KETEKUNAN pelajar dalam memberikan perhatian dan menyalin apa yang ditulis di papan putih menjadikan suasana bilik kuliah senyap-sunyi, mengalahkan hutan tebal yang disapa unggas serangga. Wajah ditunduk dan diangkat secara berselang-seli. Mereka seakan sedang berlumba dalam menurunkan catatan formula yang diajarkan pensyarah.
Sedang pelajar lain sibuk dengan pelajaran, seseorang tidak putus memandang pintu masuk dewan kuliah. Mustahil orang yang dinantikan, sedang terkucil di luar kerana ketakutan.Takut dimarahi kerana lewat hadir ke kelas.
Mina geleng kepala. “Aku syak satu kelas kena denda lepas ni.”
Salinan nota yang tergantung tadi,
disambung semula. Mina yang berwajah pasrah dipandang oleh seorang gadis yang duduk di sebelah. Hujung pennya mengetuk meja Mina.
Tap.
Tap.
Bunyi ketukan halus itu sedikit pun tidak mengganggu tumpuan pelajar lain.
“Kau dah kejutkan Jae ke belum? Dah telefon dia?” tanya Dahyun. Wajahnya separa cemas, separa tenang. Tenang dalam bertanyakan soalan, cemas kerana setuju dengan andaian Mina tadi.
Mina tersungging sinis. “Telinga aku ni dah kembang macam kuih keria sebab tunggu dia jawab panggilan aku. Alih-alih yang layan panggilan aku, perempuan yang sama. Orang yang anda dail sedang tidur nyenyak. Sila cuba sebentar lagi. Tsk!”
Rambut depan yang menutupi dahi dihembus kasar. Geram dengan perangai Jae. Entah siapa membungkus kawannya itu dengan selimut, sampai satu panggilan pun tidak berjawab.
Seorang lelaki bercermin mata,
melonjongkan muka ketika senyap-senyap masuk ke dewan kuliah melalui pintu belakang. Langkah kakinya sudah seperti pencuri masuk ke dalam rumah sendiri. Pelajar lain yang perasan, menghadiahkan senyuman hambar buatnya.
https://shopee.com.my/product/90707888/5595419889?smtt=0.90709366-1642727187.9