Big Boss, I Need You!- Bab 10

1.1K 24 4
                                    

AWAANIS berdiri di belakang Sabrina. Selalunya
sebagai leader dia harus ke hadapan. Tapi kali ini dia gentar
untuk berada di barisan hadapan. Tengok saja gaya si bos
besar mereka itu. Tegas dan garang. Awaanis tidak menyangka
Adriy merupakan seorang ketua yang tegas. Berbeza dengan
karakternya yang menjengkelkan saat mereka di luar.
"Sudah 2 hari saya sengaja memerhati kerja kamu
semua dalam diam. Dan dari pengamatan saya, kamu semua
amat-amat mengecewakan."
Adriy perhatikan satu per satu wajah pekerja-pekerja
di bahagian itu sebelum pandangannya jatuh ke arah gadis
yang tunduk memandang lantai itu. Hujung bibirnya ternaik
sedikit melihat Awaanis yang takut-takut bertentang mata
dengannya.
Bukan hanya Awaanis. Malahan semua yang berada
di situ ikut menunduk. Masakan mereka tidak gentar. Tidak
sekali mereka menyangka lelaki tampan yang enak berkeliaran
di ruang kerja mereka ialah seorang CEO! Malahan ada dalam
kalangan gadis-gadis di situ sempat mengusiknya. Namun
tidak dilayan. Habis mereka mengumpat tentang lelaki
misteri itu yang kononnya jurutera baharu tetapi sombong.
Sekarang rasakan! Adriy menatap mereka dengan
pandangan bagai singa. Nafas dihela agak kuat. Tangan
disilangkan ke dada.
"Saya dapat tahu Alpha banyak mengalami defect
dari bahagian kamu. Mujur kita ada tapisan dari bahagian
QC. Kalau kamu semua tak sedar, kita mungkin boleh
kehilangan keuntungan berjuta-juta hanya dengan sikap
kamu semua yang sambil lewa dengan amanah kerja yang
telah dipertanggungjawabkan kepada kamu." Adriy tarik
nafas seketika. Dikerling Azril yang merenung tajam kepada
Awaanis.
Awaanis menggigit bibir bawahnya. Semestinya dia
yang akan dipersalahkan oleh Azril nanti. Wajar sebenarnya
lelaki itu menyalahkan dia nanti. Sebagai leader atau nama
lainnya, ketua operator di situ, dia sepatutnya lebih tegas
menangani operator bawahannya.
Namun, Awaanis terlalu beralah dengan mereka
kerana tidak mahu dianggap musuh oleh anak-anak buahnya.
Lagipun, bagi dia cukup mereka tidak lalai dalam kerja
mereka. Awaanis tidak mengambil kisah tingkah laku mereka
waktu bekerja. Mereka manusia, bukannya robot yang harus
serius menghadap kerja.
"Selepas ini, saya tak mahu lagi ada antara kamu
main-main lagi waktu bekerja. Bergurau senda melebih-lebih.
Main sorok-sorok ke apa ke. Sini bukan taman permainan!
Dan lagi satu, kalau nak bercinta sila bercinta di luar. Jangan
nak bermesra dalam kawasan kerja. Faham semua?" tegas
suara itu bergema di ruang itu.
Tersentak Awaanis dibuatnya. Sorok-sorok? Bercinta
di kawasan kerja? Tentu saja Adriy memerlinya. Bukan dia
tidak nampak pandangan big boss yang menjengkelkan ketika
lelaki itu tiba-tiba muncul di hadapan dia dan Zikri.
'Perli akulah tu,' gumam Awaanis tanpa sedar.
"Ya, Cik Awaanis? Ada apa yang awak mahu katakan?"
Sekali lagi Awaanis tersentak. Pantas dia
memanggung kepala. Langsung pandangannya bersabung
dengan pandangan big boss.
Adriy angkat tinggi keningnya.
"Tak... tak ada apa," balas Awaanis gagap. Liur ditelan
kesat. Gugup apabila disergah begitu di hadapan semua.
"Okey. Kalau tiada apa-apa lagi kamu semua boleh
bersurai. Dan awak, Cik Awaanis ikut saya," arah Adriy dengan
wajah kosong.
Awaanis menanti di tepi muka pintu bilik briefing.
Memerhati Adriy dan juga Azril yang sedang berbincang.
Sesekali dia mengusap lengannya yang berlapik uniform
ESD berwarna putih itu. Sejuk. Dan bertambah seram sejuk
apabila Adriy mula melangkah ke arahnya.
"Ikut saya," arah Adriy melintasi Awaanis.
Kelam-kabut Awaanis mengejar langkah besar Adriy.
'Eee... tahulah kaki panjang. Aku ni ketot je, tahu tak? Tak
boleh sabar langsung!' gerutu hati Awaanis.
Sesekali dia berlari anak mengekori lelaki itu.
Mata-mata pekerja yang memerhati dia dan Adriy tidak
diendah. Ah! Pastinya mereka memerhati Adriy yang
melangkah gagah dengan uniform ESD berwarna biru itu.
Kacak!
Awaanis gelengkan kepala. Kacak tapi perangai
tak kacak buat apa, kan? Dia melepaskan mengah sesampai
mereka di kawasan loker.
Adriy buka uniform luarnya. Langsung
menampakkan susuknya yang segak berkemeja biru laut
dengan lengannya disingsing ke siku.
Awaanis mengerutkan dahi apabila melihat belakang
Adriy yang melangkah ke arah di mana lokarnya berada. Dia
ikut melangkah. Lelaki itu buka pintu lokarnya. Bersebelahan
dengan lokar Awaanis.
Lah, di situ juga lokar Adriy. Menyampahnya!
Awaanis mendecit sebal. Penat-penat dia usahakan supaya
lokarnya jauh daripada orang. Kenapa di sebelahnya juga
lokar lelaki itu? Big boss pula tu!
Adriy mengawal senyum. Bukan perkara susah untuk
mendekati gadis itu baginya. Awal lagi dia sudah menyiasat
apa jua yang berkaitan Awaanis di kilang itu.
Uniformnya disumbat ke dalam lokar sebelum
pandangannya beralih ke arah Awaanis. Gadis itu masih lagi
terkial-kial melipat uniform luar itu dengan kemas dan tertib.
Adriy menyandar di lokar. Memerhati si gadis dari
tepi. Wajah itu mulus tanpa sebarang solekan. Tentu saja
tanpa solekan. Kerana polisi syarikatnya tidak membenarkan
bahan kimia itu melekap pada wajah. Bimbang memberi
kesan pada produk.
Pandangan Adriy beralih pula pada alis mata lentik
gadis itu. Hidung yang terletak mancung. Serta... bibir merah
jambu yang mungil. Liur ditelan kesat. Dia tidak pernah
memerhati mana-mana gadis seperti ini. Hidupnya hanya
penuh dengan kerja, kerja dan kerja. Satu perasaan halus
menjentik hati. Namun apakah dia?
"Ada hal apa ya tuan ajak saya ikut tuan?" Awaanis
berpaling menghadap Adriy.
Serta-merta Adriy berdeham. Tangan dikepal dan
diletak ke bibir sebelum tangan dijatuhkan dan dimasukkan
ke dalam poket.
"Bagi handphone awak pada saya," arah Adriy dengan
wajah serius.
Awaanis terlopong.
"Nak buat apa?"
"Bagi sajalah." Adriy keluarkan tangannya sebelah
dan menadah kepada Awaanis.
"Saya tanya nak buat apa?" tekan Awaanis berani.
Berkerut dahinya. Kepala didongak menentang Adriy.
Jangan fikir lelaki itu seorang CEO boleh berbuat sesuka hati
dengannya.
Adriy melangkah setapak mendekati Awaanis.
Menayang senyum nakal.
Awaanis mula cuak. Kepala terteleng kiri dan kanan.
Mencari kelibat manusia. Okey, tak ada.
Gulp! Kakinya mengundur selangkah. Apa boleh
buat, kanannya lokar. Kirinya juga lokar dan belakangnya
pula dinding. Ruang antara semua itu agak sempit.
Adriy melangkah lagi setapak demi setapak hingga
belakang tubuh gadis itu melekap ke dinding.
"Tuan Adriy jangan macam-macam. Saya tahu
karate!" Awaanis silangkan tangannya gaya mahu berlawan.
Adriy ketawa lepas. Comel betul tingkah gadis itu.
Mahu saja dia rakam dan simpan buat tatapannya apabila
teringatkan gadis itu. Erk?
Adriy kembali membersihkan tekaknya sebaik
melihat Awaanis yang terpinga-pinga melihatnya ketawa.
"Saya... nak..." Adriy menjilat bibir bawahnya.
Sengaja mengusik si gadis.
Awaanis semakin gelabah apabila sebelah tangan
Adriy mengepungnya. Lemah lututnya sekarang. Kepala
mendongak memandang di mana letaknya CCTV. Harap-harap
CCTV itu berfungsi. Walau apa pun yang berlaku nanti, CCTV
itu yang akan menjadi saksi dia mendapat gangguan seksual
daripada big bossnya itu.
Mata dipejam dengan bibir bawahnya digigit kuat.
Tangan disilangkan ke dada. Berdoa Adriy jangan bertindak
gila.
Adriy tergamam. Melihat wajah itu dari jarak
sehampir ini buat jantungnya berdegup kencang. Dengan
gaya Awaanis yang menggigit bibir. Adakah gadis ini sedang
menggodanya? Jangan sampai dia pula yang menggigit bibir
itu. Haih!
"Saya nak nombor telefon awak," ucap Adriy pantas
menjarakkan kembali kedudukan mereka.
Awaanis buka sebelah mata sebelum kedua matanya
membulat. Merengus kasar. Itu saja? Lelaki itu menduganya
sebegitu hanya kerana mahukan nombor telefonnya?
"Nak buat apa nombor saya? Tak perlu kut."
Awaanis jongket kening sebelah. Adriy sudah pun berjarak
daripadanya.
"Awak nak saya lakukan pencabulan dulu ke baru
nak bagi?" sindir Adriy dengan bercekak pinggang. Dia
mencerlung tajam gadis di hadapannya itu. Memang degil!
Terbuntang mata Awaanis mendengarnya.
"Choi! Yalah, yalah. Dengar ni. 019..."
"Saya minta handphone awak tadi, kan?" pintas
Adriy.
"Lah, tadi kata nak nombor telefon." Awaanis
merengus sebal. Stres betul!
"Awak jangan ingat saya tak tahu. Awak nak bagi
nombor ayah awak, kan? Tu tak payah risau. Saya dah ada.
Sekarang saya nak handphone awak. Cepat!" Adriy tadahkan
tangannya lagi. Bukan dia tak tahu yang Awaanis memberi
nombor bapanya pada borang kerjanya dahulu. Dia lebih dulu
telah menghubungi lelaki itu.
Awaanis mencebik. Mahu tak mahu diseluk juga
poket seluar dan diserahkan telefon bimbitnya kepada lelaki
itu.
"Kunonya handphone," kutuk Adriy.
Awaanis bulatkan mata. Kan dah kena! Dia tahu
sangat lelaki itu akan mengutuk telefon bimbit murahnya
itu. Memang dia selalu dikutuk kerana tidak mengikuti trend
semasa. Apa boleh buat, banyak yang dia perlu korbankan
untuk masa depan Aiman nanti.
"Jangan sesekali padam nombor saya. If anything
happens just call nombor tu. Bukan senang saya nak bagi
nombor peribadi saya pada orang." Adriy serahkan kembali
telefon itu kepada Awaanis usai dia memasukkan nombor
telefonnya dan juga mengambil nombor telefon gadis itu.
"Saya tak minta pun," cebik Awaanis dengan jelingan
maut.
Adriy mengetap bibir. Geram betul. Payah sungguh
hendak memujuk gadis itu menyatakan persetujuan menjadi
isterinya cepat-cepat.
"Sudahlah, pergi masuk kerja cepat. Jangan nak
menggoda bos saja kerjanya," arah Adriy dengan nada yang
sengaja ditegaskan.
Meruap kepala Awaanis mendengar. Matanya
mengerling jam di tangan. Masuk waktu duha. Daripada dia
melayan big boss sengetnya ini, lebih baik dia solat sunat.
"Tepilah. Saya tak mahu masuk kerja lagi. Nak pergi
solat sunat taubat sebab hampir dicabul tadi." Sinis ayatnya.
Pantas dia melangkah laju menuju ke surau.
Adriy tersenyum. Berapa lama lagikah agaknya gadis
itu akan berdegil?


*** AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN DIS 2019***

Nk risik2 boleh wasap nombor bawah ni naaa..

019-3729676 (cik shida)

013-4888095 (kak peah)

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 20, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Big Boss I Need YouWhere stories live. Discover now