Romeo
[ro.méo] | روميو
Lelaki yang menawan dan gemar memikat perempuan (menukar-nukar
teman wanita/ passionate male seducer or lover).
❤ AKU memeluk tubuh sambil bersandar pada badan kereta. Nafas aku hela perlahan sambil memusatkan sepenuh perhatian kepada Zairi yang kelihatan resah sendiri.
Apa lagi mamat ni nak auta aku? Apa alasan dia nak bagi? Tentu ligat kepala otak dia berputar. Tengoklah tu gayanya, tak keruan sungguh. Serupa beruk tercabut bulu! Dah tu, tak berani dia nak bereye contact dengan aku. Dari tadi asyik melarikan pandangan sambil memandang sekeliling dengan kalut. Gaya macam nak melarikan diri pun ada! Tapi kalau dia lari sekali pun, esok-esok kena hadap aku juga. Baik selesaikan hari ini. Waktu ini!
“If you’re cheating and you think I don’t know, Zairi... you’re wrong.”
Terus kepala Zairi berpusing mengadap aku. Baru sekarang dia berani pandang tepat ke muka aku dengan rupa yang terkejut. Dia tak sangka agaknya aku tahu.
“Baby...”
Bertambah terkejut Zairi dibuatnya bila aku memanggilnya ‘baby’ dengan agak manja. Patut ke aku sebut ‘baby sayang’ macam gaya Mira Filzah?
“I know,” sengaja aku menyambung kata dengan nada yang lebih lembut dan meleret untuk mengenakan Zairi yang dah terkaku. Saja nak sedarkan dia yang aku tahu tentang kewujudan si ‘baby’ itu.
‘Baby’! Oh... Allah saja yang tahu macam mana perasaan aku.
“I know you’re cheating. It’s only a matter of time, Zairi.”
Zairi mula menundukkan pandangan sebaik aku kata begitu. Dia tak mampu nak terus bertentang mata dengan aku. Dah kantoi, kan?
Alahai, Zairi. Aku bukan baru lahir semalam. Aku bukannya bodoh, tak boleh nak mengenal pasti lelaki yang curang sebab lelaki yang curang ni ada bodohnya!
Lelaki selalu fikir mereka dah cukup bijak tapi, mereka selalu terlupa yang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Yalah... lelaki yang curang ni adakalanya penat. Bila asyik berlakon dan sentiasa berfikir macam mana nak tutup semua bukti, mereka terlepas pandang pada perkara-perkara kecil yang sepatutnya dijaga dengan rapi juga. Contohnya, Zairi sepatutnya lebih berhati-hati semasa bercakap dengan aku. Dia harus menjaga mulutnya agar tidak tersasul memanggil aku, baby.
Sepanjang dua tahun hubungan kami berjalan, aku dan dia bukanlah pasangan yang ‘cheesy’. Apa lagi sampai nak berbaby atau bersayang bagai. Jadi... bila dia tersasul memanggil aku dengan gelaran yang pelik, aku tahu ‘baby’ yang dimaksudkannya itu bukanlah aku.
Aduhai, Zairi... kau tahu tak apa yang aku rasa waktu kau tersasul panggil aku ‘baby’?
Sumpah, aku nak kick your ass jam tu jugak! Mujur kesabaran aku tinggi dan aku ni bukanlah yang lekas melatah, apalagi sampai nak menyergah orang. Tak adalah aku cekik batang leher dan paksa dia jelaskan siapa si ‘baby’ itu. Aku biarkan saja dia terus berlakon dan menipu aku.
Saja... nak tengok sampai setakat mana kau mampu berlakon depan aku, Zairi!
Yang menghairankan aku tu, banyak betul tenaga si Zairi ni! Kadang-kadang kesian juga aku tengok dia yang kelam-kabut menguruskan masanya. Berkejar-kejar dan nampak penat bila terpaksa melayan aku dan babynya itu dalam satu masa. Kadang-kadang aku sengaja pedajalkan dia.
Aku suruh dia datang jumpa aku waktu dia konon-konon ada meeting. Padahal awal-awal aku tahu dia meeting dengan babynya itu. Dan masa kami tengah berdating pula, si baby yang akan menelefon.
Aku biarkan saja dia melayan panggilan si baby itu. Saja nak tengok, macam mana dia melayani babynya itu ketika berada di sisi aku. Jelas, bukan main resah Zairi dibuatnya sampai terpaksa berbohong kata ‘client’ yang telefon. Sudahnya, aku suruh dia terus saja pergi jumpa dengan ‘client’ jadiannya itu.
Woah, bukan main seronok Zairi dibuatnya! Tak payah susah-susah nak beri alasan untuk melepaskan diri daripada aku. Siap dia kata, syukur ada seorang kekasih yang bertimbang rasa dan sangat memahami dengan kerjanya.
Aku seorang kekasih yang bertimbang rasa dan sangat memahami?
Otak kau, Zairi! Tujuan aku suruh kau pergi sebab aku dah meluat sangat tengok gaya kau bercakap dengan si baby tu depan aku, tahu?!
“You dah tahu I... I... hmmm, you tahu I ada...”
“Ada perempuan lain?” aku memintas.
Zairi mengangkat sedikit pandangan untuk melihat aku. Rupa Zairi waktu ni macam budak-budak terkantoi curi minum waktu bulan puasa.
“Of course I know. You bukannya bijak sangat pun nak menipu I.”
Zairi tersentak dan hanya mengerling dengan ekor mata.