KAWASAN gunung yang bersalji di bahagian utara membuatkan para penduduk seluruh perkampungan besar dan kecil mula bertungkus-lumus mengutip kayu api. Bagi menjadikan pemanas di musim sejuk yang semakin kuat mencengkam urat saraf.
Dalam ramai-ramai penduduk yang sedang melakukan aktiviti harian. Terdapat sekumpulan manusia sedang membawa seorang lelaki di dalam pengusung barang. Kelihatan tangan dan kaki lelaki itu diikat dengan seutas tali, manakala mulutnya pula disumbatkan dengan sebuah kain.
Mata yang terpejam rapat pada awalnya, kini tercelik dengan luas. Nafas kedengaran mencungap kuat seolah-olah baru kembali hidup daripada selepas mati.
Pandangan terkejut mula menghiasi wajah. Dia cuba memandang ke kiri dan kanan. Mencari tahu di mana dia sedang berada dan apakah yang sedang berlaku terhadap dirinya. Kini, mata berwarna emerald hazel itu memandang pula tubuh badan sendiri dan tanpa dipinta matanya terbuntang luas lalu perasaan gelisah menyelubungi diri.
'Aku kat mana ni?' Bisik hati lelakinya. Dalam waktu yang sama peluh di dahi mula merembes keluar menandakan hormon adrenalin sedang rancak bergelora di dalam badan.
Di manakah dia berada? Dia sendiri tidak pasti. Jari-jemarinya cuba untuk menarik keluar kain yang menyumbat mulut. Setelah ditarik mahu saja dia mencampak jauh, namun tidak sempat dia meneruskan niat. Pengusung barang yang membawa dirinya tiba-tiba saja berhenti bergerak.
"Kita berehat di sini seketika. Selepas itu, baru kita bergerak untuk menghantar barangan ini ke Istana Jopyeo."
Lelaki yang berada di dalam pengusung barang itu mula mengerutkan dahi tanda tidak percaya dengan apa yang dia dengarkan sebentar tadi.
"Istana Jopyeo?" soalnya sendirian sambil mencari sesuatu di dalam kotak fikiran. Dia tidak pernah dengar nama istana itu sepanjang dia membesar di Korea Selatan. Mahu dianggap sebagai istana bersejarah pun, itu bukan nama yang ada di dalam buku pendidikan sejarah! Ah, sudah!
"Kau rasa... mengapa agaknya barang ini hendak dihantar ke Istana Jopyeo?" Satu suara lain pula kedengaran menyapa halwa telinga.
Lelaki itu mula melekapkan telinga ke bahagian dinding pengusung barang lalu menangkap setiap butiran kata yang mereka bicarakan.
"Entah, barang dalam pengusung itu adalah tahanan pihak Istana Jopyeo. Sudahlah! Jangan banyak bertanya. Cepat kita langsaikan kerja, lagi cepat kita mendapat bayaran yang dijanjikan."
Lelaki di dalam pengusung semakin hairan mendengar perbualan mereka. Dia tidak betah bertahan lagi, lantas dia mahu membuka ikatan di tangan dengan menggunakan tenaga yang tersisa. Sekali cubaan saja ikatan itu tidak berjaya dibuka. Untung saja, badannya yang sedikit tegap mampu meleraikan ikatan tali itu dalam sekelip mata untuk cubaan kali kedua.
"Tali apa, ni?" Dia terkejut apabila tali itu seperti makhluk hidup. Usai dileraikan dia kembali semula mengikat tangan si lelaki membuatkan lelaki itu mula tidak keruan dibuatnya!
"Aku ada dengar macam suara orang sedang bercakap..." Telinganya menangkap tapak kaki sekumpulan manusia itu mendekati belakang pengusung.
"Dia sudah sedar agaknya?" Rakan manusia itu berbicara.
"Mustahil! Sihir yang digunakan itu agak kuat. Mana mungkin dia boleh sedar secepat ini."
"Kalau begitu, bukalah. Kita periksa dahulu sebelum meneruskan perjalanan."
Dengan berhati-hati mereka membuka penutup pengusung barang dan saat itu juga lelaki itu melayangkan kakinya menendang dagu manusia yang berada di hadapan mata. Tubuhnya laju bangkit daripada pembaringan dan segera melompat turun dari pengusung barang.
"Yah! Jangan lari! Semua! Tawanan sudah sedar!" jerit lelaki yang terkena tendangan tadi.
Tanpa berlengahkan masa, dia terus melarikan diri masuk ke kawasan pekan yang dipenuhi dengan manusia.
Pemakaian penduduk kawasan setempat amat menyukarkan dia untuk menyembunyikan diri di pertengahan orang ramai kerana pakaiannya jauh berbeza dengan mereka semua. Sungguh mudah dirinya ditangkap begitu saja!
Akhirnya, dia melarikan diri menuju ke sebuah gerai minuman yang terdapat seorang gadis sedang melayani penduduk pekan itu.
"Ya? Mahu minum apa..." sahut gadis itu penuh lembut kepadanya. Pandangan mereka bertemu dan lelaki itu terpaksa menarik si gadis masuk ke dalam gerai lantas mereka sama-sama bersembunyi.
"Siapakah awak?" Gadis itu semakin teruja mahu mengetahui gerangan si lelaki yang sungguh jauh berbeza dengan penduduk pekan itu.
"Shuuu..." Lelaki itu meletakkan jari telunjuk ke mulut, manakala tangan kiri memegang bahu si gadis dengan kuat. Memberi isyarat agar gadis itu tidak bersuara.
"Adakah kau nampak lelaki berpakaian aneh di sekitar sini?" soal manusia yang mengejar kelibat lelaki itu kepada setiap pelanggan di gerai minuman tempat persembunyiannya.
"Tidak pula aku perasan."
Setelah kelibat manusiawi itu beredar pergi. Dia melepaskan keluhan berat sambil memejamkan mata.
"Siapakah gerangan mereka itu?" tanya si gadis dengan wajah polos terpamer.
Dia hanya mengangkat bahu lantas menoleh ke arah lain untuk mencari-cari jalan keluar dari gerai minuman gadis itu.
Setelah dia memastikan tiada lagi kelibat manusia-manusia yang mengejarnya tadi. Segera dia mahu melangkah keluar dari tempat itu.
"Hei..." Baju t-shirt hitamnya ditarik gadis itu sehingga menyukarkan pergerakan. Dia berpaling dan melihat gadis itu tersenyum manis.
"Jangan keluar lagi. Mereka pasti akan senang menemui keberadaan awak ini. Jadi awak tunggu sebentar di sini. Biar saya ambilkan sesuatu."
Dia terdiam sejenak. Cuba mencari kata putus. Akhirnya dia mengangguk lantas gadis itu bangun dan menolaknya masuk semula ke dalam tempat persembunyian.
"Awak duduk di sini dahulu. Nanti saya akan kembali. Jangan pergi ke mana-mana, ya."
Dia hanya berdiam diri. Bahasa gadis itu sungguh tinggi. Sukar untuk dia berkomunikasi walaupun dia faham apa yang diperkatakan gadis itu. Namun untuk bertutur dan membalasnya teramatlah sukar! Terasa seolah-olah lidahnya kelu tidak mampu mengungkapkan satu patah perkataan pun.
Setelah kelibat gadis itu hilang daripada pandangan. Dia cuba duduk bertelaku lalu memejam mata. Kebingungan semakin mengasak fikiran. Hanya satu persoalan saja yang sedang bermain di mindanya.
"Tempat apa, ni?" Entah ke berapa puluh kali dia bertanya akan soalan yang sama, tetapi tiada siapa yang mampu menjawab untuknya! Bahkan soalan itu asyik berputar di benak fikiran dan hati memaksa dia untuk mencari jawapan. Dia pasti! Itu bukan dunia manusia yang dia diami!
Dalam dia cuba mententeramkan hati tiba-tiba saja bahunya dipegang seseorang membuatkan dia terkejut. Pandangannya mendongak untuk memandang si gerangan yang menyentuh bahu itu.
.......
BERSAMBUNG
.......
Author Note : Bab seterusnya akan diupdate, tetapi ikut mood penulis. Enjoy guys.
YOU ARE READING
Scarlet Rose - Siri Kedua Fantasi | Terbit
FantasyNOVEL KETIGA 2022 Sekembalinya mereka ke dunia kelas kedua. Sekolah yang menantikan kepulangan mereka mula berubah secara drastik. Ternyata percutian selama dua minggu yang diberikan kepada mereka memakan masa yang agak lama di dunia itu. "Betul ke...