🔥 BAB 7 🔥

9.7K 820 48
                                    

MENURUT Puan Gayah, pada malam itu dia dan suaminya terpaksa berhenti di tengah jalan sunyi kerana enjin kereta mereka menjadi terlalu panas. Risau pula kalau rosak. Jadi sementara menanti enjin menjadi sejuk, suaminya keluar dari kereta untuk membuang air kecil di tepi semak.

Sementara menanti suaminya selesai melepaskan hajat kecil, dia duduk senyap-senyap di dalam kereta.  Waktu itu, hujan mulai turun rintik-rintik. Kawasan itu gelap, ditambah pula dengan lampu kereta juga dimatikan bagi menjimatkan bateri kereta. Jika dilihat dari luar, sepertinya kereta mereka tiada di jalan itu dek kereta mereka berwarna hitam dan dilitupi pula dengan kegelapan malam. 

Ketika menunggu kedatangan suaminya itulah tiba-tiba dia ternampak ada dua buah kereta hitam berhenti di tepi gaung itu. Dia nampak ada dua orang lelaki sedang bercakap-cakap sesama mereka. Namun, dia tidak dapat mendengarnya dengan jelas. 

Dari dalam kereta, dia dapat melihat dua orang lelaki itu menolak sebuah kereta ke dalam gaung. Dia kaget. Terlihat jelas di matanya seorang lelaki berdarah ada di bahagian pemandu kereta yang ditolak jatuh. Selesai mengerjakan pekerjaannya, kedua-dua orang lelaki itu terus pergi dari situ.

Apabila melihat keadaan selamat, dia keluar dari kereta. Menggigil lututnya melihat insiden pembunuhan yang dilakukan seolah-olah kemalangan jatuh gaung itu. Nasib baiklah suaminya sempat menahan dirinya daripada terlorot jatuh.

Mereka berdua menelefon pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu. Namun, suaminya mengatakan kepadanya bahawa dia akan menjadi saksi kes tersebut. Dia tidak mahu isterinya terlibat. Lagipun, dia sendiri adalah peguam. Senang sikit untuk dia berbicara mengenai insiden itu.

Keesokan harinya, suaminya memberikannya tiket ke Kanada. Sempat berpesan lagi supaya jangan balik ke Malaysia selagi kes ini tidak selesai. Duduk saja di situ dengan adiknya yang sedang belajar di situ. Kata suaminya lagi, kes ini bukan kes biasa. 

Dua minggu kemudian, dia mendapat panggilan daripada suaminya. Suaminya itu memohon maaf atas semua yang berlaku, kemudian memutuskan panggilan. Sampailah ke hari ini, dia masih tidak berjaya menjejaki suaminya.

Kata polis, mereka menjumpai kereta suaminya di tebing laut. Pihak polis menutup kes kehilangan suaminya dengan mengklasifikasikannya sebagai bunuh diri berdasarkan kesan tapak kasut dan cincin perkahwinan mereka berdua yang dijumpai terletak di atas jeti di tepi laut.

“Begitulah kisahnya cik.” Puan Gayah tunduk lagi.

Telinga mendengar, tangan ligat menulis semua informasi itu ke buku nota. Walaupun dia juga merakam perkataan yang diberikan oleh Puan Gayah setelah diberi izin, dia tetap juga mencatat maklumat tersebut di buku nota. Senang dia baca nanti.

 Maklumat berharga kejadian pembunuhan ayahnya, Inspektor Khalid harus dicatat dengan tepat. Kes yang sehingga kini masih belum selesai. Terlalu banyak kekeliruan maklumat dan percanggahan bukti dalam kes ini. Suspek pula ada tetapi mati mengejut dalam satu kemalangan ngeri yang dirancang. Sebab itulah kes ini diklasifikasikan berprofil tinggi. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang tahu identiti penjenayah yang sebenar dan mungkin mereka masih hidup bebas bergerak ke mana-mana.

“Saya harap maklumat yang saya bagi ni dapat bantu cik. Saya doakan semoga cik berjaya,” ujar wanita itu lagi. 

“Cik, tolong bantu saya untuk siasat kes suami saya ya? Dia seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab. Mustahil dia bunuh diri. Dia tahu hukum agama.” Puan Gayah merenung mata Hana. Mengharapkan perempuan muda di hadapannya ini dapat membantunya menegak keadilan untuk sang suami.

INFERNO BODYGUARD (TERBIT NOVEL FIZIKAL)Where stories live. Discover now