• Kompilasi cerpen yang ditulis dengan beberapa genre tertentu.
• Cerpen untuk pertandingan #DudukRumah
Amaran: Tolong jangan memplagiat cerpen yang ada di dalam buku ini. Kerjasama anda amatlah dihargai.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
#DudukRumah
Aku tidak tahu aku pernah mempunyai idea untuk menyimpan jutaan buku di bawah katil. Kalau jual boleh kaya aku!
Aku mengambil salah sebuah buku yang agak besar. Berat. Sebuah berlian besar bersinar di kulit buku.
Aku membuka buku itu dan tiba-tiba, suatu cahaya muncul. Apabila aku mencelik, aku berada di tempat yang indah! Pelbagai bunga yang berwarna-warni, bersama makhluk-makhluk yang baik-baik lagi mesra semanis gula-gula.
Itulah perkara yang paling menyampah dalam hidup aku.
Semuanya mengarut!
Bagaimana aku boleh teruja jika dunia yang aku duduki sekarang seperti menunggu kiamat?
Separuh hutan rentung. Asap hitam akibat rumah-rumah yang terbakar masih menebal. Haba daripada tanah kering terasa mahu membunuhku.
"KEJAR DIA!"
Satu suara garau menjerit dahsyat.
Aku menoleh.
Sekumpulan raksasa biawak, menjerit sambil mengejarku bersama kuku yang runcing.
Aku tersentak lalu berlari sekencang yang aku mampu. Adrenalinku memuncak dan tanganku berpeluh.
Lidah raksasa itu terjelir bersama cecair hitam pekat yang berbau bangkai.
Sehelai kertas bergambar wajahku hanya dipijak-pijak. Kotor. Tetapi cukup menjadi sebab nasibku sekarang.
DIKEHENDAKI
TIDAK DIKETAHUI HIDUP ATAU MATI
ATAS KESALAHAN MEMBUNUH, MENCURI, MEROMPAK DAN MENIMBULKAN KEKECOHAN.
∆126 000 000
Sampai begitu sekali?
Aku dihukum disebabkan perbuatan yang aku tidak pernah buat, apatah lagi membunuh.
Semua ini betul-betul gila!
"Mana orang tadi?"
Suara yang seakan menderam itu, merengus.
"Mungkin dia pergi sana."
"Ayuh! Jangan biarkan walau sehelai rambut dia terlepas!"
Raksasa-raksasa itu terus meluru, mencari jasadku yang malang.
Aku menghela nafas, lega, lalu bersandar pada batang pokok.
Syukurlah aku berbakat dalam memanjat.
Aku mendongak ke langit yang suram. Kekelabuan dan penuh dengan asap.
Mulutku diketap, menahan air mataku daripada jatuh.
Aku terseksa!
Aku mahu balik!
Apa maksud semua kegilaan ini?
. . .
Aku merenung pantulan wajahku pada cermin. Agak lama.
Hebat. Wajah aku hampir sama dengan 'kembar' aku.
Cuma, pakaiannya sedikit longgar untuk badanku yang lebih kurus. Rambut aku lebih kasar dan terdapat kesan calar-balar pada diriku.
Aku menyentuh cermin itu, sebelum menyeringai.
"Aku," bisikku, " bebas."
Aku memejam, dan perlahan-lahan menghidu aroma udara ini.
Bauan masakan enak, wangian segar dari bunga-bungaan, kehangatan kucing yang berlegar, bersama jiwa ahli keluarga yang sibuk di luar.
Hampir lengkap.
Cuma satu jiwa sahaja yang tertinggal.
Aku mengambil sebuah buku di atas katil lalu melangkah keluar.
"Abang nak pergi mana?"
Satu suara kecil dan nyaring, bergema apabila aku memulas tombol pintu.
Seorang kanak-kanak perempuan bertocang dua melompat-lompat. "Ikut!"
Aku tersenyum. Sinis.
"Marilah."
Di belakang rumah, aku meletakkan buku tadi di tanah, bersama sampah sarap dan dedaun kering. Bau minyak yang kuat, menusuk hidung kami.
Aku memetik api mancis.
Kanak-kanak polos itu bertanya, "abang nak buat apa?"
Aku tergelak.
"Bebas."
Mancis itu dilepaskan.
Tiba-tiba, api menjulang tinggi, merakus setiap material berdekatan dengannya.
Buku itu pula, perlahan-lahan dimakan api. Bauan bangkai yang kuat, menyesakkan dadaku.
Bau manusia.
Bau yang sangat kuat, sehingga kanak-kanak itu berlari masuk, menahan muntah.
Aku memejam. Menghayati jeritan dan tangisannya yang menyakitkan.
Seperti melodi yang indah.
"Terima kasih," bisikku sambil menyeringai, "sebab terpaksa gantikan aku."