Aleysha membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Cahaya matahari yang samar-samar menembusi langsir tebal membuatkan ruang itu kelihatan sedikit suram. Tambah pula bunyi aircond yang sayup-sayup kedengaran di telinganya.
Aleysha menyentuh sesuatu yang dirasakan melekat pada wajahnya. Alat bantuan pernafasan. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Sangat mengujakan, seperti sudah lama dia tidak menghirup oksigen sebanyak itu.
Tangannya bergerak pula ke abdomen bawah untuk menyentuh baby bumpnya. Namun...
Rata. Perutnya rata. Tiada bonjolan apa-apa yang terasa.
Mata Aleysha membuntang luas. Alat bantuan pernafasan ditarik dari wajahnya lalu dia bangkit dari perbaringan. Perutnya dilihat dengan matanya sendiri.
"A... anakku?" Aleysha menyelak bajunya. Tidak cukup dengan itu, dia menekan-nekan lagi perutnya dengan kuat. Masih, tiada tanda-tanda adanya fetus di dalam itu. Rahimnya terasa kosong.
"T... tidak... tidak! Mana anak ibu?!" Teriak Aleysha. Tubir matanya mula bergenang. Pipinya panas. Fikirannya sudah berfikir yang bukan-bukan. Tak, tak. Pasti dia sudah melahirkannya. Dia harus cari anaknya!
Wajah Aleysha diangkat. Seluruh pelosok bilik itu dipandang. Hanya dia seorang yang berada di situ. Perlahan-lahan, kakinya digerakkan agar turun dari katil itu.
Namun, tiba-tiba dia tersedar sesuatu. Aircond? Alat bantuan pernafasan? Katil?
Ini... dunia sekarang?
Aleysha mendekati langsir di tepi katilnya lalu diselak luas. Cahaya yang terang berebut-rebut masuk ke ruangan itu. Aleysha melihat ke luar tingkap. Jelas dilihat pemandangan luar akan dunia yang sudah maju dan kereta yang bersesak-sesak di jalanan.
Mulut Aleysha yang semakin luas terbuka ditekup tangannya sendiri. Mindanya yang tadi sibuk memikirkan tentang keadaan anaknya kini beralih pula kepada insan lain. "Bayu..."
Laju Aleysha melangkahkan kakinya ke arah pintu keluar. Jururawat yang bertembung dengannya di pintu ditolak dari menghalang laluannya.
"Eh, cik. Cik dah sedar?" Soal jururawat itu namun tidak dipedulikan Aleysha.
Aleysha menolak pintu di bilik yang bersebelahan dengan biliknya. "Bayu?" Panggilnya, namun tiada seseorang pun yang berada di situ mempunyai wajah Bayu. Malah, pesakit yang terlantar di atas katil bilik itu merupakan wanita tua.
Aleysha meneruskan langkahnya ke bilik seterusnya. Namun, lengannya disambar oleh jururawat tadi. "Cik Aleysha, cik nak pergi mana?"
"Lepaskan aku." Tangan jururawat tersebut ditepis kasar lalu Aleysha meneruskan langkahnya.
Pintu bilik yang seterusnya dibuka luas. Kelihatan seorang lelaki yang berada di atas katil sedang memandang tingkap, membelakangi Aleysha. "Bayu?" Panggil dia teruja.
Lelaki tersebut berpaling.
Aleysha menggigit bibirnya kuat. Tangisan tidak dapat lagi ditahan. Pintu itu ditutup kasar. Bukan Bayu.
Lututnya terasa lemah. Bayu... apa yang dah jadi ni? Mana kau? Esakan Aleysha mula kedengaran. Air jernih tidak henti-henti mengalir di pipi. Tubuhnya dirasakan hampir terjatuh ke bumi, sebelum berjaya disambut seseorang.
Aleysha mengangkat wajah untuk memandang manusia tersebut. "Redza."
Redza menarik Aleysha ke pelukannya. Saat itu, perit Aleysha pecah, esak tangisnya kuat kedengaran di sepanjang koridor hospital tersebut. Orang ramai yang lalu-lalang seketika berhenti untuk melihat apa yang terjadi.
Aleysha mahu keluar dari pelukan Redza kerana dia bukanlah mahramnya, tetapi saat itu hati dia terlampau remuk. Mindanya kosong sehingga dia tidak dapat mengawal tubuhnya sendiri. Akhirnya, dia membiarkan sahaja lelaki itu memeluknya.
YOU ARE READING
The Time Traveller
Science Fiction*Inspired by The Great Doctor/Faith Pada suatu hari selepas melalui hari yang sangat teruk, Aleysha Qairene dipertemukan pula dengan individu misteri yang tiba-tiba muncul di pintu biliknya. Siapa gerangan lelaki itu? Apa yang dia nak dari Aleysha?