GLITCH 19

27 6 0
                                    

"BAGAIMANkalau aku sertai kamu semua?" soal Glitch tiba-tiba.

Seorang perompak yang bertopeng rakun menjerit kecil, "Jangan percayakan dia, bos! Dia cuma berhelah!"

Sang topeng singa menjawab, "Bagaimana aku mahu tahu kalau kau tak menipu?"

"Begini."

Glitch menghilangkan diri. Semua yang berada di dalam kedai emas itu kelihatan terkejut.Glitch muncul semula di belakang sang topeng singa. Dia merampas pistol lelaki itu dan melepaskan gadis dalam pegangan si topeng singa.

Pistol diacukan ke arah kepala perompak itu.

Kesemuanya dilakukan dengan sangat pantas. Yang lain terus mengacukan pistol ke arah Glitch.

"Lepaskan mereka semua atau aku tak akan teragak-agak untuk tembak bos kau orang n!"arah Glitch penuh tegas.

Sang topeng singa cuba berteriak namun Glitch pantas menghalakan pistolnya ke atas dan menembak siling.

" LEPASKAN MEREKA SEKARANG!!" tempik Glitch. Sang ketua meronta-ronta cuba melepaskan diri namun pegangan Glitch terlalu ketat.

Muncung pistol menyentuh kepala si bertopeng singa. Jari Glitch gatal bermain dengan picu.

"KAU TAK DENGAR KE APA LELAKI NI CAKAP!! LEPASKAN MEREKA SEMUA!!" teriak lelaki itu penuh ketakutan.

Perompak yang lain pantas melepaskan tebusan mereka. Tangan mereka diangkat tinggi.

"Bagus. Tak sangka yang kau sayang juga nyawa kau ya?" sindir Glitch perlahan.

Lelaki dalam pegangannya mendengus geram. Glitch berundur ke belakang dan menendang pintu. Anggota polis yang sedang menunggu di luar pantas meluru masuk dan mengacukan pistol mereka.

Suasana menjadi sangat tegang sebelum polis berjaya mengawal keadaan. Kesemua perompak bertopeng itu berjaya diberkas.

Glitch duduk bersandar pada dinding kedai emas itu. Dia hanya memerhatikan sahaja polis menguruskan penjenayah itu.

Tugasnya sudah selesai.

Glitch melompat ke atas dan melesap.

Ketika dia muncul semula di atas atap, sebilah pisau melayang laju dan mendekatinya. Glitch pantas menangkap pisau itu dan melemparkannya ke tepi.

Dia mengetap bibir.

Susuk tubuh berpakaian jaket labuh berwarna hitam dengan penutup mulut putih dan berhud merenung ke arahnya.

"Kau tak adalah jahat mana pun, sebenarnya Glitch," suara lembut namun sinis itu keluar dari susuk tubuh di hadapannya itu.

"Tak guna punya perempuan... Apa kau nak, hah?!" soal Glitch garang.

"Perempuan? Aku lebih suka kalau kau panggil aku Jaeger," jawabnya selamba.

Jaket hitam yang dipakainya disinari cahaya senja.
Jikalau bukan kerana suaranya yang lembut dan feminin, pasti Ziqn akan menyangkanya lelaki. Jaeger memutarkan kedua pucuk pistol di tangannya.

"Aku nak kau jawab soalan aku. Sambil tu, kita akan berseronok," tuturnya.

Glitch bersiaga.

"Aku pun akan tanya soalan pada kau, dan kau mesti jawab," balas Glitch.

"Aku akan jawab setiap kali kau dapat sentuh badan aku, dan kau pun perlu jawab soalan aku kalau aku dapat sentuh kau, deal? " rundingnya.

"Deal!"

...

SAHIL membuka matanya. Dia sedang ditempatkan di dalam sebuah balang gergasi sedang tangan kakinya digari dengan rantai besi.

"Baiklah, mulakan dengan cecair formula 110," arah seorang wanita berpakaian seperti saintis.

"Baiklah," jawab satu suara yang lain.

Sahil membuntangkan mata. Cecair likat berwarna biru mengalir keluar dari satu kiub yang bersambung dengan wayar panjang di hadapannya.

Cecair itu terus mengalir dan membasahi dasar balang gergasi itu. Sahil terjerit-jerit seperti orang gila apabila cecair itu menyentuh kakinya.Cecair itu terus mengalir sehingga separuh tubuhnya ditenggelami cecair itu.

Sahil meronta-ronta apabila paras cecair likat itu menghampiri lehernya.

Paras cecair itu terus meningkat sehingga menenggelamkan seluruh tubuh bekas perompak profesional itu.

Sahil menjerit kesakitan apabila cecair itu mula memasuki rongga-rongga pada tubuhnya.

"Baiklah, turunkan paras cecair," arah wanita tadi lagi. Dia meneliti skrin statistik perubahan tubuh Sahil itu.

Sahil terbatuk kelemasan apabila paras cecair mulai turun.

Seketika kemudian,dia tergantung lemah pada rantai besi itu.

Sahil pengsan dalam keperitan.

...

"SOALAN pertama, siapa kau sebenarnya?" soal Glitch apabila kakinya menujah perut Jaeger.
Gadis itu terbatuk keperitan.

"Aku Jaeger. Mimpi buruk kau!" teriak Jaeger seraya meluru ke arah Ziqn. Dia mengeluarkan sebilah pisau yang tersisip pada pinggangnya lalu melibas ke arah Glitch.

Glitch melesapkan tubuhnya.

Dia muncul semula di belakang Jaeger namun wajahnya pantas ditujah oleh kasut but gadis itu.
Dia melayang jauh ke belakang.

"Soalan aku, apa kaitan kau dengan Organisasi Sempurna?" soal Jaeger sambil meluru ke arah lawannya dengan pisaunya.

Ziqn mengerutkan dahi di sebalik topeng.

"Organisasi Sempurna?" soal Glitch penuh kehairanan. Jaeger membulatkan mata dan melibas pisaunya dengan laju.

"Jangan buat-buat hairan! Kau kena jawab soalan aku!!" tegas Jaeger. Dia menundukkan tubuh dan menyapu kaki Glitch sehingga pemuda itu rebah tersungkur.

Glitch merengus kesakitan.

Jaeger pantas mengangkat tinggi kakinya dan ingin menghentam tubuh Glitch dari atas.

Glitch lesap lagi.

Dia muncul di hujung bangunan dengan memegang pistol kepunyaan Jaeger. Jaeger mendengus garang dan memecut ke arah Glitch. Pemuda itu hanya berdiri di situ. Dia menunggu waktu yang sesuai sebelum...

Baaamm! Kepala Jaeger dihentak dengan keras oleh pistolnya sendiri yang dipegang oleh Glitch.
Hudnya terbuka sehingga menampakkan rambut perangnya yang pendek paras telinga. Rambut perangnya kelihatan sangat berserabut.

Pada kedua telinga gadis itu ada gajet hemisfera yang kelihatan seperti fon kepala.

"Soalan aku. Apa tu Organisasi Sempurna?" soal Glitch. Jaeger mengusap kepalanya yang masih sakit.

"Sial! Kau tak jawab soalan aku pun tadi!" bentak Jaeger berang. Glitch melemparkan pistol di tangannya ke tepi.

"Aku tak ada kaitan pun dengan organisasi yang kau cakap tu," jelas Glitch jujur.

"Kau tipu! Macam mana kau boleh ada kuasa macam tu kalau kau tak ada kaitan dengan Organisasi Sempurna, hah!?" jerkah Jaeger.

"Aku dah kata yang aku tak ada kaitan dengan benda yang kau cakap tu!!" tegas Glitch.

"Jadi, soalan terakhir aku. Kau boleh ke tengok cahaya terang?" soal Jaeger sinis.

"Hah?"

Siinngggg! Sebiji bom kecil dilemparkan pada lantai dan ia meletup mengeluarkan cahaya yang sangat terang.

Sehinggakan mata Glitch berasa begitu perit dan berpinar-pinar. Dia kehilangan penglihatannya sementara waktu sebelum matanya kembali pulih.
Namun, kelibat Jaeger sudah menghilang.

Glitch mengerutkan dahi.

"Organisasi Sempurna?"

...

GLITCH (Ongoing) Where stories live. Discover now