~Bab 3~

15 3 0
                                    

    “Memandangkan kamu semua akan bercuti tidak lama lagi, tugasan yang saya berikan ini perlu disiapkan dalam minggu ini juga." Lantang kedengaran suara itu di dalam dewan kuliah yang tak beberapa besar ini.

  "Saya rasa tempoh itu sudah memadai untuk kamu. Lagipun tugasan ini bukannya susah sangat, dan maklumat yang kamu perlukan ada di perpustakaan. Saya harap saya tak akan menerima apa-apa rungutan mengenai tempoh masa yang saya tetapkan ini. Faham?” Suara itu menyambung.

     Dia tersenyum tatkala semua manusia di situ tidak berani membantah arahannya. Kemudian, dia melirik kepada aku yang berada di belakang kelas. Ah, Prof.Hisyam ni!

    Terus aku mengalihkan pandangan untuk tidak saling bertatapan. Bukan sebab takut jatuh cinta, tapi takut nak melawan professor macam harimau ini. Hensem, muda tapi garang!

    “Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi, kita berhenti setakat ini. Untuk makluman semua, kumpulkan tugasan kepada Liyana. Yana nanti awak hantar semua tugasan tu ke bilik saya." Semua mata memandang aku. Aduh! Nama aku juga dia petik.

    “Baik, prof.” Aku hanya mampu mengeyakan tanpa rela.

    “Bagus. Terima kasih semua.” Hisyam menjeling sekilas kepada Yana sebelum meninggalkan kelas. Gadis itu kelihatan cantik di matanya hari ini. Sejujurnya bukan hari ini saja, tetapi sejak hari pertama dia terpandangkan gadis itu lagi. Jiwa mudanya sudah terpaut.

    Aku membetulkan urat-urat tengkuk selepas sejam berada dalam kelas pedagogi ini. Walaupun sekadar mendengar syarahan, tetapi ia tetap memenatkan. Penat otak!

    Seorang demi seorang mula meninggalkan aku di dalam kelas. Sesekali ada yang tersenyum dan mengajak aku pulang bersama, tetapi aku lebih selesa untuk pulang sendiri. Bukan menyombong tapi malas nak berbual-bual kosong disepanjang perjalanan pulang nanti.

    Aku mula mengemas buku-buku yang berselerak di atas meja apabila kelas sudah kosong sepenuhnya. Lepas ini aku nak terus ke kafe, lapar pula tiba-tiba. Mungkin sebab diberikan tugasan tambahan tanpa gaji oleh prof Hisyam tadi membuatkan perut aku memprotes.

    Tanpa menunggu lebih lama, aku mematikan suis lampu dan kipas sebelum ke pintu keluar. Saat jemari aku cuba untuk menyentuh tombol pintu, tidak semena-mena haruman wangi memenuhi ruangan kelas. Pergerakkan aku terhenti.

    Kembang kempis hidung aku tatkala mengamati sebaik-baiknya haruman itu. Aku kenal bau ni. Bau yang sama seperti pagi tadi! Wangi. Sangat.

    Tiba-tiba belakang leher aku dibelai angin lembut membuatkan bulu roma aku meremang tanpa disuruh. Aku menarik nafas dalam-dalam sekali berdoa di dalam hati agar tidak ada apa-apa yang muncul dibelakang aku.

     Cukuplah sekadar bauan ini. Tanpa mempedulikan bauan itu lagi, aku cepat-cepat memulas tombol pintu.

    “Yana…” Seru satu suara gemersik dari belakang. 

   Langsung aku terpaku dan berdiri tegak seperti patung. Jantung aku bagaikan terbelenggu dengan ketakutan tetapi dalam masa yang sama jiwa aku diulit rasa sayu.

Aku berkerut. Kurang faham dengan perasaan sendiri.

    Antara berani dengan tidak, aku cuba memandang ke belakang kelas. Suram, kosong, sunyi.

   Walhal aku yakin seketika tadi suara itu memang datang dari sana. Suara gemersik seorang lelaki. Seruan yang menusuk hingga ke jiwa, malah seakan-akan rintihan kerana kerinduan. Untuk seketika, aku bingung sendirian. 

   Salah dengar kot. Aku cuba sedapkan hati sendiri.

     Cepat-cepat aku keluar dari kelas, rasanya tak sanggup untuk berada di situ walaupun satu saat lagi. Ketika aku melalui sisi kelas, jantung aku bagaikan terhenti apabila terpandangkan seorang lelaki sedang merenung aku tajam dari hujung kelas.

   Aku terbungkam kaku. Wajah lelaki itu kelam sehingga tidak menampakkan wajahnya dengan jelas. Aku ingin lari, tapi kaki aku seperti terpasung, aku nak menjerit, tapi suara aku tersekat.

    "Yana..."

     Aku tersentak dengan teguran dari belakang, terus aku berpaling. Rasa nak menangis bila suara yang menegur itu milik Sarah.

    "Sa.. Sarah..." suara aku tersekat-sekat.

     "Kau okey tak? Kenapa ni? Macam nampak hantu je?" Soal Sarah tanpa berlapik.

       "Da... dalam tu..." Aku hilang kata-kata sebaik sahaja lelaki tadi sudah hilang dari pandangan.

     Sarah meninjau-ninjau ke dalam kelas dengan muka tanpa perasaan.

      "Ada apa? Tak ada apa-apa pun?" Dahi Sarah berkerut.
   
     "Dahlah, jom kita pergi makan. Mesti kau lapar ni sebab tu melalut macam-macam." Sarah tersengih menampakkan barisan giginya yang cantik tersusun. Aku cuba tersenyum tanda menghargai lawak Sarah. Aku lekas berlari merapati Sarah yang sudah melangkah ke depan meninggalkan aku. Kurang asam kawan tinggal aku seseorang!

      Sampai sahaja di hadapan kafe, kami perlu menyeberangi jalan yang cukup-cukup untuk sebuah kereta lalu. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan, aku terus melintas dengan terburu-buru. Saat itu, sebuah motosikal sedang bergerak laju ke arah aku dan penunggang motor itu pula sedang leka mencari temannya di belakang. 

     Apabila aku menyedari bahawa aku bakal dilanggar motosikal itu, aku menjadi kaku dan mata aku membuntang.

     Aku menjadi kaget tak semena apabila ditubir mataku, menjelma seorang lelaki yang dipenuhi darah di atas jalan. Kelihatan seperti dilanggar sesuatu. Darah merah mengalir menghampiri kaki aku dan aku tidak dapat bergerak. Mata aku terus membulat apabila lelaki itu cuba bergerak.

    Seketika kemudian, aku seperti melayang ke belakang dengan laju dan berhenti tiba-tiba. Dalam keadaan mata yang terpejam, aku cuba mengawal dada yang berombak kencang sehingga degupan jantung sendiri dapat aku dengarkan. Terasa seperti dunia ini berhenti berputar. Aku dah mati ke?

     Beberapa saat berkeadaan begitu, baru aku sedari bahawa sebenarnya aku berada dalam kehangatan pelukkan seseorang. Kehangatan tubuh itu seperti penawar bayangan yang menakutkan tadi. Degupan jantung yang memeluk aku juga seperti lantunan melodi yang mengasyikkan walaupun kedengaran agak kencang.

     Perlahan-lahan aku membuka mata dan cuba melihat gerangan yang merangkul aku itu. Pandangan kami bertaut kemas. Eh…?!

............................................................................

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 02, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Fantasi MimpiWhere stories live. Discover now