Prolog 2

125 5 1
                                    

ANNA,

Aku akan sentiasa ada bersama kau, Anna. Sampai mati. Sampai bila-bila.

...

TANGAN kiri berhenti melayangkan mata pena berdakwat hitam. Sekilas matanya tertujah liar. Bergelintar ke merata arah, seolah-olah sedang mengawasi persekitaran kelam bilik sewa.

Tingkap telah dikunci seluruhnya. Bahkan dia menampal beberapa lembaran surat khabar lama bagi melindungi cerapan pemandangan luar daripada menembusi kaca tingkap. Pintu juga sudah ditambah selak kunci. Mangga yang digunakan sebesar penumbuk kanak-kanak lingkungan usia lima tahun. Baginya, semakin besar saiz mangga itu, semakin perkasa ia melindungi dirinya di dalam ruang kecil yang menjadi tempat dia berteduh.

Setelah memastikan tiada apa-apa mencurigakan mengepung diri, dia kembali menggenggam kuat pen tadi. Ingin dihabisi ayat-ayat di atas kertas putih yang sudah berkeronyok. Dia tidak kisah. Asalkan dia boleh mengarang ayat di atasnya buat seseorang yang sangat dikasihi.

Krekkk...!

Spontan dia berdiri. Dada beralun keras.

Derap kaki jelas menggigit ekor telinga. Sudah dia tahu siapa yang bakal muncul bersama bunyi itu. Liur ditelan lambat-lambat. Terasa laluan trakea disusuri oleh gumpalan paku-paku halus.

Perit.

Matanya membulat tatkala paparan zahir itu jelas terpampang depan mata. Tubuh itu bukanlah ilusi yang telah menakutkan malam-malamnya sehingga dia merasa sangat lelah dan mahu mengalah. Jasad itu bukan... Dia.

"Luq? Pintu belakang kau tak berkunci. Terbuka luas."

Luqman lekas menerpa ke arah lelaki itu. Bicara yang terhambur keluar dari mulut lelaki tadi melekat dalam kepala. Seingatnya, semua pintu sudah ditutup rapat-rapat. Dikunci sehingga tiada ruang untuk sesiapa mencuri masuk ke dalam bilik sewanya.

"Kau... Tolong aku."

Lelaki tadi mengerutkan muka. Keadaan sahabatnya jelas membuar tanda-tanya.

"Ini..." Tapak tangan lelaki tadi dipaksa untuk menerima kertas berkeronyok yang tertulis sesuatu di atasnya. Dia cuba mengukir senyum agar biasan resah yang sedang berpadu dalam jiwa tidak tercapai oleh deria penglihatan lelaki itu.

"Untuk Anna."

Senyumannya mekar di sebalik kekelaman ruang udara ketika itu.

"Beri pada Anna." Bingkai bibir dilapisi herotan nipis yang melentur ke atas.

"Anna," ulangnya.

...

SENYUMAN menyeringai lebar. Rakus tangannya menyapu rintik-rintik halus peluh di dahi. Terasa ada aliran kecil sedang menuruni pelipis kepala. Hangat dan berbau cukup hamis.

Tawa terhambur sedikit. Sekurang-kurangnya dia kekal menghirup udara dengan aman selepas ini. Tidak perlu bersusah-payah menghabiskan tenaga dan keringat demi mencantas nyawa seseorang yang dirasakan terlalu kecil hendak dihitung. Tidak punya nilai barangkali.

Manusia tidak punya nyawa itu bukan sesiapa.

Dia bangkit. Tubuhnya terhuyung-hayang seumpama dihempas paluan angin yang maha kuat walhal dia sudah penat ekoran tenaga diperah sehabis kudrat sehingga sisa yang tinggal cukup-cukup untuknya mencari jalan pulang.

Ya, dia mahu pulang dan menjalani kehidupan seperti fitrah asalnya.

...

Bersambung..

notahujungkaki: Hi again!

Dear AnnaWhere stories live. Discover now