nota rahsia untuk kamu.
cinta, akhirnya kita temu titik itu — yang aku tidak pasti adakah jeda atau noktah. benar ternyata kotak tanya yang aku pangkah. bahawa fahamku masih amat mentah. aku ingat nyata bagaimana akalku dan emosiku bertelagah. saat kau sisakan sabar waima sedang lelah. lalu akhirnya, kita pisah.
cinta, aku teruk. sendiri tak pandai urus pikuk. kau pula tak semena jadi lubuk. emosi ditumbuk. ego direnyuk. perasaan dihempuk. mengapa ya, aku sebodoh itu bertindak-tanduk? kini, aku betul terduduk.
cinta, maaf. aku telah khilaf. lisan kesat dan naik oktaf. tempias marah umpama kau tiada taraf. walhal kau bertahan rasa itu bukannya wakaf. agaknya benar aku memang punya ralat di saraf. putus ini, benar-benar buatku insaf.
cinta, masih ada dan masih sama. dan kau tetap orangnya. aku sedang belajar mengenal rasa. aku mahu celik tentangnya. maka izinkan aku selesai dahulu ya, cinta? aku akan menoktahkan versiku yang terluka. lalu aku akan usahakan titik itu menjadi koma. kemudian jeda itu akan bertaut semula. dengan izin-Nya, kita saling mencintai lagi ya? dan pulang ke rumah yang sama. sebagai pasangan halal yang menuju-Nya.
cinta, aku cinta. sesungguhnya. kerana-Nya.
fi amanillah, cinta.