Bab 2

1.3K 17 0
                                    

TUBUH Indah terenjut-enjut seiring muzik dan lagu heavy metal yang berkumandang di kelab LizzieMayo sambil bertemankan seorang pria yang baru dikenalinya. Tidak lagi terikat dengan Shah Imran, dia bebas bersuka ria tanpa rasa bersalah. Malam yang meriah dinikmati semahu-mahunya walaupun bersesak-sesak dengan kehadiran selautan pengunjung tetap kelab malam dari sekitar ibu kota.

Peluh yang menitis tidak menjadi soal. Dia sememangnya enjoy habis, melepaskan rindu pada aktiviti-aktiviti malam sebegitu yang berbulan-bulan sudah cuba dikekangnya demi menjaga hubungan dengan Shah Imran. Kawan-kawannya, Diana dan Mel entah sudah hilang ke mana bersama pasangan masing-masing. Setahunya berpelesiran adalah menjadi agenda utama kedua-dua gadis itu. Hilang pada lewat malam dan akan muncul kembali di bilik hotel bersebelahan pada pagi hari.

Namun sedang dia leka mengayun tubuh melayani pasangannya menari ala-ala Dirty Dancing tiba-tiba saja kedengaran namanya dipanggil-panggil di celah suasana yang hiruk-pikuk itu. Dalam sekelip mata saja wajah Shah Imran muncul di celah-celah antara dia dan teman barunya.

"Indah! Indah! I nak bincang. Excuse me," ujar Shah Imran berpaling kepada pasangan Indah dan kemudiannya berpaling semula menghadapi Indah. Lagaknya seolah-olah ada kecemasan.

"Hey, dude! Do you mind?!" jerit Ryan sambil menolak bahu Shah Imran. Matanya terjegil merenung Shah Imran yang kelihatan agak tersentak.

"Back off!" jerit pemuda British itu lagi. Muka bengisnya disuakan ke muka Shah Imran.

"Hey! Ryan! Stop it. It's alright. He's with me!" jerit Indah, cuba mengatasi suara muzik yang memekakkan gegendang telinga. Demi mengelakkan sebarang pergaduhan, dia segera menjauhkan Ryan daripada Shah Imran.

"See you!" Menarik tangan Shah Imran, Indah mengorak langkah laju menuju ke pintu keluar kelab itu. Tiba di lorong yang agak hening di antara hotel dan kelab, dia berpaling menghadapi Shah Imran. Hati terasa mendidih geram dengan tindakan Shah Imran yang muncul secara melulu itu. Entah apa lagi yang dikejarkan oleh lelaki itu sedangkan Indah sudah pun berkali-kali mengulangi kata-kata yang sama bahawa di antara mereka sudah pun berpatah arang berkerat rotan.

"Apa kena dengan you?"

"You tak angkat telefon. I perlu bincang dengan you tentang kita, Indah," jelas Shah Imran. Muka tampannya berkerut resah. Melihat Indah bergesel-geselan dengan lelaki asing itu, Shah Imran tidak mampu menahan perasaan. Sekeping hatinya bagai disalai.

"Tak ada lagi 'kita', Shah. Don't you get it?"

"Jangan terlalu cepat menyerah kalah, Indah. Berikan peluang kepada diri masing-masing. I boleh berubah mengikut kehendak you," rayu Shah Imran.

Selama ini dia berbangga bertemankan gadis secantik Indah ke sana sini. Dia berpuas hati dan amat gembira dengan kehidupannya. Namun apabila Indah tiba-tiba saja memutuskan perhubungan mereka tanpa alasan yang munasabah, hatinya terhiris kecewa.

"Shah... Kita tak serasi!" tegas Indah sambil merenung tepat pada Shah Imran. Melihat reaksi lelaki itu yang tampak agak kecut menghadapi Ryan yang bertubuh tinggi dan sasa seketika yang lalu, menambah keyakinannya bahawa Shah Imran bukannya pilihan yang tepat. Baru sekecil-kecil perkara, kejantanan Shah Imran sudah pun tergugat. Macam mana situasinya sekiranya orang-orang suruhan Heqal Putra mula menghampiri?

"I sayang you, Indah. Give me another chance, please," ulang Shah Imran lagi. Ayat sama yang dilontarkan kepada Indah sejak berhari-hari yang lalu. Telinga Indah sudah sakit mendengarnya. Dari simpati, dia mulai geram dan rimas.

"I tak ada perasaan terhadap you, Shah. I'm sorry. Jangan lagi cari I. I tak nak lukakan hati you tapi I perlukan orang yang berbeza."

"Indah... No," rintih Shah Imran. Kepalanya bergeleng-geleng seolah-olah tidak mampu menerima kenyataan.

"Yes, Shah. Kita sudah putus! Please move on."

"Indah, I tak boleh lupakan you," bisik Shah Imran, cuba mencapai tangan Indah tetapi segera dielak.

"Lupakan I," tegas Indah tanpa rasa simpati.

Kata-kata yang baru keluar dari bibir Shah Imran itu sudah kerap kali didengar. Semua lelaki yang ditinggalkannya pernah menuturkan kata-kata yang sama namun semuanya meneruskan kehidupan dengan jayanya.

Shah Imran meraup kasar pada rambut sendiri, lantas menyandar hampa ke dinding dengan kepala mendongak dan mata tertutup. Kekecewaannya terserlah.

"I tak pernah terfikir yang semua ini akan terjadi. I sangka kita mampu kekal sehingga..."

"Hakikatnya I bukan untuk you, Shah!" potong Indah lalu melangkah pergi meninggalkan Shah Imran termangu sendiri melayani perasaan.

"I won't give up, Indah!" jerit Shah Imran lantang. Suaranya bergema mengikuti setiap langkah Indah.

Jauh di sudut hati, kedegilan Shah Imran itu sedikit sebanyak membimbangkan Indah. Di antara lelaki-lelaki yang pernah dikecewakannya, hanya Shah Imran seorang sahaja yang tidak melangkah pergi dengan mudah. Lelaki itu tidak menyerah kalah sehinggalah ke hari itu walaupun Indah tidak mengendahkannya.

Nampaknya betul seperti kata Marina bahawa Shah Imran berasal dari keturunan pahlawan berjiwa kental. Lelaki itu hanya memerlukan masa untuk mematangkan diri, kata Marina. Malangnya Indah tidak mampu untuk menunggu hari yang entah bila itu.

Tidak lagi ghairah untuk menghiburkan hati sehingga ke subuh, Indah menuju ke keretanya. Dia menghidupkan enjin dan membungkam entah berapa lama meladeni perasaan yang berbaur. Resah gelisah, serba salah, sedih dan rasa bersalah mula bersalsa dalam sanubari.

Sayang ArjunaWhere stories live. Discover now