Cloud kemudian mendekati kuda-kuda itu lalu dia mengusap kepala mereka. "Hei, penat ke? Nak minum?" soalnya. Kuda-kuda itu mendengus. Cloud tertawa kecil lalu dia berlari dan mendapatkan tong air di belakang kereta kuda itu. Dia mengambil sebiji tong dan membawa ia ke hadapan lalu menuangkan ia pada bekas minuman kuda yang berada di tempat duduk Aaron.
Setelah itu Cloud membawa ia ke hadapan kuda-kuda itu dan memberi mereka minum. "Huh, berat juga air korang ni kan?" soalnya lalu dia berdiri dengan perasaan yang berpuas hati melihat kuda-kuda tersebut minum air itu dengan gelojoh.
Dia kemudian terdengar sesuatu lalu memandang ke tepi arah laluan masuk rumah tabib itu dan nampak beberapa orang lelaki berkeliaran diluar sambil menjeling ke dalam rumah itu. Cloud memandang ke arah rumah itu juga untuk mengetahui apa yang diperhatikan oleh mereka. Dia dapat melihat Alice yang berada di sebalik tingkap rumah itu dengan jelas. Dia terasa tidak sedap hati lalu memalingkan wajahnya semula ke arah lelaki-lelaki itu.
Lelaki-lelaki itu pula sedar yang Cloud sedang memerhatikan mereka. Salah seorang daripada mereka memberi isyarat kepada yang lain untuk berpura-pura lalu di situ. Setelah melepasi rumah tabib tersebut, mereka pun beredar. Cloud berasa semakin tidak sedap hati melihat akan perilaku mereka yang mencurigakan itu.
Manakala itu, di dalam rumah tabib pula Alice duduk di tepi ruuang tamu dengan kebosanan memandang ayahnya berbual dengan wanita tadi. Mereka kelihatan begitu rapat dan mesra. Ya, itulah kelebihan ayahnya. Kaki perempuan.
Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita menghampiri mereka tetapi wanita ini kelihatan sopan dan dia menundukan sedikit badannya sebagai tanda hormat kepada mereka semua.
Alice memerhatinya dan mendapati bahawa wanita ini adalah seorang yang baik. Dia memakai baju jubah berwarna putih dengan hud putih pada kepalanya. Wajah wanita yang ini juga kelihatan tidak lekang dengan senyuman.
"Ini adalah Yane. Dia merupakan tabib paling muda kat sini," jelas wanita pertama itu. "Oh. Selamat berkenalan Yane. Boleh tak Cik tolong anak saya? Sebentar tadi perilakunya agak... Aneh," kata Aaron.
Yane hanya memandang ke arah Alice sambil tersenyum. Alice yang pada masa itu turut memandangnya terkejut kerana mata Yane juga bersinar biru sepertinya. Yane kemudian tersenyum ceria memandangnya lalu mengangguk faham pada Aaron.
Tanpa sebarang suara, dia menunduk hormat sekali lagi sebelum berjalan menghampiri Alice. Aaron mahu mengekori Yane tetapi wanita tadi menghalangnya kerana mahu berbual lagi. Aaron pun terpaksa menurut.
Yane mendekati Alice dan tersenyum. "Hai, Alice Walker," sapanya. Suaranya lembut sahaja di antara dengar dan tidak dengar. Alice terkejut. "Mana kau tahu nama aku?" soal Alice. Dia merenung wanita itu dengan perasaan yang penuh curiga. Yane pula hanya membalas renungannya itu dengan senyuman.
"Saya tahu segalanya tentang kamu. Saya tahu kerana kita berdua adalah sama," kata Yane sambil mengusap kepala Alice lembut. Mata kirinya bersinar biru terang begitu juga mata kiri Alice.
Yane dapat melihat bayangan memori Alice. Kesemua bayangan itu muncul sepantas kilat, sungguh pantas. Dia dapat melihat Aaron sedang berdiri di hadapan sambil berbual gembira dengan kawan-kawannya. Kemudian muncul pula bayangan seorang bayi sedang menangis. Tidak lama kemudian muncul pula bayangan seorang wanita yang sedang tersenyum. Wajah wanita itu sungguh cantik dan tenang.
Setelah itu suatu bayangan api muncul di hadapan dan kedengaran suara-suara yang berteriak ketakutan.
"Ahli Sihir! Kita kena lindungi Alice walau apa pun yang terjadi! Walaupun kita terpaksa lindunginya dengan nyawa kita kerana cuma dia sajalah yang dapat mencari penyelamat kita!"
YOU ARE READING
Kerajaan Terakhir by @penasalju | PREVIU
FantasyPada mulanya dia hanya mahu mencapai impiannya untuk menjadi seorang kesatria yang hebat seperti White Leader Aaron. Namun takdir telah merancang sesuatu yang lebih daripada itu dan tanpa disangka, dia terlibat dalam konflik pembunuhan beramai-ramai...