SR | SATU

44 4 23
                                    

PERINGATAN :

Cerita ini adalah sambungan kepada Paper Heart. Untuk memahami jalan cerita Scarlet Rose ini, wajib baca atau dapatkan novel Paper Heart terlebih dahulu ✨.

......

"MACAM mana boleh ada sekolah pula dekat dalam hutan tebal ni? Sebelum ni saya dah pernah datang, tapi kenapa tak jumpa apa-apa pun."

Seorang lelaki berpangkat Inspektor Polis dalam Jabatan Siasatan Jenayah daerah Seodaemun District, Seoul, Korea Selatan terus-terusan menyoal dua orang gadis yang sedang berjalan sambil menolak dedaun yang menghalang laluan mereka di hadapan. Dahan-dahan pokok yang merambai di sepanjang jalan membuatkan pergerakan mereka agak sukar dan terpaksa menolak kesemua dahan itu untuk melihat jalan dengan lebih jelas.

"Sebab sekolah ni ada dekat alam lain, inspektor." Salah seorang daripada gadis itu bersuara lalu memandang ke belakang. Senyuman manisnya terukir. Dia adalah Lee Xia Min, kakak kembar kepada Lee Jia Rin yang sedang berjalan di sisi.

"Alam lain? Kita ada kat alam lain ke?"

Inspektor Park Chanyeol semakin gementar dengan jawapan yang diperolehi. Masakan tidak, belum pernah lagi dia tersesat masuk ke alam lain. Apa yang paling menarik lagi walaupun baru pertama kali dia melangkah ke alam asing itu, dia tidak sesat seperti kebiasaan yang berlaku kepada manusia lain! Seolah-olah langkahnya sejak awal lagi sudah dipandu.

"Ya, inspektor! Kami berdua sebenarnya tak hilang pun. Kami belajar dekat sekolah yang inspektor nampak tadi. Tu la sekolah kami, nanti lepas dua minggu kami habis bercuti. Inspektor kena hantar kami balik ke sana." Jia menjawab tanpa menoleh. Pandangannya fokus dengan laluan yang mereka lalui.

"Kenapa saya pula yang kena hantar?"

Jia berhenti melangkah. Nafas panjang ditarik sedalam yang mungkin lalu dihembus dengan kuat. Cuba mengawal rasa marah yang tiba-tiba bertandang tanpa dipinta. Hati mula merungut sendiri. Takkan sudah tua pun tak reti nak fikir logik lagi? Dia yang menjemput mereka untuk pulang, haruslah dia juga yang menghantar mereka ke sana semula! Jia mengenggam beg pakaian yang berada di tangan. Tidak mahu melempiaskan amarah kepada inspektor itu.

"Sebab inspektor pembuka jalan untuk kami keluar masuk kawasan ni." Tegas nada Jia mengutarakan ayat penyata itu. Dengan harapan Chanyeol tidak bertanya banyak lagi. Silap hari bulan melayang juga kaki panjang Jia ke muka polis itu.

Usai itu, Jia menyambung semula perjalanan mereka sehinggalah ekoran mata menangkap beberapa kelibat rakan-rakan sejawat Chanyeol di hadapan.

"Ha! Tu mereka! Akhirnya, kita dah keluar dari dunia kelas kedua." Min begitu teruja di saat mereka sudah pun keluar dari alam asing itu. Dalam hati sudah melonjak gembira bukan main kepalang. Sungguh dia tidak sabar mahu bertemu dengan keluarga tercinta!

"Kejap! Kenapa kamu kata saya pembuka jalan alam ni pula?"

Chanyeol masih tidak berpuas hati. Terlalu banyak persoalan bermain di mindanya ketika ini dan setiap jawapan mahu diperolehi dengan segera. Sudah sebati tugasnya sebagai seorang inspektor. Suka memaksa penjenayah menjawab semua soalan yang diberi sehingga terbawa-bawa sikap itu kepada Min dan Jia sekali.

Kedua-dua pasangan kembar itu menoleh dengan pandangan berlainan. Min hanya menunjukkan wajah simpati kerana dia tidak tahu jawapan yang diperlukan Chanyeol, manakala adiknya pula menunjukkan wajah rimas. Mahu saja dia menumbuk wajah kacak pegawai polis itu agar mulutnya senyap seketika daripada bertanyakan lebih banyak soalan kepada mereka berdua.

"Kami pun tak tahulah inspektor!" Jelas nada Jia kedengaran rimas. Matanya menjuling ke atas mahu melepaskan dengusan geram. Makin lama dia melihat wajah Chanyeol. Makin sakit hati pula dibuatnya!

"Tuan!" Anak-anak buah Chanyeol datang mendekati mereka bertiga.

"Tuan tak apa-apa ke? Puas kami cari merata hutan, ingatkan tuan dah sesat."

Chanyeol tersengih lalu mengosok belakang leher. Segan pula dia mahu mengaku yang dia hampir-hampir juga tersesat. Mujur kembar itu cepat muncul dan menyapanya kalau tidak, tak jumpa jalan balik dah agaknya.

Mata Jia sudah memandang ke arah Chanyeol seperti hendak menelan batang tubuh lelaki itu hidup-hidup. Sebelum mereka berjalan di dalam hutan, Jia sudah pun memberi amaran kepadanya agar tidak membuka sebarang bicara tentang apa yang sudah berlaku.

"Eh! Tuan dah jumpa mereka berdua?" Salah seorang petugas itu menyoal terkejut memandang Min dan Jia yang sedari tadi memberikan reaksi berlainan.

"Hai..." Min tersenyum kekok lalu melambaikan tangan. Cermin mata yang pecah sebelah kanan cuba dibetulkan. Semua itu angkara Jia. Kononnya untuk mengelakkan mereka disoal banyak apabila sampai di luar hutan itu nanti. Awal-awal lagi Chanyeol sudah beritahu kepada mereka yang beberapa petugas polis lain juga sedang mencari mereka berdua.

"Ya, saya jumpa mereka. Syukur juga saya tersesat kalau tak, mungkin tak jumpa mereka ni." Chanyeol cuba menutup rasa gugup yang hadir. Dia memandang lantai hutan. Jika ikutkan hati mahu saja dia memberitahu pengalaman aneh sewaktu tersesat itu, tetapi sebaik saja matanya bertemu dengan anak mata Jia. Tertelan liur dibuatnya! Gadis itu punya pandangan lain daripada yang lain. Membawa maksud, 'kau berani buka cerita... kau mati aku kerjakan!'

Huh! Seram! Dia tidak mahu ditelan hidup-hidup oleh gadis itu. Sudahlah dia asyik meremang bulu roma saja daripada tadi, bahkan ada pula suara-suara halus asyik terngiang-ngiang di telinganya. Bagaimanalah kembar itu boleh tinggal di dalam hutan yang penuh dengan makhluk tidak dapat dilihat manusia biasa itu? Jika dia di tempat mereka, mahu pengsan setahun! Walaupun dia anggota polis, bab main dengan perkara mistik dia minta sangat jauhkan daripada dia. Tidak sanggup bersengkang mata diganggu makhluk sebegitu!

"Baguslah! Kami dah jumpa kamu berdua. Tak perlulah ibu dan ayah kamu risau lagi. Harap lepas ni, kamu berdua jangan merayap-rayap lagi. Bahaya!"

Min hanya mengangguk. Jia pula menayang wajah bosan. Dia tidak percaya apa yang diperkatakan oleh anggota-anggota polis itu. Dia tersangatlah yakin yang kedua ibu bapanya hanya berpura-pura risaukan tentang kehilangan mereka! Entah mengapa jauh di sudut hati, dia menyampah dengan semua perkara berkaitan dengan dunia kelas pertama itu..

Jika bukan kerana kakaknya mahu pulang ke dunia itu. Sudah pasti mereka lebih gembira dan tak perlu menayang wajah hipokritnya kepada seluruh alam manusia biasa. Satu sifat Jia yang sukar dibendung. Dia susah mahu menyembunyikan perasaan sendiri. Apa yang dia rasakan dalam setiap kejadian yang berlaku pasti wajahnya akan mengambarkan perasaan di hati ketika itu.

"Takpelah, jom kita keluar dari hutan. Hari dah nak masuk senja ni." Akhirnya, mereka diiringi pegawai-pegawai polis itu keluar dari hutan.

Chanyeol hanya membiarkan saja kedua-dua gadis itu diiringi skuad pencariannya. Sebaik saja dia mahu membuka langkah serasa belakang leher ditiup angin sejuk. Bisikan namanya kedengaran halus di halwa telinga.

'Park Chanyeol...'

Diaterus memegang tengkuk dan menoleh ke belakang. Bulu roma baru saja lega daripadaperasaan takut. Kini kembali mencanak semula. Tanpa berlengah dia terus berlarianak mengejar anak-anak buahnya di hadapan.

.......

BERSAMBUNG

.......

Author Note : Oetteo? Untuk makluman semua Scarlet Rose masih dalam proses menaip tau. So, kalau ada typo dan sebagainya harap dapat dimaafkan.

Scarlet Rose - Siri Kedua Fantasi | TerbitWhere stories live. Discover now