KEBETULAN! Memang pertemuan itu merupakan suatu kebetulan yang amat menyenangkan. Pertemuan yang tidak diramal tetapi amat ditunggu-tunggu. Sudah hampir tiga hari fikirannya sendat dengan seribu satu persoalan tentang si jelita. Namun sejak pertemuan kali pertama itu, kelibat gadis itu tidak lagi kelihatan sehinggalah pada saat itu. Apabila ditanya kepada Shah Imran sama ada buah hatinya pernah datang menjenguknya di hospital, pemuda itu menggeleng hampa. Yang sakit tampak kian tidak berdaya.
Melihat si jelita asyik bermanja-manja dengan seorang teruna bergaya, Luqman menunggu dan terus sabar memerhati. Peluangnya pasti ada. Jarak di antara dia dan merpati dua sejoli itu tidaklah begitu jauh tetapi lobi hotel itu agak sibuk dengan tetamu yang kebanyakannya beristirahat sambil berborak riang pada petang hari. Kehadiran Luqman jelas sekali tidak disedari awek Shah Imran yang juga entah awek kepada siapa-siapa lagi itu.
Indah kelihatan cantik berseri-seri bagaikan puteri. Kali ini rambutnya bergaya ikal mayang. Sekujur tubuhnya bertutup rapi dari hujung kaki sehingga ke dada namun bahu mulusnya telanjang bebas untuk tatapan mata.
"Hai!" tegur Luqman beberapa saat selepas pemuda yang menemani Indah beredar meninggalkan gadis itu.
Senyuman gembira di bibir Indah belum pun hilang ketika didekati Luqman. Dengan kesempurnaan yang luar biasa sebegitu, Luqman tidak hairan kalau Indah dikelilingi sepuluh lelaki pun di dalam satu masa dan Indah memang berhak mengecapi hidup.
Luqman terpaksa mengakui bahawa Indah sememangnya seorang gadis yang memiliki daya tarikan luar biasa. Dari dekat kejelitaannya kian terserlah. Kulit wajahnya cantik bagai telur dikupas. Gaun merah yang membaluti tubuhnya itu menambah seri pada empunya badan.
Sebaik saja telinganya menangkap suara yang begitu menyejukkan gegendang telinga, Indah pantas berpaling. Hati berdebar bercampur gembira. Bersinar matanya tatkala menatap wajah lelaki di hadapannya itu. Buat seketika dia terkedu. Hanya mata dan hati saja yang mampu berkata-kata.
Oh my God! Oh my God! jerit Indah dalam hati. Sungguh Indah teruja apabila melihat Luqman di depan mata. Hampir-hampir saja dia terloncat gembira. Nampaknya Tuhan pun memihak kepada dia. Sudah berhari-hari Indah memeras otak ke hulu ke hilir mencari jalan untuk mendekati lelaki itu. Namun dia tiada alasan munasabah. Walaupun selama ini dia sentiasa berani dan bertindak sesuka hati, tetapi entah kenapa kali ini naluri perempuannya tidak mengizinkan.
Petang itu Indah bernasib baik kerana Tuhan telah membawa langkah Luqman ke arah dia. Doanya telah termakbul.
"Masih ingat I? Pak Cik Luqman?" tegur Luqman apabila Indah sekadar terlopong memerhatikannya.
"I nak belanja you minum," kata Luqman lagi tanpa berlengah-lengah. Dia mencuba nasib.
Namun Indah tampak mamai. Tiada suara. Hanya keningnya yang sedikit terangkat menandakan dia sememangnya masih berpijak di dunia nyata. Entahlah apa permainan gadis itu. Luqman hanya mampu mengingatkan diri agar berwaspada. Indah pada pandangan peribadinya bukan sembarangan gadis. Anak gadis Dato Eliyas itu walaupun nampak manja dan mulus tetapi 'bertaring'.
"Cik Indah?"
"Hmmm?"
"I kata... I nak belanja you minum," ulang Luqman, merenung tenang pada wajah Indah. Pada kala itu dia sudah pun bersedia dengan apa-apa jua tindak balas. Tidak kira sama ada Indah gempur, senyum ataupun sinis.
"Thanks. I sudi!" jawab Indah pantas. Matanya bersinar riang.
Sebaliknya kesungguhan Indah itu tiba-tiba saja membuat Luqman merasa pelik dan sedikit cuak. Gadis itu seakan-akan over excited pula dengan ajakannya itu. Lain yang disangka, lain jadinya. Terkenangkan pertemuan terakhir mereka dan bunyi dentuman pintu yang dihasilkan Indah tempoh hari, Luqman sangka gadis itu pasti sekali memaling muka sekiranya bertemu semula dengannya.
YOU ARE READING
Sayang Arjuna
General FictionTajuk: Sayang Arjuna Penulis: Ma Lee Chuswan Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2321-05-7 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2019