung dan royangmu?"

Dia masih bersangka baik dan memeluk, berusaha memujuk tangisan Siah dengan fikiran yang berputar mencari kewajaran. Kenapa boleh sampai terjadi sedemikian? Rasung dan royang yang menghiasi dirinya selama itu yang beratnya melebihi satu kilogram, tidak pernah jua melukannya. Malahan, tidak pernah ditanggalkan walau meredah jauh perjalanan di hutan untuk keluar ke pekan atau ke mana-mana pun.

"Patah dan telah aku buang."

Dia terkesima seketika sebelum menelan habis kata-kata Siah. Memang Siah anak yang cerdik dalam lakonannya. Sekarang dia semakin memahami dan merumus bahawa Siah sebenarnya enggan memakai royang dan rasung.

Sungguh memilukan apabila Siah enggan memahami tujuan seorang gadis Bidayuh itu memakai rasung dan royang. Dia pernah menjelaskan bahawa rasung dan royang bukan sekadar untuk kesukaan, ia adalah lambang kedewasaan dan keberanian menghadapi ujian kehidupan. Apa tidaknya jika kedua-dua betis dan lengan dibelit lingkaran besi tembaga, bererti pembesaran anggota tubuh itu terhalang dan semestinya menyakitkan. Amat difahami kerana dia telah melaluinya. Tetapi, tidakkah Siah faham bahawa bukan sebarangan gadis yang tabah berpeluang memakainya.

"Tembaga mak itu bukan lagi berharga, bukan lagi lambang kekayaan seperti yang mak bangga-banggakan. Hendak digadai pun, tidak boleh. Tidak menguntungkan apa-apa pun."

Kata-kata Siah itu seolah-olah menjerut tulang leher kurusnya, sesak nafas rasa tercekik. Ngilu terasa di lubuk jantung didera oleh kata-kata Siah, anak kandungnya sendiri.

Memang dia akui, zaman dahulu, logam tembaga sukar didapati di kawasan pendalaman, maka rasung dan royang juga dilambangkan sebagai kekayaan sesebuah keluarga. Rasung dan royang menjadi perhiasan mewah. Memang ayahnya seorang yang berharta sewaktu ketika dahulu, punya berbelas barangan tembaga yang berupa alat muzik seperti gong dan perhiasan diri dan rumah. Tetapi kesemua itu habis musnah apabila rumah panjang mereka hangus terbakar. Seluruh penghuni rumah panjang tinggal sehelai sepinggang. Mujur, rasung dan royang kekal dalam pemakaiannya dan hanya itulah barangan tembaga yang terselamat.

Salahkah jika dia masih memakai harta warisan itu? Siah tidak berhak berkata sedemikian. Adakah Siah mahu membuktikan bahawa zaman sekarang, wang adalah penentu kesenangan? Sampai hati Siah. Mata hati Siah buta menilai. Begitu rendah pandangan Siah, anak yang dilahirkannya di rumah panjang. Mungkinkah kerana masa remaja Siah banyak dihabiskan di sekolah berasrama hingga tidak menjamin kesetiaannya, dia lupa pada asal usulnya?

Adakah nilai wang itu lebih berharga daripada adat tradisional suku bangsa sendiri? Usah difikirkan pula tentang anak-anaknya yang lain, semuanya serupa, sesat dalam belantara kota.

Kalau Lait masih ada, tentu mereka tidak derhaka begitu. Tentu mereka mendengar kata tetapi Lait awal meninggalkan dia; hilang arah hingga kemudiannya dia terlalu memanjakan mereka hingga bersulur-bulur diri sendiri, keluhannya yang entah ke berapa kali.

HujanWhere stories live. Discover now