Dedaun Hijau Di Angin Lalu - Bab 1

12.4K 94 3
                                    

SINAR mentari pagi mula memancar, teriknya

sudah mula terasa. Angin bayu sepoi-sepoi dari arah

laut dengan kicauan burung-burung, kokokan dan

ketakan ayam-ayam jantan dan betina melengkapkan

lagi ketenangan suasana hari itu. Pendek kata suasana

kampung di pulau itu begitu damai dan nyaman.

Sememangnyalah hari itu sungguh cerah dan indah.

Tetapi tidak bagi seorang gadis berperawakan

kecil dan molek, Intan binti Samad. Kerana baginya, hari

cerah ataupun mendung sama sahaja. Dia tetap merasa

kosong dan sepi serta duka.

Selesai menyidai semua pakaian basuhan pada

dawai jemuran, Intan melepaskan keluhan panjang.

Otot-otot tubuhnya, yang terasa sengal-sengal sejak

semalaman, begitu melesukan keadaannya. Dia

begitu letih dan tentulah memerlukan rehat untuk

mendapatkan tenaga baru supaya dapat menjalankan

kerja rumah sepanjang hari dengan sempurna.

Namun begitu, kalau dia berbuat demikian

sudah tentu mak ciknya akan melenting dan tubuhnya

akan dijamah dengan jilatan mata rotan. Dia lantas

mengeluh. Sesungguhnya takdir telah menentukan yang

nasibnya akan menjalani kehidupan yang penuh pahit

getir dan penyeksaan.

Intan telah tinggal di pulau ini, menumpang

di rumah mak ciknya, sejak usia 10 tahun. Ketika bayi

hingga usianya 9 tahun dia telah tinggal di tanah besar

Singapura. Tetapi hanya berdua sahaja bersama ibunya.

Dia tidak pernah kenal siapa ayahnya. Pernah dia

bertanyakan tentang itu kepada ibunya, tetapi ibunya

hanya memberitahu bahawa ayahnya telah pergi jauh

dan tidak akan kembali.

Wajah ibunya ketika itu kelihatan sedih dan

terharu menggamit rasa simpatinya. Betapa dia begitu

dahagakan dan rindukan belaian kasih sayang seorang

ayah. Apabila dia melihat anak-anak kampung pulau

bermesra dengan ayah-ayah mereka, kadang-kala

dia berasa cemburu juga. Kesepian begitu menujah

batinnya, walaupun dia menerima kasih sayang penuh

daripada seorang ibu.

Kini dia seorang diri. Ibunya telah pergi menemui

Ilahi, 7 tahun yang lalu, ketika usianya 12 tahun. Dia tidak

tahu punca kematian ibunya, tetapi pemergian wanita

yang sangat dikasihi dan merupakan segalanya dalam

hidupnya itu amat memeritkan. Tiada lagi tempatnya

untuk mengadu.

Dia tidak pernah melupakan ibunya walaupun

wanita itu telah meninggalkan dia buat selama-lamanya.

Dedaun Hijau Di Angin Lalu-Manaf HamzahWhere stories live. Discover now