Buku surah yasin ditutup. Selesai membaca surah yasin, tangan kami menadah; memohon doa kebaikan buat arwah.
Usai mengaminkan doa, pusara arwah aku pandang sayu. Menahan segala rasa yang kian menumbuh di hati. Rasa yang tak dapat aku luahkan saat ini. Aku perlu kuat. Aku perlu terlihat kuat di hadapannya meskipun yang ada di hadapanku ini hanya tanah yang menimbus jasad tidak bernyawa.
Umi mengusap-usap batu nisan itu. Wajah umi tenang. Tiada sebarang rasa sebak yang dipamerkan. Ya, aku tahu. Umi sudah cukup kuat menghadapi semua ini. Redha dengan segala yang terjadi membuatkan umi sentiasa tersenyum saat bertemu arwah.
Lia pula, riaknya juga biasa. Mungkin sama sepertiku dan umi. Sedayanya berlagak tenang meskipun di hati sarat dengan pelbagai rasa yang hadir.
Prajurit terhebat; itulah gelaran yang diterimanya saat dia masih hidup dan sehingga sekarang. Meski sudah tiga tahun dia meninggalkan kami, perjuangan dan kasih sayangnya tidak pernah luput. Terutamanya kasih sayangnya terhadap kami, takkan pernah aku lupa. Rasa cinta dalam kekeluargaan yang diberi setiap hari, takkan pernah aku lupuskan. Kenangan kami terlalu berharga. Walaupun hanya seketika diberi kesempatan untuk berkenalan, aku tetap bersyukur. Bersyukur kerana dapat mengenalinya dan menyayanginya.
Masih segar ingatanku saat diriku mengandungkan Khalisa. Arwah lah antara insan yang sangat mengambil berat tentangku. Beritahu saja makanan apa yang aku mengidam, pasti dicarinya sampai jumpa.
Pernah satu hari, aku mengidam mahu makan durian padahal aku sebenarnya tidak suka akan durian. Bau durian saja pun boleh buatkan aku pening. Tapi sejak mengandungkan Khalisa, buah durian saja yang meniti di bibir ini. Boleh dikatakan saat aku mengidam itu, bukanlah musim durian. Jadi, memang agak susah mahu mencari durian sekitar kawasan tempat tinggalku sekarang. Jadi, aku batalkan saja keinginanku.
Betapa arwah sayangkan aku, dia mencari durian sampai ke Batu Kurau. Katanya, ada sahabatnya di sana yang mempunyai dusun durian dan ada beberapa pokok yang berbuah. Sebak terasa saat arwah membawa seguni kecil buah durian buatku. Perjalanan dari Johor ke Perak dan Perak ke Johor memang memenatkan. Tapi tidak sekali pun dia mengeluh. Sungguh aku menangis waktu itu. Terharu sangat.
Itu baru diceritakan tentang durian, belum lagi sate arnab dan seruding tuhau. Banyak sangat pengorbanan arwah sekeluarga dalam menjagaku sejak aku menjadi sebahagian daripada mereka.
Rindunya aku pada arwah. Rindu sangat!
"Kak long, umi. Jom balik." Ajakan Lia mematikan lamunanku tadi. Dia segera bangun.
Aku dan umi turut bangun. Tikar kecil itu kulipat. Lenganku dipaut kemas oleh umi.
"Abang, saya pulang dulu ya."
'''Pintu bilik aku kuak perlahan. Setiap kali kakiku melangkah ke sini, segala rasa mula bercampur-baur. Rasa kasih, rasa sayang dan rasa rindu. Semua bersatu dalam seketul daging yang bernama hati.
Sunyi. Tiada riuh di bilik ini.
Sepi. Tiada dia di ruang ini.Aku melabuhkan punggung di atas katil. T-shirt milik si kekasih hati yang berada di sisiku, segera aku capai. Dipeluk baju itu kemas. Baju inilah yang sering menjadi temanku tidur selalu. Tambah-tambah saat dia jauh bertugas di sana.
Sepanjang aku menjadi isteri kepada seorang tentera ini, banyak perkara yang aku belajar. Terutamanya tentang harapan.
Pada awal perkahwinanku, kami mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih dalam. Yalah, seperti yang telah aku nyatakan dahulu bahawa, kami hanya berkenalan di portal cari jodoh sebelum memutuskan untuk bernikah. Jadi, masih banyak lagi perkara yang belum dia tahu tentang aku dan begitu juga sebaliknya. Baru sahaja seminggu bernikah, si dia mula berangkat ke Labuan untuk bertugas selama tiga bulan. Ya, tiga bulan!
YOU ARE READING
Tulisan Hati
Krótkie OpowiadaniaKoleksi cerita dari minda yang telah dipendekkan agar dapat bersatu dalam ruang yang sama. Sekadar mengisi masa yang terluang.