"Aku tak akan biarkan projek gila kau berjaya orang tua," gumam Mahfuza sendiri di dalam biliknya.
Pintu biliknya diketuk dari luar, dengan malas Mahfuza bergerak ke arah pintu. Melihatkan wajah manis ibunya yang sentiasa tersenyum, Mahfuza merenggangkan lagi pintu membenar ibunya masuk ke dalam biliknya. Mereka sama-sama melabuh punggung di birai katil.
"Apa yang orang tua tu cakap pada ibu?" soal Mahfuza tanpa memandang wajah ibunya. Sekadar menunduk sambil memainkan jari sendiri.
"Orang tua? Mana ada orang tua kat rumah kita ni Fuza. Yang ada ayah dan ibu sahaja... Mbak Oleng pun orangnya masih ganteng kok," jawab Datin Marisa sambil tertawa kecil.
"Alaaa ibu ni... ibu tahu siapa yang Fuza maksudkan. Pasti dia marahkan ibu lagi sebab Fuza, kan?"
"Orang tua tu ayah Fuza, jadinya Fuza wajib panggil ayah... bukan orang tua. Dan seburuk-buruk perangai ayah Fuza tu tetap lelaki yang bertanggungjawab membesarkan Fuza selain ibu. Tidak ada sedikitpun dia culas soal nafkah atau tanggungjawab pada kita berdua."
"Fuza tak benci ayah, ibu. Fuza cuma tak suka apa yang ayah buat. Itu semua menentang hukum alam. Melawan kekuasaan Tuhan. Fuza tak nak ayah menjadi golongan yang dilaknat Tuhan... ibu faham, kan?" Bidas Mahfuza panjang lebar.
"Oleh itu berdoalah, meminta pada Tuhan. Doa adalah salah satu senjata orang beriman. Fuza doa, minta dengan Allah supaya menjaga hati ayah dan dilupakan niatnya untuk meneruskan projek tu."
Mahfuza terdiam. Matanya memandang tampang ibunya. Dalam hati dia sedikit terkesan, Datin Marisa adalah satu-satunya wanita yang amat dia kagumi. Dalam dia melayan hangat amarah kerana perbuatan Dato Malik, ibunya hadir menyejuk hati.
"Fuza tak tahu macam mana Fuza akan hidup tanpa ibu. Maafkan Fuza seandainya Fuza melukakan hati ibu." Mahfuza memeluk erat tubuh Datin Marisa.
"Ibu sayang Fuza lagi banyak," balas Datin Marisa juga memeluk tubuh Mahfuza erat.
***
Keesokannya, Mahfuza berlari-lari anak keluar dari rumah. Tidak mahu bertembung dengan ayahnya. Laungan Datin Marisa juga tidak diendahkan, basikal dicapai lalu dikayuh selaju yang mungkin.
"Ke mana anak awak tu pergi pagi-pagi macam ni?" Soal Dato Malik. Salah satu kerusi ditarik lalu duduk. Wajah isterinya yang sedang sibuk menyusun juadah untuk sarapan pagi di atas meja dipandang sekilas.
"Anak saya anak awak juga Dato Malik."
"Jangan nak rosakkan mood saya pagi ini Datin Marisa!"
"Maaf abang, saya sebetulnya tak tahu Fuza tu nak ke mana. Mungkin sahaja ada kerja sekolah yang perlu dia selesaikan segera, itu yang terburu keluar," jawab Datin Marisa hanya meneka. Sebetulnya dia juga tidak tahu mengapa Mahfuza bergegas keluar begitu sahaja pagi itu.
Setibanya di sekolah, Mahfuza memperlahankan kayuhan. Dari jauh dia melihat seorang pelajar lelaki sedang meletakkan basikal di tempat yang disediakan. Gerak laku lelaki itu perlahan dan tertib sahaja, bibir Mahfuza lantas mengukir senyuman.
Mahfuza mendekati lelaki itu perlahan-lahan. Bahu lelaki itu ditepuk kuat. Lelaki itu terkejut sehingga tertolak jatuh semua basikal yang sudah tersusun. Mahfuza ketawa mengekek.
Qudeen berpaling menghadap Mahfuza yang masih ketawa. Ketawa Mahfuza tidak lama apabila dia melihat wajah serius Qudeen. Wajah itu bila marah, seolah-olah boleh nampak api neraka sahaja.
"Ooppssss!" Mahfuza menutup mulut bila melihat semua basikal sudah terbaring di atas tanah dengan selamatnya.
"Kau dah kenapa? Pagi-pagi dah kejut orang macam ni, kalau aku ada sakit jantung dah lama kau mampus kau tahu tak?"
"Alaaa... abang Qudeen, janganlah marah. Gurau pun tak boleh..." balas Mahfuza bersama cebikan, berpura-pura ingin menangis.
Melihat wajah Mahfuza begitu Qudeen tidak jadi hendak marah meskipun barannya terasa ingin meletup sahaja.
"Sudah! Tolong aku susun semula basikal ni," ujarnya tidak mahu melayan kerenah keanak-anakan Mahfuza.
Setelah itu mereka sama-sama berjalan masuk ke kelas. Di dalam kelas mereka duduk bersebelahan sahaja. Qudeen bukan seorang lelaki yang mudah di dekati, lelaki yang bertubuh tinggi dan sasa itu hanya bercakap bila perlu. Selebihnya dia hanya diam memerhati. Dan Mahfuza satu-satunya kawan yang mahu mendekatinya meskipun mereka berlainan jantina.
"Ada apa-apa yang kau nak cakap dengan aku?" soal Qudeen pada waktu mereka ingin pulang.
Wajah Mahfuza kembali ceria, dia tahu yang Qudeen tidak akan mengecewakan dirinya. Mahfuza kembali tersenyum lebar, dan senyuman itu membuatkan Qudeen gusar. Rasa menyesal bila bertanya seperti itu pada Mahfuza tadi.
"Ada nak gosip!" ujar Mahfuza dengan wajah teruja.
"Aku tak suka jaga tepi kain orang."
"Choiii... siapa nak jaga tepi kain orang? Ini soal tepi kain sendiri tau!"
"Ha? Kau nak buka aib kau pada aku? Kau mengandung? Siapa lelaki tu?" Qudeen memandang wajah Mahfuza tajam.
"Bila pula aku nak buka aib ni? Dan bila pula mengandungnya? Eeeee... bagi aku cakap sampai habis dulu, boleh tak?"
Geram Mahfuza pada perkataan lurus Qudeen, agak-agaklah nak tuduh orang mengandung pun. Tak mengandung pun boleh sahaja timbul fitnah apabila ada 'telinga' yang mendengar. Qudeen hanya buat muka lugu, serupa tidak bersalah.
"Jadi cakap cepat apa yang kau nak cakapkan, aku tak suka menunggu!" Desak Qudeen lagi bila Mahfuza masih tidak menyatakan apa yang ingin diberitahu.
"Kita bincang kat tempat lain, jom!" ajak Mahfuza akhirnya membawa Qudeen keluar dari perkarangan sekolah. Qudeen merengus kasar, dia tidak suka keluar ke mana-mana. Dunia Qudeen hanya rumah dan sekolah sahaja, Basikal dikayuh laju mengekori Mahfuza yang sudah jauh ke hadapan.
YOU ARE READING
Siung! - Laila Malaiqa
Mystery / ThrillerApa yang bakal berlaku jika rakyat berdepan dengan raja yang dahagakan darah daging? Pelbagai usaha cuba dilakukan oleh rakyat namun, berjayakah mereka menumpaskan seorang Raja Siung?