1

96 22 35
                                    

KETEKUNAN pelajar dalam memberikan perhatian dan menyalin apa yang ditulis di papan putih, menjadikan suasana bilik kuliah sunyi. Mengalahkan hutan tebal yang disapa unggas serangga. Wajah ditunduk dan diangkat secara berselang-seli. Mereka seakan sedang berlumba dalam menurunkan catatan formula yang diajarkan pensyarah.

Sedang pelajar lain sibuk dengan pelajaran, seseorang tidak putus memandang pintu masuk dewan kuliah. Mustahil orang yang dinantikan, sedang terkucil di luar kerana ketakutan. Takut dimarahi sebab lewat hadir ke kelas.

Mina geleng kepala. "Aku syak satu kelas kena denda lepas ni..."

Salinan nota yang tergantung tadi, disambung semula. Mina yang berwajah pasrah dipandang seorang gadis yang duduk di sebelah. Hujung pennya mengetuk meja Mina.

Tap, tap. Bunyi ketukan halus itu sedikit pun tidak mengganggu tumpuan pelajar lain.

"Kau dah kejutkan Jae ke belum? Dah telefon dia?" tanya Dahyun. Wajahnya separa cemas, separa tenang. Tenang dalam bertanyakan soalan, cemas kerana setuju dengan andaian Mina tadi.

Mina tersungging sinis. "Telinga aku ni dah kembang macam kuih keria sebab tunggu dia jawab panggilan aku. Alih-alih yang layan panggilan aku, perempuan yang sama. Orang yang anda dail sedang tidur nyenyak. Sila cuba sebentar lagi... Tsk!"

Rambut depan yang menutupi dahi dihembus kasar. Geram dengan perangai Jae. Entah siapa kapankan kawannya itu dengan selimut, sampai satu panggilan pun tidak berjawab.

Seorang lelaki bercermin mata, melonjongkan muka ketika senyap-senyap masuk ke dewan kuliah melalui pintu belakang. Langkah kakinya seperti pencuri masuk ke dalam rumah sendiri. Pelajar lain yang perasan, menghadiahkan senyuman hambar buatnya.

Mina tersentak apabila Jae sudah tercegat di meja sebelah. Jae cepat-cepat meletakkan jari pada mulut. Risau sekiranya Mina melenting mengalahkan pensyarah mereka. Mina pula terkumat-kamit, menyumpah Jae tanpa suara.

"Baru sampai, Jae?" tegur pensyarah sekaligus memecah keheningan kelas.

Badan dikeraskan sebelum sempat punggung berlabuh di atas kerusi. Jae mengeras bagaikan patung lalu tersengih seperti kuda menang perlumbaan. Yihaaa!

"Hehehe. Saya dah lama sampai. Tadi saya ke tandas..."

Pen marker diletakkan di atas meja. Pensyarah itu mula menyilangkan tangan setelah ketawa kecil.

"Tandas mana? Tandas rumah awak? Okay, kelas. Memandangkan Jae terlepas dengan topik baru yang saya ajarkan tadi, jadi kita kena bantu dia. Oleh itu, awak semua tolong buka muka surat 185. Siapkan soalan 1 sehingga 20. Hantar pada saya esok pagi. Sekiranya gagal berbuat demikian, saya akan potong markah assessment akhir semester."

Arahan tugas itu disambut dengan keluhan dan rengekan. Ada yang sudah meraup kepala, mencampakkan pen di atas meja dan bersandar deras pada kerusi. Putus sudah semangat ingin belajar yang sememangnya merundum sejak tadi.

"Bodohlah kau Jae... Aku ada latihan tennis petang sampai malam..."

"Kau jadi burung hantu ke malam tadi? Sampai susah nak bangun pagi?"

"Kau pindah kelas malam je lah, Jae... Menyusahkan betullah mamat lembut ni..."

Mina berpaling ke belakang, mencari gerangan yang mengutuk Jae. "Mulut siapa yang dah lama tak makan cili tu? Meh sini, aku sumbat cili sekali dengan belacan."

Pelajar tadi terlupa akan Mina di situ. Mina yang berperangai kasar lagak orang lelaki, dipandang dengan rasa kecut. Penumbuk sulungnya boleh buat muka orang lain berubah bentuk.

𝐂𝐎𝐋𝐃 𝐒𝐔𝐌𝐌𝐄𝐑: 𝐔𝐧𝐜𝐨𝐧𝐝𝐢𝐭𝐢𝐨𝐧𝐚𝐥 𝐋𝐨𝐯𝐞 [𝐃𝐈𝐁𝐔𝐊𝐔𝐊𝐀𝐍]Where stories live. Discover now