SEMBILAN buah buku Matematik berada dalam pelukan. Langkah kaki diatur sepanjang laluan bangunan itu. Keriuhan suara kanak-kanak di dalam kelas dan suara pendidik yang menjalankan aktiviti pembelajaran bergabung. Maka suasana bangunan tadika ini tidak pernah sunyi.
Pintu kelas diketuk dua kali sebelum ia dibuka dari dalam.
"Oh, Cikgu Yeji rupanya."
Yeji seorang cikgu yang murah dengan senyuman. Tambah-tambah dengan mata sepetnya yang semakin sepet apabila hujung bibir melengkung ke atas. Kanak-kanak di sini memanggilnya sebagai cikgu 'Omey-omey'.
"Ini dia buku yang Cikgu Mina minta. Saya lebihkan sebuah buku untuk kegunaan dan rujukan Cikgu Mina sendiri." Yeji menyerahkan buku-buku tersebut kepada Mina. Matanya beralih pula kepada kanak-kanak yang ada di dalam.
"Mana anak murid yang cikgu maksudkan semalam?" tanya Yeji.
"Itu... Nama dia Changbin." Mina menunding ke arah seorang kanak-kanak yang sedang leka bercakap dengan kanak-kanak yang lain. Pantang cikgu mereka mengalihkan tumpuan sekejap, keadaan mula menjadi riuh-rendah.
Yeji mengangguk sebelum meminta izin untuk beredar. Mina menutup pintu kayu sebelum menyambung sesi pelajaran yang tergendala tadi.
"Okey, anak-anak cikgu semua. Kita mulakan..." Mina mengerutkan dahi saat terpandang seorang budak lelaki yang menunduk di balik meja.
"Yongbok? Kamu buat apa tu?" tegur Mina dengan penuh kelembutan.
Sejurus namanya dipanggil, budak lelaki itu pantas mengangkat muka bersama matanya membulat kerana tersentak. Pipinya pula mengembung di kedua-dua belah.
Yongbok menggeleng apabila cikgu langsung tidak mengalihkan pandangan mata daripada menilik mukanya.
"Kamu makan brownies ya?" duga Mina. Kanak-kanak yang lain sudah ketawa mengekek.
Terus Yongbok menelan segala isi yang sempat dikunyah. Nampak terseksa pula cara Yongbok menurunkan makanan di celah kerongkong. Mesti banyak sangat kek yang disumbatnya tadi.
Tanpa diminta, Yongok menganga untuk menunjukkan tiada lagi sisa makanan dalam mulutnya.
"Minum air. Lap mulut sekali," pesan Mina. Dia tidak mahu membuang masa dengan lebih lama. Buku Matematik diedarkan kepada setiap orang anak muridnya.
"Okey kelas, buka muka surat satu. Hari ini cikgu nak ajar tentang operasi tambah. Semua tengok kat tangan cikgu. Ada apa?" Mina melunjurkan tangan dan menayangkan sesuatu.
Semua murid mula memanjangkan leher. Cahaya mata mereka nampak bersinar diikuti dengan perasaan teruja.
"Di tangan kanan cikgu ada tiga biji guli manakala di tangan kiri cikgu ada dua biji guli. Sekarang cikgu campurkan semua biji guli ni..." Mina satukan bilangan guli tersebut ke dalam sebuah bekas jernih yang leper.
"... Sekarang ada berapa banyak biji guli?" tanya Mina.
Satu kelas mula membisu. Jari-jemari yang kecil mula melakukan kiraan. Ada yang meletakkan jari di atas meja untuk mencongak, ada yang masih melihat biji guli dalam bekas tersebut dan ada yang menjadikan potongan brownies sebagai contoh gambaran yang lain. Selepas dikira, disumbat pula kek itu ke dalam mulut.
![](https://img.wattpad.com/cover/249534342-288-k492268.jpg)
YOU ARE READING
𝐂𝐎𝐋𝐃 𝐒𝐔𝐌𝐌𝐄𝐑: 𝐔𝐧𝐜𝐨𝐧𝐝𝐢𝐭𝐢𝐨𝐧𝐚𝐥 𝐋𝐨𝐯𝐞 [𝐃𝐈𝐁𝐔𝐊𝐔𝐊𝐀𝐍]
FanfictionTERBITAN LUCYANA PUBLCATION BLURB MINA, seorang gadis yang menuntut di sebuah universiti tempatan di samping memiliki perwatakan kasar. Pantang jika ada yang mengusik atau memperlekehkan sahabat baiknya sendiri. JAE, merupakan seorang sahabat baik k...