Matanya berkelip-kelip. Bagaikan tidak percaya yang dia akhirnya tiba di Shandian. Wilayah ini dipenuhi bangunan yang mencakar langit. Dibina bukan daripada kayu atau tanah liat, tetapi daripada batu-bata, simen dan konkrit. Dia tidak berhenti mendongak dan menoleh ke sekeliling. Tubuhnya berputar, cukup takjub dengan pemandangan di sini.
Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat bangunan-bangunan ini. Namun, apabila berada di tengah-tengah semua ini, menjadikan dia berasa terlalu kerdil.
Tidak hairanlah Shandian sangat padat dengan manusia. Sudah pasti bangunan yang tinggi itu mampu menempatkan lebih ramai penduduk, manakala tanah yang digunakan pula amat minimal.
Seperkara lagi yang menakjubkannya adalah betapa teraturnya masyarakat Shandian. Tiada kebisingan, bahkan semua seperti punya disiplin apabila berurusan. Tiada sampah bertaburan. Semua menggunakan jalan dengan teratur dan berhemah.
"Budak."
Satu suara menarik perhatiannya. Dia mahu menoleh, namun tubuhnya segera ditolak ke dinding tepi jalan, sebelum dia didorong masuk ke sebuah lorong gelap, semakin jauh daripada orang ramai.
Lorong antara dua bangunan tinggi ini sepi. Di hadapannya terdapat tiga lelaki bertubuh sasa, sekitar dua kali ganda berbanding dirinya. Salah seorang daripada mereka menggalas kapak besar di belakang badan, manakala dua lagi punya parang bersarung pada pinggang masing-masing.
"Ya, rakan-rakan, ada apa saya boleh bantu?"
Dia memaniskan roman wajah, walaupun hati mula diusik rasa tidak enak. Wajah-wajah bengis sedang terpaku ke arahnya, tajam.
"Kami sudah lama ekori engkau. Dari perbatasan lagi. Nampaknya engkau membawa sesuatu yang berharga."
Dia mengangkat kedua-dua kening. Menoleh sedikit ke kiri belakang. Memerhatikan beg sederhana besar yang sedang disandangnya.
"Dalam beg ini tidak ada apa-apa yang berharga, rakan-rakan. Hanya pakaian dan sedikit bekalan makanan."
"Ah, siapa rakan engkau di sini, hah?" Salah seorang daripada tiga lelaki itu mula mara dengan penumbuk kanan menghenyak telapak tangan kiri.
Dua lagi mengekori.
"Kami tak mahu beg lusuh engkau itu. Kami mahukan pedang yang engkau bawa!" Seorang lagi mengacukan telunjuk.
Dia menoleh ke kanan belakang. Terserlah hulu pedang yang tegak digalasnya. Pedang itu lengkap bersarung dan dibaluti kain kasa tebal.
Pedang warisan Bapa.
"Aku amanahkan pedang ini kepada engkau, Angkasa."
"Mengapa, Bapa? Aku tidak pernah melihat Bapa menggunakannya pun selama aku berada di sini?"
"Kerana ia tidak ditakdirkan untuk aku."
"Apakah ia ditakdirkan untuk aku?"
"Mungkin. Sebagai Angkasa Sakti, engkau sahajalah yang akan mengetahuinya."
YOU ARE READING
TAKDIR - Cahaya Yang Tidak Terpadam
ActionSedekad berlalu semenjak Sang Ashura menumbangkan Kesatuan Lima Kerajaan dan mengabsahkan Kerajaan Utopia miliknya. Dengan meletakkan Lima Wilayah di bawah kekuasaan jeneral-jeneralnya, Sang Ashura mengangkat dirinya sebagai Tuhan Yang Agung dan mem...