Hari itu aku berani melakukan kerja gila. Aku memberanikan diri menemui Alice di restaurant mereka. Aku sudah ketandusan idea, bagaimana lagi cara membatalkan perkahwinan mereka. Tidak sanggup rasanya melihat Alice menjadi milik orang lain.
Apa yang pasti, kali ini aku telah kemaruk cintakan Alice seperti dulu. Aku sanggup melakukan apa sahaja demi cinta ini.
"Hei, Martin! Kau sudah gilakah!" Pekik Alice ketika aku merayu kepadanya. "Dulu kau buang aku, kau pilih perempuan tu! Sekarang kau cakap cintakan aku. Apa semua ni!"
Aku pekakkan telinga seperti biasa apabila Alice memarahiku. Kami bercakap di luar dapur. Sebenarnya Alice enggan bercakap denganku tetapi aku berkeras memaksanya. Demi menjaga air muka, dia terpaksa menurutiku. Mungkin ketika itu, separuh ruang restaurant dipenuhi pelanggan.
"Tolonglah Alice..." aku tebalkan muka merayu sambil cuba menyakinkannya. "...bagi aku peluang sekali lagi. Aku janji..."
"Argghhh...! Janji, janji, janji lagi..." Alice memotong kata-kataku. Aku terlupa dia benci mendengar perkataan 'janji'.
"Aku tak percayakan kau lagi. Sia-sia kau pujuk rayu aku. Pergi balik sajalah!"
"Ok, ok...aku jamin kali ini aku lakukan yang terbaik. Aku dah berubah Alice. Kau sendiri pun nampak."
"Benda kan dah lama berlalu. Tak boleh ke kau bagi aku satu peluang lagi. I swear, i won't cheat you anymore. Promise!"
"Kau nak apa saja, aku boleh belikan. Kau nak rumah baru, kan...aku dah beli rumah baru untuk kita. Aku pun boleh beli CX5 untuk kau...apa saja kau nak, aku boleh beli...Tolonglah kembali..."
"Keh keh keh...."
Malangnya Alice terkekeh-kekeh ketawa memperli aku. Dia memandangku sinis seolah-olah aku ini kerdil.
"Tak payah!" Jerkah Alice marah. "Sudah terlambat. Aku dah ada semuanya!"
Dia berlalu masuk ke dalam dan terus hilang. Aku yang ditinggalkan hanya mengeluh kehampaan. Sekali lagi aku balik dengan tangan kosong. Itulah kali terakhir aku bertemu dan bercakap dengannya.
Hatiku sungguh terluka dan kecewa, seperti kaca terhempas ke batu lalu pecah berantakan. Begitulah hatiku telah retak seribu dikecewakan Alice. Rasanya lebih parah daripada perpisahan kami dulu.
Seminggu sebelum perkahwinan Alice dan Calvin, aku memohon cuti selama 2 minggu. Bukan mahu menghadiri perkahwinan Alice, tetapi mahu pergi membawa diri!
Setelah berfikir waras, inilah peluangku balik ke kampung halaman di Sarawak. Aku harap dengan bertemu keluarga tercinta dapat mengurangkan rasa sakit ini. Lagipun, aku lama tidak balik ke kampung atas tuntutan kerja.
Aku mahu memohon maaf daripada ibu bapaku atas kesalahanku sebelum ini. Atas dosa yang telah aku lakukan di Johor, keluargaku juga sama terkena tempiasnya. Aku telah mencontengkan arang pada muka mereka. Kini aku sedar kesilapan ini dan aku telah menerima hukuman setimpal.
Nampaknya aku kena belajar menerima kenyataan, Alice dan anak-anak bukan milikku. Aku berharap di kampung nanti bisa beroleh ketenangan.
Harapanku mencari sedikit kedamaian jiwa, agak berjaya. Apabila sampai di rumah panjang kami, aku merasakan sedikit ketenangan disini. Hatiku terubat sambil melayan adik beradik dan sanak saudara.
Tidak sangka pula aku dipertemukan semula dengan bekas kekasih belasan tahun dahulu. Erna, iaitu anak Tuai Rumah Sigan yang merupakan tok ketua di rumah panjang kami. Aku tidak tahu, ini tuah atau bukan, tetapi Erna masih bujang belum berkahwin lagi.
Ternyata Erna masih lawa seperti zaman percintaan kami dahulu. Tubuhnya masih langsing dan penampilannya sangat bergaya. Hubungan kami bermula dari zaman kampus lagi, malangnya berakhir setelah aku memasukki alam pekerjaan. Kerjaya telah memisahkan kami. Erna meneruskan kerjayanya berbakti kepada negara dengan menjadi pendidik di daerah pendalaman Sarawak ini. Sebaliknya aku lebih berminat berhidjrah ke luar negeri.
Sungguh pun perbualan kami terbatas dek umur, namun hatiku agak puas. Entah mengapa aku terasa beban yang ditanggung selama ini sedikit longgar. Wajah Alice perlahan-lahan hilang dari fikiranku.
Aku bisa tersenyum seorang diri saat teringat pertemuan dengan Erna di ruai semalam. Kami sempat melepak sejam dua sambil berbual tentang perkembangan diri.
Malangnya Erna tidak boleh berlama di rumah panjang. Hari esoknya dia kembali semula ke Kapit, kawasan desa tempatnya mencurah ilmu. Aku menawarkan diri menghantarnya ke warf feri di Sibu. Sebelum berpisah kami sempat bertukar nombor telefon.
Sejak hari itu, aku sering tersenyum sendiri di hadapan telefon. Kemunculan Erna membawa berkat padaku. Seketika, aku terlupa kekecewaan yang membelenggu aku selama ini. Entah ilmu apa yang digunakan Erna, aku jadi seronok chatting bersamanya dalam whatsapp.
Dalam keseronokan melayan mesej Erna, aku terlupa hari bersejarah Alice. Antara sedar dan tidak, rupa-rupanya hari persandingan Alice dan Calvin telah berlalu 3 hari yang lepas.
YOU ARE READING
Tale of us (Complete✔)
RomantikPerkahwinan Martin dan Alice penuh godaan. Pada akhirnya mereka sama terluka. -14 episod (complete story✔) ***Maaf, jika terdapat unsur lucah dan memualkan. Ia sekadar memantapkan jalan cerita. *** #Truestory #kisahbenar