04

39 2 0
                                    

Aara Qayla kembali ke tempat kerja. Dia termenung memikirkan perbualannya dengan Huzair tadi. Keluhan dilepaskan, namun beban di bahunya tetap tidak mahu hilang.

"Aara... jauh mengelamun, ingat sape tu?" sapa Manisah setelah mendekati rakan sekerjanya itu. Dari tadi dia memerhati gelagat Aara Qayla. Aara Qayla hanya mendiamkan diri.

"Aara!" Manisah menyentuh bahu rakan sekerjanya itu.

"Ha?" Aara Qayla terkejut apabila tiba-tiba dirasakan ada tangan menyentuh bahu kanannya dari arah belakang.

"Kau okay tak?" soal Manisah.

"Okay," jawab Aara Qayla ringkas sambil memberi senyuman kelat. Dadanya berdebar. Dia cuba mengawal dirinya agar bertenang ketika berhadapan dengan Manisah.

"Ye ke? Nampak macam sesuatu je," serkap Manisah. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya itu.

"Okay je. Dah, dah. Jom buat keje." Aara Qayla cuba mematikan perbualan. Dia tidak mahu memanjangkan cerita.

***

"Baru balik?" soal Puan Jasmine. Ketika itu, Aara Qayla  baru sahaja pulang dari tempat kerja.

"Ya. Mak belum tidur lagi?" balas Aara Qayla  sambil meletakkan helmet di atas rak kasut.

"Belum. Balik ngan sape?" Puan Jasmine bertanya lagi.

"Sorang," jawab Aara Qayla. Dia menguntum senyuman, lalu melabuhkan punggung di sofa, mengadap Puan Jasmine yang turut melabuhkan punggung di sofa yang diduduki sejak tadi.

"Abang kau cakap..." Belum sempat Puan Jasmine menghabiskan kata-katanya, Aara Qayla  terus mencelah.

"Mak... Aara ni teruk sangat ke? Aara ni jahat sangat ke?" soal Aara Qayla  bertubi-tubi. Hatinya yang tenang kini berapi.

"Abang kau tu selalu pantau pasal kau. Dia sayangkan kau. Dia sentiasa ambik berat pasal kau. Kau tak nampak ke, Aara?" balas Puan Jasmine. Nadanya sedikit keras.

"Sayang? Ambik berat? Dengan menabur fitnah kat orang?" soal Aara Qayla pula.

"Fitnah apa, Aara?" soal Puan Jasmine, seakan tidak berpuas hati dengan soalan Aara Qayla.

"Cakap orang merempit ke sana, ke sini. Aara tak pernah buat camtu. Kenapa fitnah orang sampai macam tu sekali?" Tahap kesabarannya sudah sampai ke penghujung.

"Abang kau cakap benda betul. Kau tu yang suka putar belit fakta. Selalu nak naik angin tak tentu pasal."

"Orang tak gila lagi la tiba-tiba nak naik angin tak tentu pasal. Abang tu memang suka cari pasal, suka fitnah orang!"

"Aara! Jaga sikit mulut tu! Abang kau tu sayangkan kau! Jangan nak tuduh dia macam-macam, ya! Mak tak suka!"

"Mak memang tak suka kalau sesiapa cakap buruk pasal abang. Tah apa yang bagus sangat pasal abang tu. Dah la orang yang tanggung semua benda dalam rumah ni. Abang? Duduk free je. Kerja pun tak nak!" Aara Qayla melepaskan segala yang terbuku di hati.

Puan Jasmine tersentak. Dia langsung tidak percaya mendengar kata-kata anak gadisnya itu. "Aara, kalau kau tak suka tinggal sini, kau bole keluar. Mak tak halang. Buat la apa yang kau suka. Mak takkan tegur lagi," kata Puan Jasmine hampa. Dia mengangkat punggung untuk beredar.

Aara Qayla serba salah. Apakan daya dia sudah terlanjur berkata-kata. Betul kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Aara Qayla menunduk memandang lantai rumah. Dia tidak sengaja melepaskan kata-kata cercaan itu. Ketika itu, dia dalam keadaan marah.

Terlalu MemujaWhere stories live. Discover now