SENJA

18 1 0
                                    




            Berjuta manusia di muka bumi ini, tiada yang dapat memahami seseorang dengan sepenuhnya. Seribu kata-kata yang terlontar, belum pasti yang sepatah itu difahami. Hanya mengenali nama, belum tentu mereka berada dalam dunia yang sama. Perkara itu sering bermain-main di minda Efendi. Baginya, jika manusia memahami sesama mereka, tidak wujudnya kebencian, pergaduhan, peperangan dan yang tinggal hanya kebahagiaan abadi. Manusia tidak akan pernah sampai di tahap itu kerana manusia sentiasa berdusta. Dusta itu ialah kegemaran mereka seperti habuan tetap untuk mereka terus hidup. Bukan alasannya untuk menjaga perasaan seseorang. Hanya orang-orang yang biasa bergelumang dengan kegelapan sahaja yang akan berfikir begitu. Tidakkah itu membuatkan manusia adalah makhluk yang sentiasa dalam kegelapan?

            "Selama ni pernah awak fikir perasaan saya, susah saya? Apa gunanya kita bersama kalau awak selalu fikir tentang hidup awak je?!"

            Efendi mengetuk-ngetuk belakang pensilnya pada meja dengan detik yang senada. Idea yang hampir setengah jam difikiran, lesap dari kotak fikirannya apabila mendengar suara lantang seorang lelaki dalam pertengahan umur yang duduk tidak jauh darinya. Dia menoleh kiri dan kanan, melihat beberapa pelanggan di kafe itu ada yang cuba beredar dari situ dan ada yang meneruskan semula kerja yang terhenti. Setelah tumpuannya dicuri, sekejap-sekejap dia mengerling ke arah pasangan itu. Lelaki itu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu berisi, hanya sedang-sedang. Dia berkemeja-T yang mempunyai lambang sebuah syarikat yang tampak biasa di mata Efendi, dan berseluar hitam lusuh. Efendi tidak dapat melihat wajah pasangannya kerana wanita itu membelakanginya. Wanita itu hanya mengenakan dress paras lutut tanpa lengan bewarna merah terang pada tubuh rampingnya dan dipadankan dengan kasut hitam bertumit tinggi. Rambut hitamnya dilepaskan kemas separas bahu. Melihat dari gaya dan gerak-geri wanita itu, dia mungkin wanita berkerjaya professional.

            Efendi tidak dapat meneka apa yang membuatkan lelaki itu mula baran sehingga menghentak-hentak meja. Beberapa minit berlalu pertengkaran itu tiada tanda-tanda untuk surut. Namun, bertentangan dengan personaliti si suami, pasangannya kelihatan lebih tenang dan terkawal. Wanita itu masih diposisi yang sama sambil jari telunjuknya digerakkan seperti mengikut detakkan saat. Efendi kemudian menutup buku notanya dan menyimpan semula perkakas lukisannya ke dalam beg galas bewarna biru laut. Sempat juga dia menghirup sisa jus yang tinggal sebelum bingkas bangun untuk beredar. Tiada gunanya jika dia berlama-lama di situ untuk mendengar pertengkaran suami isteri itu, fikirnya.

            Keluar sahaja dari kafe yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, telinganya terus menangkap hingar-bingar di luar. Dia mendongak ke atas. Langit cerah perlahan-lahan bertukar malap dan digantikan dengan kepulan kelabu terawang-awangan ke satu arah. Dia melangkah menyusuri kaki lima yang sentiasa dipenuhi manusia. Anehnya, segerombolan manusia yang melepasi pandangannya tidak dapat mengalihkan fikirannya tentang situasi di kafe tadi. Dia berasa ada sesuatu dalam dirinya yang meminta-minta untuk menghentikan pasangan itu. Perkara seperti ini sering berlaku kepadanya tetapi kebelakangan ini suara dalam mindanya semakin kuat merasak diri.

            Dalam pada fikirannya terawang-awangan, pandanganya terhenti pada seorang lelaki yang agak berusia. Dari rupanya yang bermata monolid dan berkulit sawo matang, Efendi tidak dapat meneka sama ada lelaki itu berbangsa cina atau melayu. Pakaiannya kemas walau terlihat lusuh. Lelaki itu duduk bersila hanya beralaskan kepingan surat khabar di kaki lima sambil memainkan muzik dengan harmonika. Di hadapan lelaki itu terdapat sebuah kotak kecil yang mempunyai beberapa keping not ringgit berwarna biru. Di sebelah kotak itu pula ada seekor kucing berbulu kelabu putih. Kucing itu hanya duduk diam sahaja dengan satu kakinya diletakkan ke dalam kotak itu seperti penjaga wang lelaki tua itu. Efendi tersenyum kecil. Mata Efendi tidak dapat dialihkan dari melihat lelaki tua itu. Mungkin kerana melodi yang dimainkannya. Walau dalam hingar-bingar bandar Kuala Lumpur itu dia masih dapat mendengar dengan jelas alunan Gymnopedie dimainkan dengan baik. Jika ditanyakan tentang muzik, karya Erik Satie bukanlah kegemaran Efendi. Namun, tidak dapat dinafikan muziknya sangat bagus. Kadang dia rasa setiap muzik mempunyai naratif yang menceritakan tentang kehidupan. Ceritanya berbeza-beza mengikut apa yang berada dalam fikiran pendengarnya. Jika pada Efendi, dia sedang memainkan satu situasi dalam hidupnya ketika dia berada di tahun akhir ijazahnya dahulu. Satu memori yang sentiasa melekat pada ingatannya. Ia bukanlah memori yang indah tetapi sangat nostalgik baginya.

SENJAWhere stories live. Discover now