14🌸

90 13 8
                                    

"DAH siap ke, Bella?"

Suara Mak Mah mula menyapa cuping telinga Nabila yang tekun membuat kerja memasak. Dari mula sehingga dia hampir selesai memasak, satu kerja apa pun Mak Mah tak sempat nak membuat apa-apa.

"Eh, Mak Mah. Sekejap ya. Dah nak siap ni. Kenapa? Dia orang tunggu lama ke, Mak Mah?" Cemas dia bertanya.

"Eh... Tak lah. Dia orang tak kata apa pun. Cuma Mak Mah ni bosan tak dapat buat kerja. Asyik Bella je yang buat. Yang dibayar gajinya, Mak Mah. Bukan Bella," ujar Mak Mah.

"Alah... Tak apalah. Sikit je ni. Bella dah biasa dengan semua ni. Mak Mah pergilah borak dengan dia orang. Nanti Bella panggil kalau dah siap," beritahu Nabila. Senyuman tidak pernah lekang dari wajahnya.

"Tadi kan Bella suruh Mak Mah borak dengan dia orang... Ni Mak Mah balik dapur semula nak tolong apa yang patut, Bella suruh Mak Mah pergi borak lagi. Apalah, Bella ni. Sepatutnya Mak Mah yang memasak, tapi lain pula yang jadi bila Bella datang rumah ni."

Nabila tergelak kecil. Memang betul apa yanh dikatakan Mak Mah. Dia langsung tidak memberi Mak Mah membuat kerja sedari tadi walhal dia merupakan seorang tetamu.

"Boleh pula Bella gelak. Mak Mah ni penat tau tengok Bella memasak dari tadi."

Dia pun tidak tahu apa yang dia perlu buat lagi. Minuman sudah dibuat oleh Nabila. Kepalanya digeleng perlahan. Boleh pula tetamu yang menghidangkan semua pada tuan rumah?

"Dah siap, Mak Mah. Mak Mah bolehlah panggil dia orang," beritahu Nabila.

Senduk ditangannya menyenduk masakannya ke dalam mangkuk yang sudah tersedia elok di sebelah. Hatinya penuh berharap agar Muaz dan Puan Sri Hajar menyukai masakannya.

"Muaz kata Puan Sri nak makan depan kolam je, Bella. Dia pun katanya nak teman Puan Sri makan dekat situ," ujar Mak Mah.

"Ooo... Kalau macam tu, saya makan dekat sana jugalah."

Mak Mah mengangguk. Dia tahu bahawa Nabila mahu mengambil hati orang tua itu. Dia berharap sangat keluarga kaya ini menerima Nabila. Baik sungguh hati gadis ini.

"Mak Mah dah cedokkan nasi?"

"Dah. Jom makan."

Nabila mengikut langkah Mak Mah yang menuju ke meja makan. Perlahan-lahan dulang yang berisi lauk-pauk diletakkan di atas meja.

Kelihatan dua susuk tubuh di luar dipandang. Hatinya terusik dengan sikap Muaz yang menyayangi neneknya walaupun neneknya sedikit cacat. Jika neneknya dilayan sebegitu, apatah isterinya. Dia tersipu malu.

"Muaz, Tok Ma..."

Muaz dan Puan Sri Hajar menoleh. Wajah manis itu mula menghampiri mereka dengan mengangkat dulang.

"Let me help you." Muaz mahu mengambil dulang itu, tetapi Nabila pantas menggeleng.

"Eh. Tak apa."

Nabila perasan akan lirikan mata lelaki itu yang tidak berkedip langsung memandang ke arahnya. Jantungnya sudah berdetak laju.

Kerusi yang ada di situ ditarik mendekati wanita tua itu lalu dia melabuhkan punggungnya. Muka berkedut wanita di depannya dipandang dengan wajah yang manis.

"Saya suapkan nenek, ya." Setelah dulang diletak elok di atas meja kecil berdekatan mereka, pinggan yang sudah siap dengan nasi dan lauk-pauk diambil berhati-hati.

"Eh. Bella, tak apalah. Saya boleh suapkan nenek."

Puan Sri Hajar memandang cucunya. Kepalanya digeleng, menyuruh cucunya memberi dia peluang untuk berbicara dan mengetahui isi hati gadis itu.

Hati-Hati, Sayang Where stories live. Discover now