"BUDAK Ajaib? Nama apa yang dia orang bagi ni? Hodoh gila," gumam Ziqn sendiri. Dia sedang menonton berita pada telefon pintarnya.
"Netizen menggelarkan sosok wira misteri itu sebagai 'Budak Ajaib'. Pihak polis juga mengesahkan yang individu itu tidak berkaitan langsung sama sekali dengan pihak mereka. Orang ramai mula melemparkan tuduhan bahawa pihak kerajaan Malaya Baru sedang menguji senjata baru mereka yang berupa tentera 'supersoldier'. Namun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Apakah yang sedang berlaku? Adakah individu ini mengancam kita? Saya Nurul H-" Ziqn menutup telefonnya.
Dia mengeluh.
Hendak menyelamatkan orang pun dituduh sebagai ancaman? Huh, apalah yang nak jadi... Gumam pemuda itu sendirian.
...
ORANG ramai sedang berjalan di sekitar plaza itu seperti biasa. Matahari yang sedikit tenggelam tidak memberi kesan kepada bilangan manusia di bandar penuh kesibukan itu.
Di celahan lautan manusia itu, kelihatan seorang lelaki berjalan terhuyung-hayang tanpa arah tuju. Gayanya seperti orang yang sedang mabuk.
Dia memakai baju singlet dan kelihatan sangat tidak terurus. Dia terus berjalan sehingga melanggar seorang wanita.
"Kyaaa!" wanita itu berteriak penuh kaget.
Lelaki singlet itu memandangnya dengan mata yang kuyu seolah mabuk. Seorang lelaki yang kelihatan seperti kekasih wanita tadi memegang kolar singlet lelaki tadi.
"Kau pemabuk tak gun-" bicaranya terputus. Lelaki singlet itu mencekik tengkuknya. Tubuh lelaki itu diangkat tinggi sebelum dicampak ke tepi.
Lelaki singlet itu berteriak nyaring. Dia menyerang orang awam secara rambang. Kelihatannya seperti amukan orang gila. Beberapa lelaki mengelilinginya dan berusaha untuk menangkap lelaki singlet itu.
Zuupp! Dia melompat tinggi dan menendang kepala salah seorang dan menumbuk yang lain.
Ada yang mula menelefon polis.
…
ZIQN menarik sebuah kotak dari bawah katilnya. Dia mengeluarkan sesuatu berwarna putih.
Topeng sebenarnya. Ziqn menggilap topeng itu dengan sehelai kain sehingga ia berkilat. Pemuda itu mengangkat topeng itu.
Sebuah topeng muka putih bermotifkan tengkorak.
Dia tersenyum kecil. Telefonnya berdering tanda notifikasi masuk.
'AMUKAN LELAKI ANEH DI PLAZA BIMA' tajuk sebuah video daripada perakam video paling terkenal di Bandar Kosmik.
Ziqn mengerutkan dahi. Lelaki dalam rakaman itu tidak kelihatan seperti manusia biasa. Ada tatu bercorak bulatan dengan segi empat pada bahu lelaki itu.
Logo itu pernah dilihatnya....
Ziqn mencapai topengnya dan memakainya. Pemuda itu kemudian mencapai jaket berhudnya.
...
PIHAK polis mengerumuni lelaki singlet itu. Pistol diacukan ke arahnya. Orang ramai mula menjauhi kawasan plaza itu dan memerhatikannya dari jauh.
"Angkat tangan anda!" arah seorang polis. Ada lebih kurang tujuh orang polis mengelilingi lelaki itu.
"Aku tak takut! Aku Lima! Aku tak takut! Hahaha!" teriak lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai 'Lima' itu.
Pihak polis masih mengacukan pistol. Lima pula pantas berlari ke arah seorang polis.
Baammm! Tembakan dilepaskan. Darah menitik laju. Namun, lelaki itu tidak menghentikan lariannya. Dia mendekati polis itu.
"Tembak!" Berpuluhan peluru menghujani tubuh Lima namun lelaki itu langsung tidak berhenti sedangkan tubuhnya sudah bermandikan darah.
"Ini mustahil!" teriak seorang polis. Tengkuknya dicekik kuat.
Duummm! Tubuhnya dilemparkan ke arah kereta. Dia mengerang kesakitan. Lima mencapai pistol polis tadi. Dia menjilat senjata api itu dan menghalakan muncungnya ke arah tangannya.
Jarinya menarik picu.
Baaammm! Darah tersembur keluar dari tangannya yang hampir terputus. Anehnya, dia ketawa terbahak-bahak seolah tidak berasa sakit. Salah seorang polis pantas berlari meninggalkan plaza itu apabila melihat luka pada tangan Lima perlahan-lahan bercantum semula.
Lima mengacukan pistolnya ke arah polis yang tercampak pada kereta tadi.
Jarinya menarik picu.
Ting! Peluru itu melanggar sebatang besi yang muncul secara tiba-tiba. Fragmen-fragmen berwarna warni muncul di sekeliling sesusuk tubuh.
Topeng putih pada wajahnya kelihatan bengis.
Orang ramai mula bersorak.
"Budak Ajaib!"...
YOU ARE READING
GLITCH (Ongoing)
Science FictionZIQN keluar dari kedai itu. Di hadapannya ada seorang budak lelaki sedang melintas jalan sambil menjinjing sebuah beg plastik. Ziqn tersenyum sendiri. Vuuumm!! Bunyi nyaring enjin kereta menganggu pendengarannya. Ziqn menoleh ke tepi. Ada sebuah ker...