BAB 1 - KETIKA PASRAH MENDUGA

20 0 0
                                    

Setiap yang hidup pasti akan mati, dan itulah kesudahan yang hakiki. Tiada kehidupan tanpa kematian, dan tiada pula yang mampu membendungnya. Perkara yang sama juga tertakluk kepada takdir setiap bintang, atau matahari yang terawang-awangan di cakerawala. Gugusan bintang di langit juga menghadapi saat subuhnya, dan akan tiba jua pada waktu senjanya, sehinggalah melelapkan kerlipan terakhir pada malamnya.

Sebanyak 640 tahun cahaya jauhnya dari bumi, terdapat sebuah bintang gergasi merah yang memancarkan cahaya terangnya di sudut buruj Orion. Betelguese merupakan salah satu bintang, lebih tepat lagi bintang ke-9 tercerah, dan bintang ke-4 terbesar dari segi radiusnya yang pernah dijumpai di alam semesta. Bintang gergasi merah yang digelar Alpha Orionis ini sungguh besar sekali, bahkan diameternya 1200 kali ganda lebih besar daripada matahari di Bumi. Jikalau Betelguese ditakdirkan berada dalam sistem solar kita, kebesaran dan saiz gergasinya pasti akan meliputi orbit Utarid, Zuhrah, Bumi, dan Marikh, bahkan termasuk Musytari sekali!

Meskipun kebesaran saiz dan kegemerlapan cahayanya, jangka hayat bintang tersebut tidak kekal lama, dan bakal meninggalkan kita. Ekoran saiz heliosfizikalnya yang amat besar, Betelguese telah banyak menggunakan tenaganya daripada atom-atom hidrogen sedia ada, dan lama kelamaan jumlahnya semakin sedikit. Pada suatu ketika, bintang gergasi tersebut akan menghadapi kekosongan jumlah atom, seterusnya menggagalkan kelangsungan reaksi nuklear. Bahkan, pada ketika itu jugalah, fenomena yang dinamakan sebagai supernova akan meletus; menandakan simbolisme atau mercu tanda sesebuah kematian bintang.

Bagi penduduk yang berada di luar, atau berkedudukan jauh dari kawasan cakerawala buruj Orion, sudah tentu kejadian ini tidak membawa masalah. Namun, pendapat sebaliknya bagi penghuni planet sekitarnya. Kematian bintang atau fenomena supernova bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng. Letupan supernova akan memancarkan sinaran radioaktif gamma yang sangat berbahaya lantas meragut jutaan nyawa dalam sekelip mata; sekaligus mengakhiri segala kelangsungan kehidupan buat selama-lamanya.

Kemelut inilah yang dihadapi oleh sekumpulan manusia yang mendiami planet kecil bernama Regulus, yang boleh dikatakan berada dalam kedudukan radius letupan supernova tersebut. Atas kebolehan dan kecaknaan ahli astronomi, Betelguese diramal akan tiba ke fasa supernovanya menjelang sedekad sahaja lagi. Namun, perkara tersebut hanyalah jangkaan sahaja. Letupan bintang gergasi itu berkemungkinan sahaja berlaku dengan lebih cepat. Mungkin setahun sahaja lagi, bahkan mungkin sebulan sahaja lagi, atau barang kali juga pada keesokan harinya.

***********************************************************************************************

Seorang lelaki 20-an kelihatan nyenyak ketiduran berbantalkan lengan di atas sebuah meja. Sesekali bunyi kedengkuran sayup-sayup kedengaran di dalam ruang pejabatnya yang agak sempit. Hembusan nafasnya tampak pantas, ditambah pula dengan degupan jantungnya yang sedikit cepat daripada biasa. Jikalau diamati dengan lebih terperinci, beberapa titik peluh mengalir perlahan menuruni raut wajahnya. Tidak dinafikan lagi, lelaki itu benar-benar dalam keletihan dan kepenatan sehingga badannya akur terlena di atas meja.

"Beep! Beep! Beep!" telefon bimbit di sebelahnya membunyikan nada dering yang agak lantang. Lelaki itu sedikit tersergah dan terkejut, namun terus melayan lumrah dirinya yang masih mahu melelapkan mata. Nada dering telefon bimbit tersebut terus berbunyi tanpa henti. Semakin lama nada dering tersebut berbunyi, semakin menjengkelkan telinga sesiapa yang mendengarnya. Lelaki itu juga tidak terkecuali. Lebih kurang dalam seminit, barulah lelaki itu membingkaskan diri. Tangannya segera mengambil telefon itu, lantas menekan suatu punat tertentu untuk menjawab panggilannya.

"Giovanni? Hari sudah malam, tidakkah kau mahu pulang ke rumah?" suara manja seorang gadis kedengaran. Gadis itu menyambung percakapannya lagi, "Sudah-sudahlah dengan kerja itu, kau juga perlu berehat secukupnya. Ayuhlah, pulang segera". Giovanni masih dalam keadaan mamai daripada tidurnya sebentar tadi. "Baiklah, Ciara. Kerjapun sudah selesai, kebanyakannya. Aku akan balik sekejap sahaja lagi," Giovanni menjawab, sambil menggosok-gosok kedua-dua matanya yang masih mengantuk. 

HEATPUNK : Sirna SupernovaWhere stories live. Discover now