Ceritera 3

539 11 1
                                    


Kegelapan telah lama menyelubungi langit. Namun, dada langit kekal lapang daripada sebarang hiasan alam, kecuali bintik-bintik putih yang turun semakin lebat. Pun begitu, tatkala langit mewarnakan dirinya hitam, keadaan di atas muka bumi pula bertompok-tompok dengan nyalaan api daripada obor dan percikan api yang terhasil dek senjata para pahlawan.

Termasuklah bebola api daripada manjanik yang dibawa oleh tentera O Zero. Kini, salah satu daripadanya meluru laju ke arah gapura gergasi Tanah Haram Makkah.

Dentuman disertai percikan api menghiasi kawasan tersebut. Pun begitu, pintu gerbang gergasi tersebut masih utuh berdiri. Beberapa bebola api yang lain pula masih gagal menyentuh benteng Tanah Haram Makkah, memandangkan kecekapan pasukan anti-manjanik yang telah disiapkan oleh Mughirah Syu'bah.

Beberapa pasukan daripada kalangan tentera Tanah Haram Makkah sudah dilatih untuk menggunakan balista yang dibina khas untuk berhadapan serangan manjanik musuh. Sebagai tempat yang bergantung tinggi kepada teknik bertahan di sebalik benteng, Mughirah Syu'bah sudah mempersiapkan Tanah Haram Makkah bagi berhadapan pelbagai kemungkinan. Semestinya salah satu daripada cubaan musuh adalah menggunakan manjanik.

"Celaka!" O Zero mengetap geraham kegeraman. "Raaaagh!"

Dia melibas pedang gergasi dengan gelojoh, melepaskan amarah. Beberapa tentera berhampiran terus maut. Darah bersemburan. Senjata mereka patah, haiwan tunggangan mereka turut rebah.

Kawan atau lawan, O Zero tidak peduli.

Walaupun peperangan berlangsung belum sampai sehari, O Zero sudah merasa terdesak untuk membuktikan kehebatannya. Itu menyebabkan dia tidak duduk diam, dan terjun ke medan perang untuk membunuh sebanyak-banyaknya tentera Tanah Haram Makkah.

Dia dipilih untuk menyambung gempuran Rafayel. Tentera Tanah Haram Makkah sepatutnya dalam keadaan lemah dan tidak tersusun. Ini sepatutnya misi yang memberikan tamparan hebat kepada tanah celaka ini. Pun begitu, jangkaan O Zero meleset sama sekali.

Tentera Tanah Haram Makkah tetap bertempur dengan garang, serta penuh berstrategi.

"Kamu mati, kami mati. Tetapi mati kami ke syurga!"

Tempikan itu kedengaran sayup-sayup, namun kemudiannya disahut seluruh tentera Tanah Haram Makkah, menjadikannya lantang kedengaran.

"Mati kami ke syurga! Allahu akbar!"

Entah mengapa, bulu roma O Zero terus mencanak melihat semangat meluap-luap tentera Tanah Haram Makkah.

Tempikan itu datang daripada seorang Jeneral Tanah Haram Makkah yang sedang menunggang kuda yang gagah dan berkalungkan sembilan sarung pedang.

Itulah Khalid al-Walid. Kini, sedang menggempur tentera Wuriar tanpa berfikir dua kali. Dia menggunakan tiga pedang serentak. Dua bilah dengan kedua-dua belah tangan, dan sebilah lagi digigit dengan gigi.

Tidak cukup dengan kegarangan Khalid, di belakangnya pula terdapat satu batalion tentera berkuda, mengekorinya dan ganas menggempur barisan tentera Wuriar. Mereka ibarat ular gergasi yang menyusur laju di tengah-tengah medan peperangan, meliang-liuk mengkucar-kacirkan barisan musuh.

Tentera Wuriar hingga terpaksa berlari menghindarkan diri apabila melihat Khalid meluru ke arah mereka.

Di tengah-tengah kekalutan itu, tentera Wuriar menjadi mangsa askar-askar Tanah Haram Makkah yang lain, yang bergerak dalam bentuk bulatan yang dikelilingi perisai. Mereka akan merempuh tentera Wuriar yang berhampiran, dan menjulurkan tombak-tombak mereka untuk mencederakan musuh.

TAKDIR - Cahaya Yang Tidak TerpadamWhere stories live. Discover now