"Long, kayu api dah sampai tu, lori tu baru punggahkan,"kata Pak Ju pada Pak Long Amid yang dah sedia untuk memasak kenduri kahwin anaknya Ahad ini.
"Ju, kenapa jauh sangat punggahnya, bawaklah ke mari sikit, orang memasak ni bawah khemah ni, ...tu dah ada 3 kawah dah,"ujar Pak Long Amid sambil mengesat keringatnya lepas memasang khemah dengan oang-orang kampung.
"Long, engkau pun tau jalan sempitkan nak ke dalam lagi, aku jugak yang bagitau....lagipun lori tu berat, kalau kena paip bawah tanah ni pecah pulak, tak kenduri la kita,"balas Pak Ju. Pak Long berkerut memikirkan kayu api yang banyak tu nak di punggah bawah khemah memasak.
"Camni la Long, biar aku cakap dengan Pak We Sahak...dia mesti settle punya,"ujar Pak Ju sambil tersenyum memberi harapan.
PAK WE SAHAK,
Mungkin makhluk 'ajaib' terakhir yang masih hidup dalam kampung aku. Nak cerita orang lain semua dah meninggal. Pak We Sahak ni ketika aku menulis cerita ini mungkin dan masuk 90 tahun umurnya. Yelah, last aku jumpa pun 2 tahun lepas kalau tak silap dia cakap umurnya dah pun 87-88 tahun. Tetapi, sesiapa pun yang jumpa dia mesti akan kata umurnya awal 40an dek kerana nampak muda, bertubuh tegap dan hampir tak pernah sakit!
Kerja hariannya mengusahakan kebunnya dan masih aktif dengan kerja-kerja fizikal ni. Ada la jugak yang tanya, "Apa rahsia Pak We nampak muda dan sentiasa sihat?" macam biasa jawapan orang tua-tua,...JAGA PEMAKANAN. Tapi bukan aku....aku memang tak percaya dengan jawapan tu untuk dia...sebab rasernya terlalu ajaib untuk dia. Pak We pernah berkahwin dua kali. Isteri pertamanya meninggal sakit kanser, isteri yang kedua dinikahinya meninggal sakit jugak. Ada seorang je anak perempuan dari isteri pertamanya.
"Boleh, esok siap," jawab Pak We Sahak selepas di beritahu oleh Pak Ju. Aku agak umur Pak We 10 tahun lebih tua daripada Pak Ju. Tanpa, banyak soal, Pak Ju berlalu. Sepanjang hari sampai malam, longgokan kayu api tu masih tak bergerak, takde siapa peduli, Pak We pun macam endah tak endah je.
Esoknya,..bangun subuh je, Pak Long Amid nampak longgokan kayu api tu dah tersusun elok bawah khemah. Dalam benaknya, 'bila masa si Pak We ni buat kerja? Malam semalam pun aku tak dengar orang buat kerja punggah kayu ni?'
Haaa...itulah sebabnya aku cakap 'ajaib', dan ini bukanlah kali pertama hal semacam ni berlaku, malah sebab kes semacam ni la orang kampung selalu mintak tolong dia. Yang paling popular cerita orang kampung tentang Pak We Sahak ni ialah TELANJANG @ BOGEL! Sampai ada yang gelar, 'oh, Pak We bogel'.
Pak We Sahak ni bila ada kes-kes berkenaan spiritual ni umpama kena rasuk, kena sampuk, jumpa hantu ke apa, teknik dia nak selesaikannya dengan TELANJANG, BOGEL!
Satu ketika, mak ayah budak ni datang ke rumah Pak We sekitar jam 9.30 malam. Budak perempuan tu, Anis balik dalam keadaan ketakutan. Terketar-ketar keadaannya dan tak reda-reda sebab kena 'tegur' dengan Pontianak dekat kebun durian Hj. Kamal masa balik mengaji. Pak We bagi minum segelas air jampinya.
"Mana Pontianak tu? Mana? Meh sini aku ajar dia sikit!" ujar Pak We marah.
Budak tu dengan mak ayah dia bawak ke pokok durian yang dia kena tadi, masa bawak ke kebun tu, budak tu dah panik habis, nasib baik mak ayah dia ada. Sesampai je, Pak We Sahak londehkan semua pakainnya tanpa seurat benang pun.
"Ha ni aku dah datang,OOO...bukan main engkau yek, nak main tegur-tegur budak kecik! Ni ha budak besar ada, turun engkau sekarang!" cabar Pak We Sahak. Tiba-tiba....nampak macam sehelai kain putih muncul melayang dari atas pokok, turun ke bawah. Mak dengan anak ni tadi, cabut lari laa...tinggal si ayah je.
"HUUUAARRRRGGHHH!!!! Ke sini kau! Aku ajar cukup-cukup!" amuk Pak We sambil menghambat 'pontianak' tu! Si ayah tu cakap,...memang nampak seolah-olah Pak We ni 'rembat', hambat, kejar 'pontianak' tu sampai tak cukup tanah!( aku pun nak tergelak bila teringat citer ni).
Masa aku kecik, lagi banyak cerita macam ni,...sebutlah hantu apa pun,...pocong, pontianak, langsuir, hantu tinggi semua cerita 'diorang' ni kena hambat sampai hilang! Yelah masa tu Pak Teh pun bukan selalu ada, dengan family aku dia datang la.
Aku pernah dengar, Pak We Sahak ni masa mudanya belajar silat apa ntah, katanya dah pupus silat tu. Orang tak tahan silat tu sebab mula-mula ambik silat tu pun guru silat tu suruh bertapa dekat Gunung Tahan, ada 'port' khas bertapa di sana selama setahun tanpa sebarang barangan kelengkapan, sehelai sepinggang je. Orang kata, Pak We ni hari last bertapa, masa tu dia dah bogel habis, baju seluar pun dah takde. Lepas tu jumpa Babi Jadian...besar sangat. Guru silatnya suruh dia bertarung dan bunuh Babi Jadian tu dan jantungnya di makan! Akhirnya Pak We berhasil...otomatik semua ilmu-ilmu kebatinan tu dapat dekat dia. Punca bertapa bogel itulah 'pakaian' kekuatan dia.
Masa aku ambik UPSR dulu, gempar sekejap, aku raser dalam 2 minggu kampung kami dikejutkan dengan Orang Minyak. Aku raser tak perlu diperpanjangkan Orang Minyak ni apa, tujuan dia apa. Masa tu dapat tahu dah 3 orang anak dara jadi mangsa. Ayahku masa tu tak dapat panggil Pak Teh, sebab Pak Teh pergi umrah. Apa lagi, orang kampung cari Pak We Sahak la.
Masa orang kampung mengadu tu,
"Aku ni kalau orang tak cari aku, aku malas nak buat, tapi Tok Empat pun dah mintak tolong ni, ...apakan daya, malam ni aku carik,"ujar Pak We Sahak.
Dia tak bohong bhai,...
Malam tu jugak sekitar jam 12.30-12.40 malam, dengar beduk Surau,
....TOKK!! TOKKK!!TOKKK!!! ....
Kuat, satu kampung boleh dengar. Bila Tok Empat dengan orang kampung sampai Surau, Orang Minyak tu dah kena tambat dekat tiang surau! Pak We yang ketuk beduk tu sejurus tangkap dan ikat Orang Minyak tu.(Pak We Sahak mungkin tangkap Orang Minyak tu dalam keadaan bogel, jadi masa dia ketuk beduk tu pun tengah bogel lagi...aduiii!).
Orang Minyak tu bukan orang kampung sini, ...tak kenal, orang luar. Orang kampung yang hadir mengesahkan dan buat soal siasat sendiri Orang Minyak tu sebelum di bawa ke balai Polis. Soalnya, bagaimana Pak We Sahak dapat cari, tangkap? Dia pakai apa dapat jumpa Orang Minyak tu? Misteri yang tak mungkin Pak We sendiri akan cerita, yang penting selesai.
Dan itulah bagiku jasa paling besar Pak We Sahak dengan orang kampung.
Sekarang, Pak We Sahak dah pindah daripada kampung ni. Kata orang, ikut tinggal dengan anak dan menantunya di KL. Last pak We datang kampung aku masa Pak Long Amid jemput dia datang kenduri kahwin anak bongsu dia dua tahun lepas....dia masih tegap dan sihat!
YOU ARE READING
CERPEN: BOGEL, BUKAN CERITA PORNO!
Horror"Long, kayu api dah sampai tu, lori tu baru punggahkan,"kata Pak Ju pada Pak Long Amid yang dah sedia untuk memasak kenduri kahwin anaknya Ahad ini.