SEKILAS dia melempar anak mata tepat ke penjuru ruang pejabat, berhampiran bilik Tajul. Lelaki yang entah siapa itu menyarung pakaian kasual; berseluar jeans berwarna lusuh seolah-olah telah dicuci dengan menggunakan ejen peluntur, berkemeja kelabu yang mempunyai garis-garis halus dan lengan panjang kemeja tersebut berlipat sampai ke pangkal siku. Kepalanya hanya tunduk mendepani dinding. Barangkali sedang membelek gadjet sendiri.
Dia ralit memerhati, cuba membaca gerak-geri lelaki asing berkenaan sehingga tiba-tiba sahaja pandangan mata menyambar kelibat Tajul. Ternyata, Tajul seorang yang pemurah. Sifatnya murah dengan senyuman. Bertentang mata sahaja pun, walau ada kelongsong udara besar memisahkan mereka, dari jauh sudah terlihat lenturan bibir yang mekar berbunga.
Tajul.
Lelaki itu dikenali empat tahun lalu. Ketika mula-mula mengenali Tajul, atau nama penuh diberi ayah bonda Tajul Ekhmal, lelaki itu tidak semanis ini. Airmukanya tidak mempertontonkan kemesraan. Roman yang menggeluti sarung jasad seorang Tajul Ekhmal seumpama tidak berperasaan.
"Encik Tajul berubah sebab kau, Nairah."
"Kau guna kuasa magis apa? Kau manderem diakah?"
"Untunglah kau, Nairah. Macam langkah kanan masuk sini. Kerja dapat, bakal suami pun dapat."
Suara-suara yang berbunyi itu seakan turut menterjemahkan bahasa-bahasa sindiran. Bukan dia minta Tajul jatuh suka padanya. Bukan dia harap Tajul memilih dia sungguh pun hakikat rasa istimewa yang dicakap-cakapkan itu begitu sukar menembusi jiwa.
Dia tidak tahu kenapa.
...
"HAI Nairah." Tajul mengetuk meja beberapa kali dalam kadar hentaman yang cukup-cukup untuk membangunkan lamunan Nairah.
Sejenak, gadis berkaca mata sederhana bulat itu terpinga-pinga.
Tajul mengulum senyum. Kali ini lebih lebar. Hujung jari manis tepat menuding muka Nairah dan ianya beransur-ansur merapati batang hidung sang gadis. Kemudian hujung jari itu menolak perlahan besi kecil yang menjadi pengukuh kaca mata dipakai Nairah.
"Fikirkan apa?" soal Tajul. Suaranya lembut teradun dalam udara dingin.
Senyuman nipis dilepaskan sedikit. Sejurus tangan kembali ligat mencapai tetikus, lantas membawa cursor menuju ke satu destinasi di skrin komputer. Sebuah folder dengan nama 'Work' ditekan sekali. Maka terpaparlah satu tetingkap yang mempunyai isi yang pelbagai.
"Sejak akhir-akhir ni, you banyak termenung." Tidak lepas sorot mata Tajul menikam tepat ke muka Nairah. Dia menduga-duga, cuba menelusuri dasar jiwa Nairah.
Nairah, seperti kelaziman hanya menghunus senyuman sahaja bersama gelengan kepala sebagai tanda dia baik-baik. Namun tanpa Tajul sedar, perempuan kesayangannya itu sedang berusaha menjadi kuat. Sedaya-upaya enggan membiarkan sesiapa pun menjelajahi satu ruang paling sunyi dalam relung dada, yang sekian lama gagah mendukung kedukaan.
"Encik Tajul."
Kedua-dua mereka hampir serentak memandang arah datangnya suara lembut itu. Hannah dilihat sedang menyimpul senyum sambil sesekali mata kelabunya mengerling Nairah. Bibirnya terbuka sedikit, bersulam suara yang santun mengetuk gegendang telinga.
"Your dad, Encik Tajul," beritahu Hannah.
Serta-merta airmuka Tajul berpusar tegang. Ada dengusan terbabas keluar dari celahan rengkung. Jelas, khabar yang dibawa Hannah sebenarnya tidak disenangi lelaki berjambang nipis itu. Sempat dia memaniskan raut wajah buat tatapan Nairah sebelum paras itu kembali pahit tatkala mengerling ke arah Hannah.
Hannah merapati Nairah setelah ketiadaan Tajul. Sukar untuk dia menyembunyikan bahang cemburu yang kian rakus menggigit hati. Apatah lagi seringkali terlihat bagaimana romantisnya Tajul melayani Nairah.
YOU ARE READING
Dear Anna
RandomNairah, dalam senyum manis sebenarnya dia menyimpan sejuta kepiluan. Disorok jauh-jauh dari pandangan sesiapapun. Namun ada sepasang mata yang liar mencantas setiap lapis jiwa, ingin diterokai dan cuba ditenangkan dalam diam. Nairah tidak pernah tah...