Promt Seram: Dalam Kegelapan

40 10 2
                                    

#DudukRumah

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

#DudukRumah

Aku kaku melihat skrin komputer riba aku.

Gelap. Hanya cahaya lampu meja malap yang berani menerangi kegelapan kamar.

"..."

Suara bisikan bergema di sebalik pintu bersama gelak tawa kanak-kanak.

Aku kenal suara itu.

Plak!

Komputer riba kembali menyala. Aku menyengetkan kepalaku.

Terapapar seorang budak lelaki yang menyeringai kepadaku. Matanya terbeliak.

Darah menitis daripada wayar yang menembusi anggota badannya. Seperti boneka.

Aku tersenyum.

"Helo," kataku, "'aku' di komputer."

Kami tergelak.

Aku bingkas lalu membuka suis lampu.

Plak!

Mata-mata manusia gergasi terbeliak di dinding bilikku. Terkejut.

Siling. Lantai. Semuanya dipenuhi dengan mata manusia.

Pintu bilikku pula dibelit dengan akar-akar keras yang berselirat di pintu. Terkunci seperti pengawal menjengkelkan.

Aku menuju ke katil seraya memijak mata-mata yang berkelip. Berdarah.

"Tada."

Kunci ada di bawah bantal.

Apabila aku menyuluh ke luar bilik, kelihatan adik lelakiku duduk tegak di sofa.

Matanya yang berair, dijahit supaya sentiasa terbuka ke arah televisyen.

Kaki dan tangannya tidak berdarah walaupun dipaku. Bezanya, tangannya dipaku bersama alat kawalan.

Dia memang suka menjadi 'ketua kawalan'.

"Kamu belum tidur? Sekarang sudah pukul 3.00 pagi."

Adikku tidak melayan, tergelak apabila adegan lucu menerpa di skrin bercahaya kosong.

Aku sudah agak. Mesti suara budak ini ketawa tadi.

Apabila aku menyuluh ke dapur, kelihatan ibuku hanya duduk di meja makan.

Pandangannya tidak berganjak dan telefon pintarnya dijahit pada tangan.

Aku perasan ada cecair hitam pekat mengalir dari bawah kerusi.

"Mana kaki mak?"

Ibuku menjawab malas, "kaki mak bosan. Sekali-sekala keluar rumah."

"Tapi, sekarang dah lewat."

Ibuku seperti tidak mendengar, menatap telefonnya. Sibuk berbual dengan rakan-rakan.

Aku terdengar sesuatu bergoyang di atas. Lampu disuluh ke siling.

Ayahku kelihatan tidak endah, tergantung di dalam sebuah sangkar gergasi.

Dia agak pelik.

Kepalanya seperti burung tetapi badannya berbentuk manusia.

Asap rokok yang dihembusnya melingkari leher berbulu pelepahnya seperti ular. Sangat kuat, sehingga lalat-lalat kecil keluar daripada dagingnya.

Bukan dia sahaja. Asap itu bergerak ke arah adik, ibu dan aku. Melilit leher dengan kuat.

Lalat berdengung, keluar daripada daging kami.

"Ayah... tak selesalah," kataku, "ular asap ini pun mahu bebas di luar."

Ayahku merungut, "kalau tak tahan, pergi jauh-jauh."

Hidungnya berdarah, tetapi tidak dihirau.

Aku menjongket bahu. Semua orang aktif sekarang.

Padahal sekarang sudah pukul 3.00 pagi.

Eh.

Aku menyuluh kalendar di dinding. Walaupun tulisan itu berpusar, aku masih dapat membaca.

Sudah tahun 2020? Aku melihat diriku.

Sejak bila aku menginjak remaja?

Lupakan.

Aku masuk ke bilik.

Seperti biasa, akar-akar mula menjalar menutup pintu, seakan mahu memerangkapku.

Bum!

Tiba-tiba, sebuah patung gergasi jatuh di hadapanku.

Aku berkerut.

Patung itu menggigil, lalu melompat berdiri. Tali-tali pada anggotanya bergerak-gerak, melambai.

"Helo," kami berkata serentak, "jom main."

.   .   .

Semuanya menyeronokkan.

Aku dapat merasakan wayar-wayar halus yang menusuk ke daging, mengikat tulang-temulangku.

Wah. Aku dapat bergerak tangkas dan menari. Terasa lebih bebas.

Aku menepuk tangan dengan mata terbeliak.

Kami bermain di dalam ruangan putih yang kosong. Walaupun hanya kami, tetapi aku dapat rasakan dia ada banyak perkara yang mahu dibuat bersamaku.

Aku gembira bermain dengan 'aku'.

===========================

#DudukRumah
SeramMY

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 01, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cerpen AksaraWhere stories live. Discover now