"Rom tak dibina dalam masa satu hari, Engku Fadhli." Nadia meleretkan pandangannya pada pergunungan di hadapannya. Dilitupi salji memutih. Cantik! Indah dari kornea mata mereka berdua. Bertahun di sini jarang sekali dia ke mari. Keindahan pergunungan di Whale ini membuatkan matanya sedikit terpukau.
"Ya, saya tahu Rom tak dibina dalam masa satu hari. Begitu juga cinta awak pada saya. Tak akan mampu awak cipta dalam masa satu hari. Iya kan?" Korneanya jatuh pada keindahan pergunungan itu. Nadia Arisya di sebelahnya ketawa kecil. Ketawa itulah yang mengusik hatinya selama ini sehingga dia beranikan diri untuk melamar tanpa pernah kenal siapa Nadia Arisya. Ketawa dan senyuman itulah yang membuatkan dia jatuh hati pada gadis ini.
"Awak nampak gunung tu, Engku Fadhli...Nampak macam dekat je kan. Macam cuma satu kilometer jauhnya sedangkan ada beratus-ratus kilometer dari kita berdua. Macam tu juga saya dengan awak. Nampak dekat tapi kita jauh." Dia tahu ada jurang yang tercipta antara dia dan Engku Fadhli. Manakan pipit mahu bergandingan dengan enggang.
"Awak yang ciptakan jarak tu Nadia, bukan saya." Kesejukan mula terasa. Engku Fadhli mengeluh. Dia tak suka perkatakan tentang pangkat, darjat dan keturunan kalau darahnya dan darah Nadia juga sama merah. Kalau organ Nadia dan organ dalam tubuhnya juga tidak ada yang berubah. Kalau dia dan Nadia sama-sama diciptakan dari tanah.
"Jadi, apa yang awak mahu saya buat untuk dekatkan jarak tu?"
Kali ini Nadia terus pandang lelaki di sebelahnya ini. Dia mahukan satu jawapan. Dia tak mahu tersalah buat pilihan sehingga pilihan itu akan kecewakan dirinya satu masa nanti.
"Bernikah dengan saya. Bukakan hati awak untuk saya diami. Jadikan saya yang istimewa di hati awak." Engku Fadhli tersenyum. Malu untuk bertentang mata dengan Nadia Arisya.
"Semudah itu? Apa jaminan awak akan terus setia dengan saya? Kalau saya serahkan cinta saya pada awak, adakah awak juga akan setia dengan cinta awak?"
Engku Fadhli tarik nafas panjang. Dihelanya perlahan-lahan. Dia menggeleng.
"Saya tak mampu berikan apa-apa jaminan. Insya-Allah selagi saya waras, awak tetap yang pertama dan paling utama. Percayalah. Cuma awak Nadia Arisya, bukan orang lain."
Salji mula turun memenuhi bumi dengan warna putihnya dan kesejukannya. Jaket kulit yang dipakai dizip sehingga pangkal leher. Nadia Arisya berpeluk tubuh.
"Sejak bila Engku Fadhli? Sejak bila awak jatuh cinta pada gadis yang tak ada apa-apa ini? Sejak bila mula mengasihi dan menyayangi saya yang bukan siapa-siapa ini?" Sudah lama dia ingin lontarkan pertanyaan ini, sudah lama dia ingin tahu sejak bila Engku Fadhli menyukai dia. Sejak dia tahu dia menjadi perhatian lelaki itu serta lelaki itu menyukai dia dalam diam. Malah mungkin sejak dia mula menerima kiriman mesej dari lelaki ini.
"Dah lama saya tunggu soalan tu daripada awak, Nadia. Kenapa baru sekarang awak nak tanya?"
Mafela yang dililit di leher dibuka. Dipakaikan pada Nadia meskipun gadis itu menolak.
"Pakailah, saya tak mahu awak sejuk. Saya tak mahu awak sakit. Kalau awak sakit, saya sedih nanti." Dia hadiahkan sebuah senyuman manis.
Mafela dililitkan di leher Nadia Arisya. Topi berbulu tebal yang dipakai Nadia dibetulkan sedikit agar tempias salji tidak kena pada wajahnya.
"Sebab saya perlu yakinkan diri untuk terima awak, Engku Fadhli. Kerana dengan keputusan yang akan saya buat selepas ini bukannya mudah."
Jemarinya yang kesejukan diraih oleh Engku Fadhli dan digenggam erat.
"Sejak pertama kali saya ternampak awak di airport. Hati saya terpaut pada pandangan pertama dan saya tertanya kenapa saya tak pernah jumpa awak di Malaysia. Rupanya Allah takdirkan saya berjumpa awak di sini. Perancangan Allah sangat hebat dengan hadirnya cinta saya buat awak di negara ini. Di tengah-tengah musim salji yang memutih."
KAMU SEDANG MEMBACA
TUHAN BERIKAN AKU CINTA
RomanceCinta itu satu anugerah memiliki atau tidak itu adalah takdir. Pertemuan itu Cuma seketika di tengah bandar asing, hati Engku Fadhli jatuh cinta pada seraut wajah manis milik Nadia Arisya. Betullah kata orang cinta itu tak perlu ada sebab untuk memi...