Sebuah istana yang dahulunya sentiasa bising dengan gelak tawa dan kerenah penghuninya kini sunyi sepi. Tingkap-tingkap yang sentiasa terbuka kini tertutup serapatnya. Ruang yang ada semuanya kelihatan kelam, gelap dan tidak bernyawa. Seluruh ahli di istana sedang meratapi pemergian seseorang.
Raja kepada Kerajaan Afydien, Raja Louis telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan anak baginda.
"Ayahanda.."
Air mata yang terkumpul di hujung mata berlinangan membasahi pipi sang putera.
"Anakanda akan penuhi hasrat ayahanda.."
Putera tersebut perlahan-lahan bangun lalu berpaling ke arah para dayang dan ahli istana yang berada di kaki katil Raja Louis.
"Kalian semua sudah dengar akan arahan Tuanku, bukan?"
Semuanya mengangguk lemah, masih bersedih dengan pemergian Raja Louis yang mereka sanjungi.
"Uruskan mayat Tuanku dengan baik. Tuanku akan dikuburkan tengah hari ini."
Usai bertitah, sang Putera mengucup dahi ayahandanya buat kali terakhir.
"Terima kasih atas segalanya, ayahanda. Akan anakanda tunaikan segala permintaan ayahanda, tidak kira apa yang berlaku. Ayahanda berehatlah dengan tenang di sana." Matanya dipejam perlahan lalu bibirnya mengukir senyuman yang pahit.
Beberapa minggu sebelum Raja Louis mangkat.
"Anakanda.."
"Ya, ayahanda?"
"Ayahanda ada beberapa hajat.."
Tangan ayahandanya digenggam erat, terasa sejuk sekali tangannya.
"Anakanda ada di sini." Matanya melihat ayahandanya dengan pandangan yang lembut, seolah-olah sedang memberi semangat kepada ayahandanya yang semakin hari semakin lemah akibat sumpahan daripada seorang durjana yang mahu merampas takhta.
Raja Louis melepaskan batuk yang lemah sebelum mula berbicara.
"Ayahanda tahu hayat ayahanda sudah tidak lama. Ayahanda sangat berharap, anakanda dapat menjaga ibunda dengan baik selepas kemangkatan ayahanda."
"Ayahanda..."
"Carilah dan hapuskan dalang di sebalik gering ayahanda dan ibunda. Tuntutlah bela kami berdua. Jangan sesekali biarkan kerajaan ini jatuh di tangan yang salah."
Putera Lucas mengangguk perlahan.
"Dan, Lucas.. Sebelum semua itu.." Raja Louis tersenyum lemah. Matanya yang kuyu memandang Putera Lucas dengan penuh harapan.
"Ayahanda benar-benar berharap Lucas berkahwin.."
Mata Putera Lucas terbeliak.
"Percayalah kata ayahanda. Dua lebih baik daripada satu. Banyak kebaikannya.. jikalau anakanda mempunyai seorang teman buat selamanya.."
"...Baik, ayahanda." Lucas tidak mahu mempersoalkan permintaan ayahandanya memandangkan ayahandanya sudah berada di hujung nyawa.
YOU ARE READING
Bound Together.
Fantasy"Kenapa aku perlu percayakan kau?" 24 tahun hidup menyendiri dan serba kekurangan, Lilian, seorang wanita yang hidupnya biasa-biasa sahaja telah didatangi oleh seorang jejaka yang mengaku dirinya sebagai seorang putera dari Alam Ziuran. 'Putera' ter...