"Oh, begitu rupanya. Jadi, kau menyelinap ke bilik pejabat Francesco?" soal Giovanni. Tangannya dari tadi leka membelek sampul dokumen; ditatapnya ke kiri kanan, belakang hadapan. Tertanya-tanya pula, apakah isi kandungan di dalam yang cemburukan perhatiannya.
Lucas mengangguk setuju. "Sewaktu kau keluar dari pejabat selepas bertengkar petang tadi, Francesco-"
"Sekejap, kau dengar perbualan kami waktu itu?" Giovanni memotong penjelasan rakannya. Lucas tersenyum sinis, "Haha, kau kenalkan aku siapa. Sejak kecil lagi, aku suka mengendap, mencuri dengar perbualan, atau pergaduhan orang lain." Mereka berdua lantas ketawa kecil, seakan-akan cuba menceriakan suasana yang suram bersulam malam. Rembulan tidak memunculkan diri pada malam ini, justeru Everfrost berada dalam kegelapan tanpa cahaya purnama.
"Setelah kau keluar dari pejabatnya, tidak lama kemudian, Francesco pula turut serta. Diapun keluar, lalu pergi ke koridor berdekatan. Aku hanya memerhatikannya dari jauh, namun jelas sekali wajahnya tampak risau. Dia begitu resah gelisah tak tentu arah." Lucas kembali serius; menceritakan pengalaman diharunginya. "Mujurlah, pintu pejabatnya tak berkunci. Akupun masuk ke dalam. Berbekalkan fail kosong di tangan, dan sedikit keberanian, aku cuba selongkar beg bimbit di mejanya."
Giovanni meraut wajah jengkel ke arah rakannya. Tangannya mengenggam penumbuk, lalu sengaja ditujukan ke bahu Lucas. "Haih, kau tak sepatutnya melakukan perkara itu. Lebih tepat lagi, itu jenayah pencerobohan hak individu sebenarnya" Giovanni berleter sedikit. "Gio, usaha kita sebagai astronomi seakan-akan sia-sia di bawah Francesco. Kita sudah mencadangkan bermacam-macam idea dalam menempuhi Betelguese ini, namun tiada satupun yang diterima. Semuanya dipinggir begitu sahaja, walhal setiap satu daripadanya ada kebernasan tersendiri." Lucas membalas.
Dia memaparkan wajah serius, seakan-akan mengatakan Francesco menyembunyikan sesuatu. Atas sebab itulah, dia menyelinap masuk ke dalam bilik ketuanya. Serta, disebabkan itu jugalah, dia berjaya mengambil sampul rasmi itu setelah memeriksa beg Francesco. "Pada ketika itu, aku sempat membuka sampul itu, lalu menelaahnya. Sedikit demi sedikit, aku membaca setiap butir perkataan satu persatu. Tiap-tiap aksara, huruf, kata, frasa; aku cuba fahami, dan hayatinya." penceritaannya berhenti.
"Namun, kesempatan emas sedemikian, selalunya tidak berkekalan. Aku terpaksa berhentikan pembacaan setelah Marco menerjah biliknya. Tubuh badannya yang sasa, wajahnya yang bengis itu benar-benar menggerunkan aku. Mujurlah aku sempat masukkan sampul itu ke dalam fail kosong yang dibawa tadi. Aku berpura-pura mengatakan Francesco minta diri sebentar kerana hendak menjawab panggilan telefon. Dia berasa sangsi pada awalnya, tetapi ketibaan Francesco ke bilik pejabat meredakan kecurigaan terhadap aku. Dari awal lagi sebenarnya, aku hendak menghantar tugasan yang diportfoliokan sebelum ini. Jadi, aku dapat gunakannya sebagai alasan" terang Lucas dengan panjang lebarnya.
"Jadi, kau perasanlah Francesco terlepas cakap ketika itu." Giovanni memandang rakannya dengan lebih serius. Matanya kali ini beralih tumpu kepada Lucas melebihi sampul rahsia di tangannya. "Ya. Apalah yang dimaksudkan dengan rancangan sang puteri itu agaknya. Jikalau berbicara tentang puteri Everfrost, cuma ada seorang sahaja; tidak lain tidak bukan hanya dia seorang." jelas Lucas. Dirinya kembali pulih daripada kepenatan, dan bayangan ketakutan dikejar Marco sebelum ini.
Lucas berdiam diri. Matanya memandang tepat ke arah Giovanni, lebih tepat lagi ke arah sampul yang dipegangnya. Sesuatu rungkaian misteri yang menyelubungi bukan sahaja mereka, bahkan keseluruhan rakyat Regulus berkenaan dengan penyelesaian fenomena Betelguese ini terkandung di sampul tersebut. Namun, jawapan yang membawa kebenaran persoalan ini semestinya mengiringi suatu permasalahan yang mungkin mendukacitakan hati sesiapa sahaja yang membacanya. Lucas mengetahuinya. Dia sudahpun tahu lebih awal lagi.
"Aku sudah membacanya. Kini, giliran kau pula" ujar Lucas. Ucapannya seumpama mercu tanda permulaan yang menggesa Giovanni menelaah dokumen di dalam sampul itu satu per satu. Kepala sampul sudah dibuka, dan kesemua dokumen dikeluarkan. Belum sempat Giovanni membacanya, Lucas langsung memberi amaran, seakan-akan meminta rakannya itu bersedia akan segala jawapan yang diketahuinya sebentar lagi. Jawapan-jawapan inilah hakikat dan kenyataan, bukanlah kebarangkalian atau angan-angan semata-mata. Inilah fakta sulit yang bakal menggertak jiwa dan sanubari dengan pengetahuannya yang terlindung daripada kesedaran sesiapa. Hanya mereka berdua, rakyat Regulus biasa, yang mengetahuinya.
YOU ARE READING
HEATPUNK : Sirna Supernova
Ciencia FicciónBumi Regulus semakin panas setiap kali dekad berlalu. Akhirnya, misteri bahang kepanasan ini terjawab; Betelguese, yakni bintang di kawasan angkasa Orion akan melalui fasa supernovanya, lantas meletup! Letupannya sudah pasti akan meranapkan seluruh...