Sebulan sudah Farady dihujani dengan perhatian dari Haura. Rasa seperti baru semalam mereka baru sahaja berkenalan. Pada malam itu, ada berita gembira yang ingin dikhabarkan kepada Haura.
Farady sampai sahaja, dia lihat Haura sedang asyik duduk bermain permainan video di telefon bimbitnya. Langkah Farady menyedarkan Haura. Mata Haura memandang ke arah Farady menyambutnya dengan senyuman.
Farady menapak duduk di sebelah sahabat baiknya itu. " Hurm Ara, aku ada sesuatu nak cerita ni?"
Mata Haura masih fokus pada skrin telefon bimbit. "Cerita apa? Cerita je, aku dengar."
"Aku ada lukis kartun cerita kat laman sosial, cerita tu dah habis aku lukis. Ramai yang suka." Cerita Farady dengan rasa teruja. Dia rasa sangat gembira yang karya lukisannya diterima warga internet. Dia ingin meluahkan rasa gembira itu kepada sahabat baiknya, Haura.
Haura memandang ke arah Farady seperti terpana. "Wow, betul ke ni? Hebat lah kau! Meh aku nak baca, apa nama laman sosial kau?"
Haura mula membuka perisian laman web di telefon bimbitnya.
Farady rasa gembira dengan reaksi Haura.
Dia tahu Haura tidak akan mengecewakannya. "Namanya Haudy."
Haura pantas memandang Farady dengan pandangan yang aneh. "Haudy, peliknya. Mana kau dapat nama tu?"
"Nama tu gabungan nama kau dengan aku, Haura campur Farady jadi Haudy." Terang Farady dengan senyuman.
Pipi Haura mula kemerahan seperti sedang malu lalu dia menepuk bahu Farady. "Wah sweetlah kau ni Farady. Kau yang lukis cerita ni, asal ada nama aku sekali!"
"Hurm sebab cerita yang aku lukis banyak datang dari idea perbualan kita setiap malam, jadi aku rasa kena ada nama kau jugak, kau pun penyumbang utama untuk jalan cerita." Jelas Farady dengan penerangan. Dia tidak mahu Haura fikir yang bukan-bukan.
"Wow lepasni boleh lah aku bagi idea." Ujar Haura mula membelek-belek lukisan Farady. Dia mula khusyuk, mata Farady tidak berhenti melihat Haura yang sedang fokus , dia tidak sabar ingin mengetahui komen Haura.
Setelah hampir setengah jam, Haura tidak lagi menunduk memandang ke arah skrin telefon bimbit, dia lihat Farady yang sedang melihatnya. "Wow best lah cerita ni, kenapa tak dari dulu je kau lukis macam ni?"
"Hurm dulu aku tiada kau."
Haura tersenyum malu dan terharu lantas membalas. "Kau boleh jadi pelukis komik."
Farady rasa malu dengan pujian itu. Dia rasa Haura hanya ingin menjaga hatinya. Tiada keyakinan yang wujud di dalam dirinya. "Haish takdelah sampai boleh jadi pelukis komik, aku lukis saje-saje je."
"Eh aku cakap betul ni, ramai yang suka ni. Cuba kau hantar kat mana-mana penerbit, mesti diorang nak terbit cerita kau ni." Cadang Haura dengan riak wajah teruja.
Farady hanya membalas kata-kata itu dengan senyuman.
Dia masih tidak mempunyai keyakinan untuk menjadikan hobi itu sebagai kerjaya. Tidak terlintas di hatinya untuk melangkah lebih jauh di dalam dunia komik.
"Edy."
"Ye."
"Esok aku cuti, kau free tak? Kita tak pernah jumpa waktu siang. Aku ingat nak tengok wayang. Ada cerita baru tu best." Ajak Haura.
YOU ARE READING
Introvert.
RomanceApabila si introvert ingin mencari cinta.. Adaptasi dari kisah benar.