Mizi menjeling ke arah henfonnya. Sah!!! Memang ada 'ping' yang masuk.
'Syukur pada-Mu, Ya Allah... Kau berikanlah aku trip yang tambangnya lebih tinggi dari dua trip yang awal tadi.' Mizi berdoa agar rezekinya lebih baik bagi trip yang kali ini.
Jari Mizi pantas menekan ikon bertanda √ yang muncul di tengah-tengah skrin henfonnya itu. Muncullah skrin yang memaparkan nama penumpang yang membuat pesanan, lokasi pick-up, destinasi tujuan dan juga tambang.
Penumpang perempuan bernama Neeza Gorgeous, destinasi Taman Mount Austin, berjarak kira-kira 15 km dari lokasi pengambilan dan tambangnya RM18. Semua maklumat nampaknya bagus pada Mizi. Baru trip kali ini, Mizi mendapat tambang yang dikira agak berbaloi.
Eh, nanti dulu!! Biar betul!! Lokasi pengambilan penumpang adalah di tepi lebuhraya!!
"Mana la aku nak cari minah ni? Dah dapat trip yang bagus, lokasi pengambilan penumpang pulak menyakitkan jiwa. Macam-macam dugaan la!!" Mizi membebel sendirian.
Akhirnya, Mizi memberhentikan keretanya di tepi lebuhraya. Dia membuat keputusan untuk menelefon penumpang untuk bertanya lokasi tepat di mana penumpang berada.
"Assalamualaikum... Saya pemandu Grab. Boleh saya tahu, lokasi tepat cik di Lebuhraya Pasir Gudang, di sebelah mana?" Mizi memperkenalkan dirinya dan menerangkan tujuannya menelefon.
"Aku kat depan sikit dari susur masuk ke lebuhraya dari Taman Rinting. Boleh tolong cepat sikit tak? Aku dah nak terbakar ni." Penumpang bernama Neeza Gorgeous itu memberitahu lokasi dia berada kepada Mizi.
"Mak ai, jauhnya!!! Saya baru saja masuk ke lebuhraya dari Giant Plentong. Kena u-turn lagi di lampu trafik Tesco Seri Alam. Rasanya, mau sepuluh minit lagi, baru saya boleh sampai. Memang saya tak boleh sampai cepat, cik." Mizi menerangkan mustahil dia boleh memenuhi permintaan Neeza Gorgeous itu.
"Dah tu, kau nak suruh aku cancel order ni? Kau tau tak, aku dah lebih sepuluh minit order Grab ni, tak dapat-dapat. Kalau aku cancel order ni, entah-entah, petang nanti baru aku dapat kereta yang seterusnya. Aku tak kira... Kau datang sini ambil aku. Bawak laju sikit kereta tu. Kau jangan nak terhegeh-hegeh macam kura-kura pulak." Panjang lebar Neeza Gorgeous bersyarah kepada Mizi.
Dari gaya percakapannya, Mizi sudah boleh mengagak, penumpang bernama Neeza Gorgeous ni, jenis yang headwind... Kepala angin!!! Gorgeous kemendanya kalau perangai tak semenggah begini?
'Apa nak buat, Mizi oi... Headwind pun, headwind la... Rezeki jangan ditolak. RM18 tu. Rugi kalau dia cancel trip ni. Pagi ni, kau baru dapat RM10 je. Duit minyak pun, tak lepas lagi. Sabar je la. Tebalkan telinga, sejukkan muka, maniskan senyum. Semua akan ok nanti.' Minda Mizi membisikkan motivasi buat Mizi untuk berani berhadapan dengan penumpang headwind bernama Neeza Gorgeous itu.
"Ya la... Saya datang ambil cik. Cik sabar ya, tunggu saya tiba. Saya cuba sampai secepat mungkin." Akhirnya, Mizi akur dengan arahan Neeza Gorgeous.
"Jangan kau hari-hari makan taugeh... Dok terhegeh-hegeh!! Cepat sikit..." Neeza Gorgeous berpantun pulak, membahasakan Mizi dan menamatkan perbualan."Hai, Grab ni, dah gila agaknya? Takde ke drebar yang dekat dengan Taman Rinting? Aku yang baru sampai Permas Jaya ni pulak yang diberinya job ni. Kan ke jauh aku nak berpusing? Duduk membangau satu jam. Dapat penumpang pulak, yang tengah naik bendera Jepun. Apalah nasib aku pagi ni?" Mizi bermonolog sambil terus memandu menghala ke arah Bandar Seri Alam/Taman Rinting.
Akhirnya, Mizi sampai juga ke lokasi Neeza Gorgeous menunggu. Mizi memberhentikan keretanya di belakang Perodua Myvi Niza yang sudah tersadai di tepi lebuhraya itu.Kelihatan seorang gadis berlindung dari dipanah bahang matahari pagi di dalam kereta. Mukanya kemerahan sementara peluh halus memercik di dahinya. Neeza Gorgeous mengenakan blouse lengan panjang berwarna navy blue dan skirt berwarna kelabu paras lutut. Rambutnya lurus di paras bahu dan tersisir rapi. Muka gadis itu berminyak, mungkin mekap di mukanya sudah cair dibakar panahan matahari. Paras rupa gadis berkenaan sungguh ayu, ada iras-iras pelakon Mimi Lana. Sayang, paras rupa yang ayu tidak diiringi dengan kelembutan gadis timur, berdasarkan kepada perbualan telefon Mizi dan si gadis sebentar tadi. Itulah penilaian awal Mizi terhadap keperibadian Neeza Gorgeous.
YOU ARE READING
Minah Headwind vs Mr Primitif
RomanceNeeza sudah lambat untuk masuk ke pejabat. Malang datang bertimpa. Keretanya rosak di tepi lebuhraya. Neeza memesan khidmat Grab berulang-kali tetapi tiada pemandu e-hailing di sekitar kawasan itu. Akhirnya, Neeza berjaya juga menempah perkhidmatan...