BAB 5

170 3 1
                                    

Pagi itu Nadia bersiap seadanya. Ada dua client yang akan ditemuinya. Seorang kes tuntutan hutang dan satu lagi kes saman dari bekas isteri. Kadang-kadang dia terfikir manusia ini bila baik, bila bahagia semuanya indah. Tapi bila satu saat mereka bertelagah semuanya jadi pahit. Hilang semua kenangan demi kenangan yang manis itu.

Usai menghantar Fadhlina ke taska, dia memecut ke Sri Hartamas. Menolak permintaan Engku Farid untuk bertemunya di hotel ternama. Bukan apa, selepas perbincangan nanti senang untuk dia ke pejabat. Malas mahu bersesak atas jalan yang tak pernah tak sibuk.

Sekali lagi sebelum tiba ke Plaza Damas Sri Hartamas, dia dihubungi Engku Farid.

"Cik dah sampai ke?" Soalnya di hujung talian.

"Saya dalam perjalanan tapi sesak sikit tadi sebab saya dari Damansara Utama. Engku Farid dah sampai ke?" Soalnya.

Matanya masih terarah ke jalan raya. Masih tenang memandu. Dia tak mahu terburu-buru. Setiap apa yang dilakukan dia tetap ingat pada Engku Fadhlina. Anak kecil itu sudah kehilangan kasih seorang ayah, takkan pula dia mahu meninggalkannya.

"Saya dah sampai. Kebetulan saya keluar awal. Baiklah saya tunggu Cik Nadia. Oh ya, saya pakai kemeja biru ya. Orang yang paling kacak kat sini." Engku Farid ketawa. Nadia tersenyum. Lega sebab dia tahu Engku Farid tidak terlalu serius orangnya.

Sampai di Secret Recepi langkahnya mati seketika. Dia nampak Engku Farid sedang duduk membelakanginya. Hatinya berdebar. Dia belum pernah lupa seinci pun tubuh Engku Fadhli. Ya, persis sekali.

"Assalamualaikum."

Sekali lagi jantung Nadia bagai rebah ke bumi. Engku Farid dan Engku Fadhli saling tak tumpah. Apa hubungan keduanya?

"Cik Nadia?"

Agaknya dah berapa lama lah Engku Farid tengok dia berdiri macam tugu negara depan ini. Nadia sedikit menggelabah. Mujur tak jatuh fail di tangan.

Nadia cepat-cepat duduk di hadapan Engku Farid. Dia cuba berlagak biasa meskipun hatinya, jiwanya sedang dilanda ombak besar.

"Engku Farid Badlishah?" Soal Nadia. Tenang. Engku Farid tersenyum lantas mengangguk. Ya, senyuman itu persis sekali dia yang telah jauh tinggalkannya. Dia cuba kawal emosi. Tidak mahu melibatkan emosi dalam kerjaya profesionalnya.

"Bonda saya tak dapat datang. Ada urusan. Cik Nadia boleh tanya apa sahaja pada saya. Saya bersedia untuk menjawabnya."

Nadia tarik nafas perlahan lalu dihelanya perlahan.

"Saya nak tahu sejauh mana hubungan Engku dan bekas isteri dan bagaimana penceraian berlaku."

Engku Farid tanggalkan kaca matanya.

'Allah. Jantung Nadia bagai jatuh ke bumi. Sepasang mata biru milik Engku Farid mengingatkan dia pada Engku Fadhli.

"Kami bernikah tiga tahun lepas. Atas pilihan bonda saya. Dia anak seorang tokoh korporat dari negara seberang. Mungkin kerana perkenalan kami yang singkat, saya tak sempat nak mengenali bekas isteri dengan lebih dekat. Selepas kahwin saya sibuk uruskan perniagaan di England sehingga kami jarang ada masa bersama."

Nadia catitkan sesuatu dalam notanya.

"Bagaimana Engku dan bekas isteri bercerai?"

Engku Farid senyum. Kelat. Dia menyandar di kerusi. Matanya sesekali memandang wajah Nadia di hadapan.

"Bila saya dapat tahu dia ada hubungan dengan lelaki lain di belakang saya. Saya dapat tahu ketika dia melahirkan bayi yang dikatakan sebagai anak saya."

"Oh, kemudian?" Nadia sedikit terkejut.

"Saya terjumpa beberapa gambar dalam galeri telefon bimbitnya. Gambarnya bersama lelaki di bilik hotel. Saya paksa dia untuk bercakap benar tapi dia tetap menafikannya. Saya ugut untuk buat ujian DNA pada bayi itu tapi Rihana tetap tak mahu. Cik Nadia bayangkan saya berdarah B dan Rihana berdarah B positif. Macam mana anak kami boleh berdarah O. Itupun Rihana sorokkan kad bayi dari pengetahuan saya sehingga bonda saya yang jumpa. Bila semuanya terbongkar, Rihana larikan diri ke negaranya kembali. Saya ambil keputusan untuk ceraikan selepas berbincang dengan keluarga. Rihana tak puas hati bila bonda saya ke sana dan memaksa dia untuk tandatangan surat cerai."

Kamu telah mencapai bab terakhir yang dipublikasikan.

⏰ Terakhir diperbarui: Feb 07, 2020 ⏰

Tambahkan cerita ini ke Perpustakaan untuk mendapatkan notifikasi saat ada bab baru!

TUHAN BERIKAN AKU CINTATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang