AIR kopi dituang ke dalam cawan antik berwarna putih. Biskut di dalam balang dicapai kemudian disusun kemas di atas piring. Selesai menyusun cawan dan piring di atas dulang, Tihani mengangkat dulang dengan berhati-hati. Sampai sahaja di bahagian kolam renang, dulang itu diletak di atas meja batu. Wajah Dato Firdaus dipandang dengan senyuman lebar."Jemput minum, ayahanda." Pelawa Tihani sambil dia meletakkan cawan berisi kopi di tepi laptop milik Dato Firdaus.
"Thank you." Ucap Dato Firdaus sambil matanya masih memandang skrin laptop. Wajah Tihani langsung tak dipandang. Hatinya masih kecewa dengan perlakuan anaknya.
Tihani sedar, Dato Firdaus masih marahkan dia. Selalunya, walaupun ayahanda jenis tidak mesra dengannya tetapi kadang-kadang mereka boleh juga berbual. Berbanding dengan Datin Qaleda, memang dia tak akan berbual walaupun perkara itu penting. Bukan dia tak nak, tetapi bonda yang meletakkan jurang di antara mereka. Apa lagi dia boleh lakukan?
Bunyi pintu pagar rumah dibuka menarik perhatian Tihani dan Dato Firdaus. Kelihatan Flora melangkah masuk dengan berpakaian santai. Tihani terus bangun kemudian dia melangkah masuk ke dalam rumah untuk bersiap. Hari ini Flora sudah berjanji untuk membawanya keluar ke kafe dan terus mengambil Madam Salima di airport.
"Assalamualaikum." Sapa Flora dengan sopan. Ditundukkan sedikit kepalanya tanda hormat.
"Waalaikumussalam. Kamu nak pergi mana dengan Hani?" Dato Firdaus bertanya apabila melihat Tihani masuk ke dalam rumah.
"Kami nak pergi ke kedai kek. Cik Muda Tihani nak beli kek sempena menyambut kepulangan Madam Salima." Dato Firdaus mengangguk faham. Dia sudah dimaklumkan dengan kepulangan ibu kandungnya itu hari ini.
"Tengok-tengokkan si Hani itu. Dia itu kalau lintas jalan bukannya nak tengok kiri kanan dulu. Make sure you keep your eyes on her." Pesan Dato Firdaus dengan tegas.
Flora tersenyum sinis dalam diam. Heh, sayang anak tapi tak nak tunjuk. Dia kenal sangat dengan perangai Dato Firdaus ni. Kalau dah sayang itu, janganlah sisihkan anak sendiri.
"Baik, dato. Insya-Allah. Saya pun bertawakkal kepada Allah SWT." Ujar Flora dengan penuh makna. Kita jangan terlalu berharap pada manusia tetapi berharaplah kepada Allah SWT. Sedangkan manusia yang kita berharap itu pun, dia juga dijaga oleh Allah SWT.
"Saya pun tahu, Flora. Saya cuma nak ingatkan tugas kamu sebagai pembantu dan pengawal peribadi Hani. Tak salah kan?" Tekan Dato Firdaus. Wajah Flora dipandang dengan tajam. Flora tersengih.
"Dato jangan marah-marah tau. Nanti lagi berkedut." Usik Flora. Dia sudah terbiasa bergurau dengan Dato Firdaus. Lagipun sudah 10 tahun dia membesar dalam rumah ini, jadi memang dia rapat dengan Dato Firdaus dan Datin Qaleda. Cuma baru-baru ini dia telah berpindah keluar atas sebab dia nak cuba berdikari sendiri.
TIHANI membetulkan selendang di kepalanya. Blaus berwarna pink dipadankan dengan seluar palazzo berwarna putih.
"Hani jangan lupa pesanan atuk. Jadilah wanita muslimah yang sebenar. Tutuplah aurat mengikut apa yang diperintah oleh Allah SWT."
Pesanan daripada arwah atuk masih terngiang-ngiang di telinga. Selesai memastikan auratnya ditutup dengan betul, Tihani mengambil beg galas belakang kemudian dia melangkah keluar dari bilik.
"Kamu nak pergi mana?" Tihani memusing badannya ke belakang. Kelihatan Datin Qaleda sedang memandang dirinya dengan tajam.
"Hani nak pergi ke Cafe Luxy dengan Flora. Bonda nak apa-apa tak?" soal Tihani dengan senyuman.
"Tak ada. Hmm, pergilah." Datin Qaleda ingin melangkah masuk ke dalam biliknya semula.
"Eh kejap bonda. Hani nak salam." Tihani menghulurkan tangannya ke arah Datin Qaleda. Dia perasan riak muka bonda berubah.
Perlahan-lahan Datin Qaleda menyambut huluran tangan Tihani dan bibir Tihani mencium lembut tangannya. Perasaan sayu meresap masuk ke dalam hatinya namun lantas diusir pergi. Pantas Datin Qaleda menarik semula tangannya kemudian dia melangkah meninggalkan Tihani. Namun Tihani hanya tersenyum lebar. Sedikit pun dia tidak terasa dengan perlakuan Datin Qaleda malah, hatinya gembira!
YOU ARE READING
Pre-order Novel The Hunter (C)
Action<2nd Novel> Highest Ranking- #1inAction(23/2/2021) [Completed] Known as Healing Love. "Di saat awak tahu siapa diri saya yang sebenarnya, you will realise that, being my wife is not as easy as you think." _______...