3. Sang Saka Biru

9 1 4
                                    

Tengahari yang redup itu ternyata disusuli tiupan angin yang nyaman. Cahaya matahari yang kurang terik itu bagaikan memudahkan kerja-kerja pasukan polis daripada unit forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah Berat bahagian D9 Bukit Aman. Garisan kuning milik pihak polis yang merentangi sebahagian daripada kawasan kejadian itu menandakan tiada orang awam termasuk pihak wartawan boleh merentasinya.

Orang awam, pengamal media hanya mampu berdiri di luar garisan kuning sambil tertinjau-tinjau. Beberapa buah kenderaan polis seperti SUV, cruiser, van dan jip diparkir sekitar tempat kejadian.

ASP Aidil Zulkarnain, seorang pegawai kanan polis dan juga pegawai penyiasat dari unit D9 Bukit Aman membolosi perut cruiser Honda Civic ketam yang merupakan aset PDRM itu diikuti Inspektor Parmasivan. Kedua-dua pegawai polis ini mengenakan uniform Sang Saka Biru yang berwarna blue black. Peak cap diletakkan bawah ketiak manakala bagi Inspektor Parmasivan pula, peak cap diletakkan ke atas kepalanya.

Saat kedua-dua pegawai kanan polis ini menghampiri garisan kuning, semua anggota bawahan memberi tabik hormat. Garisan kuning diangkat oleh seorang anggota yang berpangkat Lans Koperal. ASP Aidil Zulkarnain dan Inspektor Parmasivan tunduk untuk memasuki tempat kejadian.

"Tuan," tegur Inspektor Hanif sambil memberi tabik hormat. Inspektor Hanif merupakan seorang anggota dari Unit Forensik yang sudah 15 tahun dalam bidang ini. Dia mengetuai Unit Forensik di tempat kejadian ini.

"Details?" Pinta ASP Aidil Zulkarnain sambil mengenakan sarung tangan getah.

Seorang jurugambar forensik yang mengenakan vest PDRM yang berwarna hijau neon kelihatan sedang mengambil gambar sekujur tubuh yang terlentang kaku di dalam beg mayat warna hitam dengan kamera Nikon DSLR yang berkualiti tinggi. Kedua-dua tangannya juga tersarung sarung tangan getah. Dia berhenti mengambil gambar dan memberi tabik hormat saat dihampiri tiga pegawai atasan. Tidak lama kemudian dia beredar untuk mengambil gambar di tempat lain pula.

ASP Aidil Zulkarnain bertinggung di hadapan sekujur tubuh kaku yang telah dibungkus di dalam beg mayat yang berwarna hitam. Inspektor Hanif menarik zip beg mayat lalu mendedahkan wajah si mati. Seorang lelaki Thai.

Wajahnya keruh dan berlumuran darah. Kulitnya sawo matang. Telinganya bersubang. Hidung, telinga dan mulutnya dilumuri darah kering. Malah di bawah tubuhnya yang bersalut beg mayat itu juga ada darah kering yang amat banyak.

"Berdasarkan pasport, nama dia Sutep Aromdee. Dari Nakhon Si Thammarat, Thailand." Beritahu Inspektor Hanif sambil menghulurkan pasport mendiang.

"Sutep Aromdee... hmm. Punca kematian?" Soal ASP Aidil Zulkarnain.

"Kena langgar." Pendek jawapan Inspektor Hanif.

ASP Aidil Zulkarnain menoleh memandang Inspektor Hanif. Keningnya berkerut. Dia meminta penjelasan lebih lanjut menerusi air mukanya.

"Dia kena langgar. Sengaja dilanggar. Pada masa yang sama, dia cuba membunuh." Ujar Inspektor Hanif sambil menunjukkan sepucuk pistol Walther P99 dalam plastik lutsinar.

"Visor helmet crack. Muka dia tersembam atas jalan." Terang Inspektor Hanif sambil menunjukkan helmet Arai yang calar dan visor yang retak.

ASP Aidil Zulkarnain dan Inspektor Parmasivan membuntuti Inspektor Hanif.

"Dia sempat lepaskan dua das tembakan." Ujar Inspektor Hanif sambil menunjukkan dua butir kelongsong peluru di atas jalan, sejauh beberapa meter daripada si mati. Di sebelah kelongsong-kelongsong peluru tu diletakkan nombor untuk mengklasifikan bahan bukti.

Inspektor Hanif mengatur langkah sambil disusuli dua pegawai di belakangnya. Mereka mendekati nombor seterusnya.

"Cermin kereta pecah berderai bila tembakan dia kena kereta pembunuh dia. Basically dia pembunuh yang dibunuh." Terang Inspektor Hanif.

Persona Non GrataWhere stories live. Discover now