HANNI sakit hati! Semua jadi tidak kena. Berbahang hatinya! Rumah besar milik orang tuanya tidak memberi ketenteraman. Persekitaran yang nampak tenang seperti ada sesuatu yang tidak mencengkam. Dicuba untuk berlapang dada. Setiap kali berusaha, jiwanya resah. Kadangkala dirasakan isi rumah tidak ubah seperti orang asing yang tidak pernah dikenali. Perasaan yang membuat dia terseksa. Ketika merasakan dirinya tersisih, dia memilih untuk menyendiri. Disembunyikan segala penanggungan batinnya daripada pengetahuan keluarga. Dia berusaha bersikap biasa-biasa biarpun semuanya serba canggung. "Hanni... Hanni... Hanni..." Suara aneh yang tidak dingini sering kali mengganggu. Panggilan itu begitu lunak dan mendayu. Setiap kali mendengarnya, ekor mata Hanni akan melingas ke sana dan ke mari. Tercari-cari daripada mana arah datang suara. Dia seperti sedang dipermainkan. Hanni terlalu mahu melihat jasad yang memanggil. Mahu memberi amaran agar jangan pernah mengganggunya lagi. Hingga ke hari ini Bab1keinginan itu masih tidak kesampaian. Hanni bukan saja rasa tertekan, bahkan ada ketikanya dia merasakan dirinya seperti orang yang kurang siuman. Dia terpaksa meladeni suarasuara ghaib dengan penuh seksa. Sepertinya terlalu banyak syaitan berkeliaran yang mahu memusnahkan dirinya. Kejam! "Jangan ganggu aku, syaitan! Pergi jauh-jauh daripada aku! Pergi!" Setiap kali suara itu kedengaran, Hanni akan membalas dengan lirih dan tertekan. Tidak mahu ada sesiapa yang mendengar. Seringkali tindakan itu tidak juga memberi kelegaan. Sebaliknya akan memberi tekanan yang lebih dalam lagi. "Hanni, kenapa bercakap sorang-sorang ni?" Tiba-tiba suara di belakang menegurnya. Hanni menoleh. Puan Indah, ibunya kelihatan kemas dengan sepasang baju kurung Pahang. Amat menarik di dalam usianya yang sudah di penghujung lima puluhan. Sedangkan dia? Masih dengan rambut serabut dan tubuh berbau peluh yang mengering. Hapak. "Mana ada. Takkan Hanni buat macam tu. Hanni masih siumanlah, bu." Jawapan Hanni hambar. Jengkel. Kejengkelan yang tidak seharusnya wujud terhadap seorang ibu yang sekadar bertanya. Tidak menyimpan sebarang niat buruk terhadap Hanni. Puan Indah menarik kerusi. Duduk merenung Hanni yang bersilang kedua-dua kaki pada kepak kerusi. Hanni buat tidak tahu. Bukan membenci. Tidak sama sekali! Wanita itu adalah ratu hatinya. Wanita yang amat disanjung dan dikagumi. Ibunya seorang yang tabah dalam mengharungi mehnah kehidupan. Laluan hidupnya sering diuji dengan hebat. Biar pun begitu segaris senyuman tidak pernah lekang daripada ulas bibirnya. Kemanisan wajahnya membuat Hanni selalu tewas. Tewas untuk menjauhi. Dalam waktu yang sama tetap ada perasaan tidak senang terhadap ibunya sendiri. Sedangkan dia tidak tahu mengapa perasaan buruk terhadap ibunya perlu ada. "Ibu..." Tidak semena-mena kemahuan Hanni berubah 360 darjah. Puan Indah diterpa dan dirangkul kuat tubuhnya. Teresak-esak pada dadanya. Ibunya mengusap lembut ubun-ubunnya. Untuk seketika ada kelegaan yang menyiram hati. Rangkulan semakin kejap seperti tidak mahu dilepaskan. Dibenamkan wajahnya pada dada Puan Indah. "Hanni... Itu bukan ibu Hanni! Percayalah! Dia hanya mahu merosakkan kehidupanmu." Malangnya suara syaitan mengganggu amannya lagi. Ia membisik ke cuping Hanni entah untuk kali ke berapa. Tidak terhitung jumlahnya. Ada ketikanya ia kedengaran ketika sedang sendirian, tidak kurang pula sewaktu bersama ibunya. Setiap kali diganggu, Hanni akan bekerja keras menepis. Dikerah seluruh kekuatan hati dan iman yang masih senipis kulit bawang untuk mengusir pergi gangguan itu. Sungguh! Terlalu acap kali jika dikira daripada waktu ia bermula. Untuk mengusirnya Hanni terpaksa bergulat dengan peperangan jiwa yang hebat. "Hanni! Kenapa ni? Kenapa tolak ibu?" Bulat mata ibunya dek terkejut. Puan Indah terpempan dengan tindakan Hanni yang tidak diduga. Walaupun itu bukan pertama kali Hanni bersikap aneh terhadapnya. Puan Indah tetap merasakan kejutan itu. "Uwarghhh... Pergi. Jauh sana! Jauhhh!" Bukan Puan Indah yang menjauh, sebaliknya Hanni yang bangkit daripada kerusi. Dia berlari selaju mungkin ke arah bilik. Dia tidak pasti sama ada ibunya membuntuti langkahnya atau pun tidak. Mungkin Puan Indah sedang kebingungan dengan tingkah anaknya yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Setibanya di dalam bilik, Hanni menghempas daun pintu semahunya. "Apa sebenarnya kau nak daripada aku? Setiap kali aku berusaha menyayangi ibu, kau ganggu aku! Kau kucaubilaukan hati aku. Siapa kau sebenarnya? Apa yang kau nak hah? Apa kau nak?" Setiap kali rasa kucar-kacir dan kecamuk, hanya air mata menjadi teman. Hanni tumpas. Tidak termampu melawan. Tubuh gigil, telapak kaki dan tangan berubah sedingin ais. Biar pun kesejukan, ada peluh yang merembes. Dada bagai terhimpit dan sendat. Pandangan menjadi kelam dan seluruh ruangan tempatnya berada seakan-aan berpusing. Setiap kali ia berlaku seolah-olah nyawanya mahu direnggut. Ketika itu Hanni merasakan itulah hari terakhirnya dapat melihat dunia. "Allah... Allah... Allah... Astaghfirullahaladzim... Allah tolong aku, tolong." Setiap kali ia berlaku dia hanya mampu merayu belas daripada Allah. "Hanni, apa buat kat dalam tu? Buka pintu ni. Buka, sayang." Ternyata Puan Indah tidak hanya berdiam diri. Belum lama Hanni berada di dalam bilik, ibunya sudah memanggil. Panggilan ibunya membuat perasaan Hanni semakin tidak terkawal. Ditambah oleh bisikan suara yang terus membingit di tepi cupingnya. "Pergii, tolong jangan kacau aku lagi. Tolonglah. Tinggalkan aku sendiri. Pergi kau. Pergi!" Hanni cuba mengusir suara yang tidak pernah diraikan datangnya. Suara yang tidak pernah mengizinkannya untuk menjalani hidup dengan gembira. "Sampai hati Hanni cakap macam tu pada ibu. Ibu tak pernah ajar Hanni bercakap kasar macam tu. Jangan buat ibu sedih, boleh tak?" Di luar pintu pula, Puan Indah menyangka Hanni berkasar kepadanya. "Ibuuu..." ucap Hanni lemah. Tidak terniat untuk menyakiti hati Puan Indah. Kalaulah ibunya tahu apa yang Hanni sedang lalui tentu dia tidak akan berkecil hati. "Hanni, dia bukan ibumu." Suara hasutan mendatangi lagi. "Sudah! Jangan kacau aku! Kau memang syaitan. Syaitan!" Kedua-dua tangan Hanni menepis-nepis ke kanan dan kiri. Berniat mahu mengusir suara syaitan itu. Syaitan perempuan yang jahat dan kejam. Jeritannya bergema di seluruh ruang bilik yang tingkap dan pintunya bertutup rapat. Jeritan itu melantun kembali menerobos masuk ke cuping Hanni. Bingit dan membuat telinga berdenyut sakit. Peluh semakin banyak mengalir. "Hanni! Tergamak kamu panggil ibu yang lahirkan kamu ni, syaitan." Getaran suara Puan Indah membayangkan dia sedang menahan rasa. Menyabarkan hati yang terhiris. Di dalam kamar Hanni tidak dapat menebak apa yang bergolak dalam hati ibunya. Mungkin kesedihan yang tidak terhingga. Atau kemarahan yang meluap-luap. "Ibu, percayalah. Hanni tak kata ibu macam tu. Percaya Hanni, bu." Intonasi cuba dilontar keluar semahu hati. Agar ibunya bias dengar dan tahu. Aneh, suara terperangkap direngkung. Terkekang dan diam. Harapannya mahu memberitahu Puan Indah, punah begitu saja. Di luar senyap. Tidak lagi kedengaran getar suara sedih Puan Indah. Tiada lagi ketukan pada daun pintu. Mungkin ibu sudah beredar membawa seribu satu kekesalan. Ketika itu Hanni merasakan dirinya benar-benar seorang anak yang tidak berguna. Anak durhaka! Menyakiti dan melukakan hati seorang ibu. Sedangkan itu semua di luar mahunya. Tidak semena-mena cuping Hanni tegak berdiri. Berdesing. Pada waktu yang sama dia mendengar derapderap telapak kaki di sekitar bilik. Dia dapat merasakan langkah kaki sedang berjalan mengelilinginya. Tidak terlalu kuat kedengaran tapi sudah memadai untuk membuat Hanni hampir pitam. Hanni benar-benar ketakutan. Takut yang teramat takut. "Hanni... Hihihi..." Kedengaran suara itu tertawa, halus dan panjang. Roma Hanni tegak berdiri. Nafasnya menjadi sekencang nafas kuda berlari. Sedangkan langkah-langkah kaki masih belum berhenti mengelilingi Hanni. "Hah, hahhh..." Nafas Hanni kian memberat. Mulut dinganga luas dengan harapan akan dapat menyedut udara dengan baik. Fuuu... Hembusan nafas hangat menyentuh pipinya." Cepat-cepat Hanni beralih tempat. Tanpa melengahkan masa, dia merangkak menuju ke bawah katil. Tidak upaya untuknya berdiri. Lutut terasa lemah dan longgar. Ketika itu hanya di situ tempat yang dirasakan selamat. Setelah bersusah payah, Hanni berjaya menyusup masuk ke bawah katil besi antik bertiang tinggi. Menurut cerita ibunya, katil itu dihadiahkan oleh neneknya sempena perkahwinan orang tuanya puluhan tahun yang lalu. Malahan usianya jauh lebih lama lagi. Katil itu telah dibawa dari tanah seberang ke Tanah Melayu pada ketika itu. Akhirnya ia bertukar ke tangan Hanni pula. Katil itu berada di dalam bilik Hanni dengan kemahuannya sendiri. Sejak kecil lagi dia tidak boleh lena jika tidak tidur di katil antik itu. Hinggalah dia membesar seiring tahun yang berlalu, ibu dan ayahnya menghadiahkan katil itu kepadanya. Tidak manis untuk Hanni berterusan tidur bersama orang tuanya dalam usia sudah menginjak tujuh tahun. Kini dia sudah berusia 17 tahun katil itu kekal menjadi miliknya. Di bawah katil, Hanni berasa aman. Derap-derap kaki tidak kedengaran lagi. Atur nafas mulai stabil. Perlahanlahan peluh mengering. Yang pasti tubuh tidak lagi gigil. Dia berbaring tidak ubah seperti seekor tenggiling. Kedua-dua belah tangan disilangkan pada dada. Tubuh harus direhatkan. Setiap kali perkara sebegini berlaku, dia benar-benar keletihan. Seperti baru saja melakukan satu kembara yang jauh. Ktekkk. Terdengar anak kunci sedang dimasukkan ke dalam lubang kunci daun pintu bilik. Kemudian tombol pintu dipulas. Hanni hanya mampu mendengar tanpa berdaya untuk bergerak. Hanni yakin ketika suasana di luar bilik senyap sebentar tadi, ibunya sedang mencari anak kunci pendua. Puan Indah agak pelupa. Kadangkala terlupa di mana gugus anak kunci disimpan. Kemungkinan itulah yang membuat ibunya terlewat ke bilik semula. "Hanni." Serentak dengan kuakan daun pintu, terdengar panggilan ibunya. "Ibu... Hanni ada sini." Hanya oktaf paling rendah mampu terluah. "Allahuakbar! Hanni, ampai bila kamu nak jadi macam ni?" Laju langkah Puan Indah. Hanni dapat merasakannya. Langkah yang keras dan cemas. Puan Indah menguak kain cadar yang berjuntai ke lantai. Dia menjengah Hanni di situ. Wajah Hanni ditatap lama. Tidak lama selepas itu Hanni melihat aliran air jernih merembes di tebing mata ibunya. Bertakung untuk seketika sebelum mengalir lesu ke pipi tuanya. Sumpah! Hanni benarbenar terguris melihatnya. Pilu hatinya. Sungguh, Hanni tidak pernah terniat mahu menyakiti orang yang telah melahirkannya. Malangnya dia telah melakukannya berulang kali. "Sayang, keluarlah nak. Ibu tak marah kamu." Seperti selalu Puan Indah tetap berlapang dada. Sikapnya yang begitu semakin merobek-robek hati Hanni. Oh Tuhan, Hanni merasakan dirinya amat tidak berguna! "Ibu, Hanni... Hanni..." Terlalu banyak mahu Hanni perkatakan, namun lidahnya kelu. "Tak apa, sayang. Tak payah cakap apa-apa. Ibu cuma nak kamu keluar dari situ. Kamu penat kan. Rehatkan badan, lepas tu mandi. Kamu belum breakfast, kan?" Ibu menghulur tangan agar aku menyambutnya. "Tak rasa nak makan. Tak ada selera." Sambil bergerak untuk keluar. Seperti mana Hanni merangkak masuk ke bawah katil, begitulah caranya dia keluar. Sesudah keluar, Puan Indah menyambut tangannya. Cepat Hanni mengucup perlahan. Puan Indah menarik tubuh Hanni lalu didakap kemas. Diusap perlahan belakangnya. Sepenuh kasih dan sayang. Untuk seketika dia berasa selamat di sisi ibunya. Hanya dia tidak pasti selama mana ia akan dapat bertahan.
YOU ARE READING
TANAH
HorrorSaban hari HANNI diekori kelibat yang menakutkan. Hanni keseorangan. Tiada siapa yang mahu percaya. Hatinya dipenuhi curiga. Bisikan-bisikan aneh selalu mengganggu. Hanni berwaspada. Sukar mahu mempercayai orang lain, waima ibu kandung sendiri. Ada...