Aku berjalan lambat-lambat sambil membelek beberapa helai baju di kiri dan kananku. Niat di hati mahu membeli kemeja baru untuk ke pejabat. Sudah agak lama rasanya aku tidak keluar membeli-belah. Bukan aku tidak gemar membeli-belah, tetapi sejak kebelakangan ini sering sahaja waktu hujung mingguku terpaksa dihabiskan dengan bekerja. Outstation ke merata tempat.
Kini projek kelolaanku sudah hampir siap, jadi aku tidak perlu lagi keluar outstation. Sejujurnya bukan aku benci dihantar ke sana ke mari oleh bosku, tetapi kadang-kala aku terasa seperti tidak mempunyai kehidupan selain pekerjaanku. Ya, bekerja, bekerja dan bekerja!!!
“Bila tak payah kerja ni, rasa pelik pulak. Nak shopping pun dah macam tak reti,” bebelku perlahan sambil terus membelek beberapa helai baju di hadapanku.
Sedang aku asyik membelek-belek, telingaku seperti dapat mendengar bunyi tangisan bayi yang nyaring. Automatik tanganku terkaku sambil mataku melilau melihat sekeliling. Orang-orang di sekelilingku tetap juga seperti tadi, seolah-olah tidak mendengar bunyi tangisan itu.
Perlahan aku menelan air liur yang tiba-tiba terasa kelat
‘Takkanlah ada hantu baby kat sini kot. Ini Mid Valley, bukannya kampung terbiar,’ getus hatiku.
Sesaat kemudian bunyi tangisan itu kedengaran lagi. Hampir terlompat aku dibuatnya. Lambat-lambat aku berpaling pada pintu rintangan api yang terletak di sebelahku. Bunyi itu seperti keluar dari pintu itu.
Entah apa yang merasuk fikiranku, aku mula mengorak langkah menghampiri pintu itu. Sambil membuka pintu, fikiranku mula menerawang pada filem-filem seram yang pernah aku tonton. Ju-On, NangNak, Coming Soon…semuanya silih berganti di fikiranku.
Kalaulah hantu merangkak dalam Ju-On tiba-tiba merangkak kat aku..
Pontianak NangNak terbang datang nak hisap darah…
Hantu yang suka korek mata dalam Coming Soon datang nak ambil mata aku…
Perlahan aku menggelengkan kepala. Isy, apa yang aku fikir ni?
“Takkanlah siang-siang ni ada hantu kot??” ujarku pada diri sendiri. Tubuhku kini dah pun selamat memasuki pintu itu.
Aku memandang kiri dan kanan melihat kalau-kalau ada hantu merangkak, hantu terbang atau budak lelaki pelik dengan lingkaran bawah mata hitam macam panda bear….
Sekali lagi aku menggelengkan kepala.
“Fira, Fira…apa yang kau mengarut ni?” Aku menempelak diriku sendiri.
Lambat-lambat aku berjalan masuk, semakin jauh ke dalam sambil mataku masih lagi meliar melihat benda-benda pelik yang mungkin menegurku.
“Awak…”
Spontan tubuhku kaku. Telingaku seperti mendengar suara menegurku dari belakang.
“Alamak, memang ada hantu ke kat Mid Valley ni?” ucapku tanpa sedar. Sesaat kemudian aku menampar mulutku sendiri.
‘Isy, mulut ni...lancang sangat kenapa?’ bisik hatiku.
Mulutku sudah mula terkumat-kamit, membaca ayat Kursi yang aku ingat.
“Awak….” Suara itu kedengaran lagi. Semakin dekat pula tu.
Aku cuba menggerakkan kaki yang sudah pun lembik.
‘Apasal kaki ni tak nak gerak pulak dah??’
Menyedari keadaan kakiku yang seakan-akan melekat pada lantai, cepat-cepat aku memejamkan mata. Tidak ingin rasanya melihat wajah-wajah yang mungkin membuatkan aku demam seminggu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Babysitter atau isteri?
Historia Corta"Erm... kita...kita..." tersekat-sekat suara yang keluar dari mulut lelaki itu. "kita apa?" aku sedikit menyergah. "kita kahwin, nak?" "Apa yang awak cakap ni?"